MUQADDIMAH

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ الْأَمِينِ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

Saya menamakan entri ini sebagai muqaddimah (pendahuluan) agar saya sentiasa beringat akan niat asal saya yang mendahului segala tujuan lainnya dalam usaha menulis blog ini. 

Begitu juga hendaklah para pembaca yang dirahmati Allah ﷻ sekalian mendahulukan pembacaan kalian di sini kerana ada beberapa perkara penting yang ingin saya sampaikan antaranya mengenai metodologi kajian serta pandangan-pandangan saya dalam blog ini.

Mengapa saya mula menulis blog?

Saya merupakan pelajar aliran agama dan Bahasa Arab. Sejak di bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti, minat saya lebih cenderung kepada ilmu-ilmu agama.

Namun ada beberapa perkara yang membuatkan saya terkilan. Saya dapati ilmu yang tersimpan di dada itu amatlah sedikit berbanding dengan apa yang telah dipelajari.

Barangkali kerana sebahagian besar daripada tujuan menuntut ilmu ketika itu adalah untuk peperiksaan semata-mata.

Semoga Allah ﷻ mengampuni saya!

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau hukum kami jika kami terlupa atau kami tersilap. (Surah al-Baqarah: 286)

Sebetulnya bukanlah para asatizah hafizahumullahu ta'ala atau sistem pendidikan itu yang salah. Namun kerana saya dapati bahawa sebahagian ilmu-ilmu itu luput kerana dimamah sifat nisyan dalam diri ini dan sebahagian yang lain hilang melayang bersama-sama dengan kertas-kertas peperiksaan yang entah ke mana perginya.

Jadi atas sebab itu, saya berharap dengan penulisan ini, dapatlah saya mengikat ilmu-ilmu dari bacaan-bacaan dan kajian-kajian yang telah saya lakukan, lalu saya menghafalnya untuk dimanfaatkan dalam amalan harian. Sekiranya saya terlupa, maka blog ini akan kembali mengingatkan saya. Itu yang pertama.

Keduanya, penulisan ini sebagai nasihat kepada diri saya sendiri agar beramal dengan apa yang disampaikan. Mengambil ibrah daripada teguran Allah ﷻ kepada Bani Israil:

أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَـٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ
Adakah kalian menyuruh manusia dengan kebaikan sedang kalian melupakan diri-diri kalian serta kalian membaca al-Kitab, maka adakah kalian tidak memikirkan? (Surah al-Baqarah: 44)

Ketiga, semoga blog ini dapat menyajikan ilmu-ilmu yang bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang membacanya seterusnya menghasilkan kebaikan yang berpanjangan setelah ketiadaan saya nanti. Kerana:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ؛ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Apabila mati seorang insan terputuslah amalannya kecuali daripada tiga; sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak soleh yang mendoakan baginya. (Muslim, 1631)

Metodologi penulisan

Di dalam blog ini, saya suka untuk mendatangkan ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith nabawi sebagai dalil agar apa yang diamalkan adalah berdasarkan ilmu dan petunjuk, bukannya sangkaan semata-mata:

وَلَقَدۡ جِئۡنَـٰهُم بِكِتَـٰبࣲ فَصَّلۡنَـٰهُ عَلَىٰ عِلۡمٍ هُدࣰى وَرَحۡمَةࣰ لِّقَوۡمࣲ یُؤۡمِنُونَ
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka al-Kitab yang kami telah jelaskannya secara terperinci  atas ilmu sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman. (Surah al-A'raf: 52)

كَمَاۤ أَرۡسَلۡنَا فِیكُمۡ رَسُولࣰا مِّنكُمۡ یَتۡلُوا۟ عَلَیۡكُمۡ ءَایَـٰتِنَا وَیُزَكِّیكُمۡ وَیُعَلِّمُكُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَیُعَلِّمُكُم مَّا لَمۡ تَكُونُوا۟ تَعۡلَمُونَ
Sepertimana Kami telah mengutuskan seorang Rasul dalam kalangan kalian yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kalian dan membersihkan kalian serta mengajar al-Kitab dan al-hikmah kepada kalian dan mengajar kalian apa yang kalian belum ketahui. (Surah al-Baqarah: 151)

Dan hendaklah para pembaca yang dirahmati Allah ﷻ sekalian ambil tahu bahawa sebahagian hadith nabawi yang saya bawakan dalam pelbagai perbahasan itu tidaklah bermakna kesemuanya sahih di sisi muhaddithin. Kerana hanyalah saya menukilkan hadith yang dibawa oleh fuqaha' dan ahli ilmu dari kaum muslimin itu untuk mengetahui tentang pendalilan mereka atas sesuatu hukum.

Pandangan-pandangan terpilih

Adapun pandangan yang saya pilih berkenaan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kadar ilmu pengetahuan dan keyakinan yang Allah ﷻ berikan kepada saya ketika itu.

Saya tidaklah bermaksud ingin mendokong golongan tertentu melainkan hanya berharap agar apa yang dipegang itu adalah kebenaran di sisi Allah ﷻ:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةࣰ وَ ٰ⁠حِدَةࣰ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِیِّـۧنَ مُبَشِّرِینَ وَمُنذِرِینَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِیَحۡكُمَ بَیۡنَ ٱلنَّاسِ فِیمَا ٱخۡتَلَفُوا۟ فِیهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِیهِ إِلَّا ٱلَّذِینَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَاۤءَتۡهُمُ ٱلۡبَیِّنَـٰتُ بَغۡیَۢا بَیۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لِمَا ٱخۡتَلَفُوا۟ فِیهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ یَهۡدِی مَن یَشَاۤءُ إِلَىٰ صِرَ ٰ⁠طࣲ مُّسۡتَقِیمٍ
Manusia itu umat yang satu. Maka Allah membangkitkan para Nabi sebagai pemberi-pemberi khabar gembira dan pemberi-pemberi peringatan dan Allah turunkan bersama-sama mereka al-Kitab dengan kebenaran supaya Dia menghakimi antara manusia tentang apa-apa yang mereka berselisih padanya, dan tidaklah yang berselisih padanya itu kecuali orang-orang yang diberi akannya (al-Kitab) setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan kerana kedengkian antara mereka, maka Allah memberi hidayah kepada orang-orang yang beriman daripada kebenaran bagi apa yang mereka berselisih padanya dengan izinNya, dan Allah memberi petunjuk bagi sesiapa yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus. (Surah al-Baqarah: 213)

Menyedari kekurangan diri ini, maka saya in syaa Allah, berlapang dada sekiranya ada teguran yang membina daripada para pembaca yang dirahmati Allah ﷻ sekalian. Bentangkanlah hujah, agar kebenaran terungkap.

Akhirnya, semoga Allah ﷻ memberi kebaikan atas setiap apa yang kita lakukan.

No comments:

Post a Comment