Rahmat merupakan suatu manifestasi sifat Tuhan Yang Maha Penyayang kepada hambaNya.
ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ
Maksudnya: (Allah) Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.
(Surah al-Fatihah: 3)
Rahmat Allah Ta'ala diberikan dalam pelbagai bentuk. Sama ada ianya berupa nikmat-nikmat ataupun berupa ujian dan dugaan.
Adapun ujian yang diberikan itu, boleh jadi ianya adalah sebagai kafarah terhadap dosa, teguran atas salah silap manusia ataupun untuk meningkatkan darjat manusia di sisi Tuhan.
Rasulullah sebagai Rahmat
Konsep Rahmatan lil 'Alamin bukanlah sesuatu yang baharu dalam Islam. Bahkan ia adalah sebuah asas dan tujuan pengutusan Rasulullah S.A.W sejak lebih 1400 tahun dahulu kepada seluruh alam. Hal ini boleh dilihat dalam firman Allah Ta'ala:
وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةࣰ لِّلۡعَـٰلَمِینَ
Maksudnya: Dan tidaklah Kami (Allah) mengutuskanmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.
(Surah al-Anbiya': 107)
Maka daripada ayat ini dapatlah difahami bahawa pada diri Rasulullah S.A.W itu rahmat, akhlaknya rahmat, sifatnya rahmat, tutur katanya rahmat, dakwahnya rahmat, nubuwwahnya rahmat, kerasulannya rahmat, kepimpinannya rahmat dan seluruh hidupnya adalah rahmat bagi sekalian alam.
Rahmat untuk Semua
Pengutusan Rasulullah S.A.W bukan hanya sebagai rahmat bagi orang yang beriman, bahkan juga merangkumi orang kafir seperti kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat Rahmatan lil 'Alamin:
'Maka adapun orang mukmin di antara mereka, maka Allah telah memberi hidayah kepadanya dengan sebabnya (Nabi S.A.W) dan memasukkannya ke dalam syurga dengan sebab iman kepadanya (Nabi S.A.W) dan beramal dengan apa yang datang dari sisi Allah. Dan adapun orang yang kafir di antara mereka, maka sesungguhnya Dia (Allah) telah menghindarinya daripada bala yang segera yang telah diturunkan kepada umat-umat yang mendustakan rasul-rasulNya sebelumnya (yakni umat sebelum Nabi S.A.W) dengan sebabnya (Nabi S.A.W)'.[1]
Kegelapan kepada Cahaya
Manusia tanpa bimbingan wahyu yang benar akan terjerumus ke dalam lembah kegelapan dan kejahilan.
Mereka menyembah sesuatu yang langsung tidak dapat mendatangkan manfaat dan mudarat. Bahkan yang dianggap tuhan itu adalah apa yang mereka ciptakan sendiri.
Begitulah yang menimpa masyarakat Arab Jahiliyyah apabila mereka mencipta dan meletakkan batu-batu berhala di sekeliling Kaabah untuk disembah dan disekutukan dengan Allah yang Maha Esa.
Maka manusia memerlukan rahmat. Rahmat yang akan mengeluarkan mereka daripada kedangkalan akal dalam memahami siapa tuhan yang sebenar.
Oleh sebab itu, Nabi Muhammad S.A.W diutuskan untuk memimpin mereka keluar daripada kegelapan kufur kepada cahaya iman, daripada sujud kepada makhluk kepada sujud kepada Khaliq.
Demikian itu seperti firman Allah Ta'ala:
الۤرۚ كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَیۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَ ٰطِ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡحَمِیدِ
Maksudnya: Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan (Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Terpuji.
(Surah Ibrahim: 1)
Inilah mesej terpenting kedatangan Rasulullah S.A.W.
Rahmat bukan Laknat
Nabi S.A.W rahmat kepada insan. Sekalipun insan itu adalah pendosa ataupun seorang kafir.
Suatu hari seseorang meminta Rasulullah S.A.W mendoakan ke atas orang-orang musyrik, maka Baginda bersabda:
Suatu hari seseorang meminta Rasulullah S.A.W mendoakan ke atas orang-orang musyrik, maka Baginda bersabda:
إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً
Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak dibangkitkan sebagai pelaknat, dan sesungguhnya hanyalah aku dibangkitkan sebagai rahmat.[2]
Satu lagi peristiwa ketika seorang wanita dijatuhi hukuman atas kesalahannya berzina, lalu Khalid bin al-Walid mencercanya. Rasulullah S.A.W kemudian menegurnya:
مَهْلًا يَا خَالِدُ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً، لَوْ تَابَهَا صَاحِبُ مَكْسٍ لَغُفِرَ لَهُ
Maksudnya: Tenanglah wahai Khalid, maka demi (Tuhan) yang jiwaku di tanganNya, dia benar-benar telah bertaubat dengan satu taubat (yang) jika pemungut pajak bertaubat dengannya (maka) benar-benar akan diampuni baginya.[3]
Lihatlah nilai rahmat dalam lisan dan tutur kata Baginda S.A.W. Walaupun sedang berhadapan dengan muysrikin ataupun sedang menjalankan hukum Tuhan, Baginda tidak sesekali mencela dan melaknat manusia tersebut.
Kerana cerca dan laknat itu hanya akan menjauhkan mereka dari Allah Ta'ala dan membuatkan manusia jauh dari Agama.
Sedangkan rahmat itu mendekatkan mereka kepadaNya, dan membuatkan hati-hati manusia tertarik kepada Agama.
Sikap rahmat sebeginilah yang perlu meniti atas lisan setiap insan. Sentiasa berkata yang baik-baik, tidak memburukkan sesiapa hatta musuh sekalipun, apalagi memfitnah dan melaknat mereka.
Kerana cerca dan laknat itu hanya akan menjauhkan mereka dari Allah Ta'ala dan membuatkan manusia jauh dari Agama.
Sedangkan rahmat itu mendekatkan mereka kepadaNya, dan membuatkan hati-hati manusia tertarik kepada Agama.
Sikap rahmat sebeginilah yang perlu meniti atas lisan setiap insan. Sentiasa berkata yang baik-baik, tidak memburukkan sesiapa hatta musuh sekalipun, apalagi memfitnah dan melaknat mereka.
Sabar dan Optimis Menghadapi Ujian
Menjadi seorang Rasul bukan suatu tugas mudah.
Jika untuk mendidik seorang anak pon memerlukan kesabaran dan fikiran yang sentiasa positif, maka untuk mendidik umat manusia keseluruhannya, pasti menuntut kesabaran dan sikap optimis yang paling memuncak.
Sifat sabar dan optimis adalah satu bentuk rahmat. Tanpanya usaha dakwah akan menemui jalan buntu lantas manusia akan terus menerus dalam kesesatan.
Masih ingatkah kita tentang hari yang paling berat bagi Nabi Muhammad S.A.W?
Itulah hari 'Aqabah. Hari di mana Baginda dicerca dan disakiti oleh penduduk Thaif ketika Baginda menjalankan dakwah.
Sehingga Allah Ta'ala mengutuskan Malaikat Gunung kepada Baginda lalu dia berkata, maksudnya:
'Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata kaummu kepadamu, dan aku adalah Malaikat Gunung, dan Tuhanmu telah mengutuskan aku kepadamu agar engkau perintahkan aku dengan (apa sahaja) perintahmu, maka apa yang engkau inginkan? Sekiranya engkau mahu, aku timpakan ke atas mereka dua (gunung) Akhsyab itu'
Maka jawab Baginda S.A.W:
بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلَابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ، لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيئًا
Maksudnya: Tidak, (tetapi) aku berharap agar Allah mengeluarkan daripada anak keturunan mereka orang yang menyembah Allah satu-satuNya, tidak menyekutukan sesuatu pun denganNya.[4]
Boleh sahaja Baginda S.A.W mengarahkan itu dan ini, tetapi atas rahmatnya, Baginda S.A.W memilih untuk melepaskan mereka dengan harapan agar generasi mendatang akan menerima seruan tauhidnya. Begitulah sifat sabar dan optimis Baginda S.A.W dalam menghadapi ujian.
Demikianlah dalam fasa-fasa kehidupan kita. Hendak atau tidak, kita pasti akan melalui ujian dan dugaan. Pilihlah jalan sabar seperti Nabi S.A.W dan optimislah dalam mendepani setiap mihnah kehidupan.
Kesimpulan
Hakikatnya banyak lagi ciri-ciri dan kisah rahmatnya Rasulullah S.A.W kepada seluruh alam. Tidak mampu dirangkum dalam penulisan yang singkat ini.
Adapun sifat Rahmatan lil 'Alamin dalam diri Rasulullah S.A.W itu semestinya wajar dijadikan role model terunggul bagi kita semua. Baik dari peringkat individu, institusi keluarga, masyarakat sehinggalah kepada kepimpinan negara.
Rujukan:
1) Abu Ja'far Muhammad bin Jarir bin Yazid al-Tabari, Jami' al-Bayan 'an Ta'wil ay al-Qur'an, tahqiq Dr. Basyar 'Awwad Ma'ruf, jilid 5, (Beirut: Muassasah al-Risalah, 1994), 287.
2) Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2006), 1204, no. Hadith: 2599.
3) Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2006), 811, no. Hadith: 1695.
4) Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2006), 864, no. Hadith: 1795.
3) Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2006), 811, no. Hadith: 1695.
4) Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2006), 864, no. Hadith: 1795.
No comments:
Post a Comment