Tuesday, November 19, 2019

TIGA DOSA KEBIASAAN MANUSIA


3 dosa yang menjadi kebiasaan manusia; bersangka buruk, mencari kesalahan orang lain dan mengumpat.

Orang yang beriman harus menjauhi ketiga-tiga perkara mungkar ini. Ini pesan Tuhan ﷻ:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱجۡتَنِبُوا۟ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمࣱۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا یَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَیُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن یَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِیهِ مَیۡتࣰا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابࣱ رَّحِیمࣱ

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kalian kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa, dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain, adakah salah seorang daripada kalian suka untuk makan daging saudaranya yang telah mati? Maka kalian (pasti) jijik kepadanya, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat: 12)

SANGKA BURUK itu sedia maklum maksudnya. Sebahagiannya dibenarkan, sebahagiannya dilarang. Namun awas! Jangan sampai kita terpalit dosa kerana bersangka buruk kepada orang yang baik di sisi Allah ﷻ. Atau ketika kita melihat satu manusia itu buruk akhlaknya, lalu kita bersangka buruk terhadap seluruh masa hidupnya bahawa dia itu adalah pendosa yang tidak mungkin berubah sampai bila-bila, sedangkan Allah ﷻ boleh sahaja mematikan dia saat dia telah bertaubat kepadaNya. Dan akhir kehidupan kita, belum tentu untung nasibnya. Maka jauhilah prasangka.

MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN telah menjadi darah daging sebahagian manusia sekian lamanya. Apabila ada sesuatu perkara buruk berlaku, cepat-cepat kita menuding jari kepada orang lain tanpa berfikir secara tenang dan rasional, kita juga mungkin ada salahnya. Ataupun kita berdendam dengan seseorang, lalu kita menunggu-nunggu saat kesilapannya. Sekali dia buat silap, habislah dia menjadi bahan mulut lancang kita. Demikian juga dalam rumahtangga, dalam berpolitik, dalam organisasi hatta golongan agamawan pun ramai yang terpalit akan hal ini. Maka hendaklah kita banyak renungilah kesalahan diri sendiri dan memperbaikinya hingga kita menjadi manusia yang baik di sisi Allah ﷻ dan berhentilah mencari-cari kesalahan orang lain.

MENGUMPAT ini ramai yang salah faham. Katanya: "Aku tak mengumpat, saja nak bercerita". "Aku kata benda betul, apa salahnya?" Mengumpat itu bercerita perihal seseorang yang jika dia tahu akan hal itu, dia akan membencinya, sekalipun ia berita benar. Jika berita palsu, itu fitnah namanya. Maka jauhilah mengumpat. Sekarang mengumpat tidak hanya meniti di bibir, tetapi lebih banyak meniti di jari jemari yang menulis di media sosial khususnya. 

Sekiranya ketiga-tiga dosa ini atau sebahagiannya telah menjadi kebiasaan kita, hendaklah kita beristighfar kepadaNya, mudah-mudahan Allah ﷻ mengampuni dan menyayangi kita kerana Dia ﷻ berfirman:

وَمَن یَعۡمَلۡ سُوۤءًا أَوۡ یَظۡلِمۡ نَفۡسَهُۥ ثُمَّ یَسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَ یَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا
Dan sesiapa yang melakukan sesuatu perkara buruk atau dia menzalimi dirinya sendiri kemudian dia memohon keampunan Allah, maka dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (Surah al-Nisa': 110)

Akhir sekali, marilah kita bertaqwa kepada Allah ﷻ. Bertaqwa itu adalah mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Sungguh orang yang bertaqwa itu adalah orang yang benar-benar berjaya di sisi Allah ﷻ seperti yang tertera dalam Surah al-Baqarah ayat 2-5.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment