PERBAHASAN SOLAT MENURUT MAZHAB HANAFI BESERTA DALIL

Sebelum ke topik pokok, hendaklah pembaca mengetahui bahawa Mazhab Hanafi membezakan antara hukum fardhu dan wajib:

1. Fardhu adalah apa yang disabitkan dengan dalil qat'i. Solat akan batal jika perkara fardhu ditinggalkan.

2. Wajib adalah apa yang disabitkan dengan dalil zanni. Solat masih sah jika perkara wajib ditinggalkan. Jika sengaja meninggalkannya maka dia telah melakukan sesuatu yang buruk. Jika terlupa, maka wajib (bukan fardhu) sujud sahwi. Jika tidak sujud sahwi tetap sah.

Selain itu, perlu diketahui juga bahawa mazhab ini terbentuk dengan pandangan tiga orang tokoh besar Mazhab Hanafi iaitu Imam Abu Hanifah, al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad al-Syaibani rahimahumullahu ta'ala. Terangkum di sini kesepakatan dan khilaf antara mereka dalam sebahagian masalah.

PERBAHASAN SOLAT MENURUT MAZHAB HANAFI BESERTA DALIL


Inilah perbahasan solat menurut Mazhab Hanafi. Hadith yang didatangkan adalah yang digunapakai dalam mazhab ini. Penulis tidak mentakhrijkan hadith tersebut untuk memastikan penulisan ini tidak terlalu panjang. Oleh itu, penulis menasihati pembaca untuk merujuk ulasan para muhaddithin berkenaan setiap hadith tersebut. Di sini hanyalah bertujuan untuk memahami dalil yang dipegang oleh mazhab ini.

1) NIAT


• Niat termasuk dalam syarat solat[1] dan hukumnya adalah fardhu berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ 
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan itu adalah dengan niat-niat. 
(Muttafaqun 'alaihi)[2]

• Apakah yang perlu diniatkan?

Niat adalah mengetahui dalam hati solat yang mana hendak dilaksanakannya[3].

Imam dan munfarid mesti menta'yinkan  (menetapkan) nama solat seperti 'Zohor'. 

Tidak perlu berniat 'fardhu' Zohor kerana Zohor itu tidak lain adalah solat fardhu.

Ada riwayat daripada Imam Abu Hanifah bahawa perlu berniat menghadap kiblat[4].

Bagi imam lelaki tidak disyaratkan berniat 'imam'.

Bagi imam wanita, berniat sebagai 'imam' adalah syarat sah solat makmum yang mengikutinya.

Makmum pula mesti berniat mengikut imam.

Sekiranya makmum berniat dengan niat solat imam tanpa menta'yinkan solat apa yang ditunaikannya, ianya sah[5].

Dalilnya diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy'ari radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

قَدِمْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ وَهُوَ مُنِيخٌ بِالْبَطْحَاءِ. فَقَالَ لِي: أَحْجَجْتَ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ. فَقَالَ: بِمَا أًهْلَلْتَ؟ قَالَ قُلْتُ: لَبَّيْكَ بِإِهْلَالٍ كَإِهْلَالِ النَّبِيِّ ﷺ. قَالَ: قَدْ أَحْسَنْتَ 
Aku telah datang kepada Rasulullah ﷺ dan (ketika itu) Baginda sedang tinggal di al-Batha'. Maka Baginda bertanya kepadaku: Adakah engkau telah menunaikan haji? Maka aku pon menjawab: Ya. Kemudian Baginda bertanya: Dengan apa engkau berihlal? Dia berkata aku menjawab: Aku datang memenuhi panggilanmu dengan ihlal seperti ihlal Nabi ﷺ. Baginda bersabda: Sesungguhnya engkau telah berbuat kebaikan 
(Muttafaqun 'alaihi)[6]


Istinbat hukum: Baginda ﷺ telah mengesahkan ihlalnya Abu Musa al-Asya'ari radhiallahu 'anhu walaupun beliau hanya menyandarkan niat ihlalnya kepada ihlal Nabi ﷺ tanpa menta'yinkan ihlal tersebut. Begitu juga halnya solat. Sah jika makmum menyandarkan niat solatnya itu kepada solat imam walaupun dia tidak tahu solat imam tersebut.

Jika makmum tidak berniat dengan solat imam dan dia berniat solat Zohor dan mengikuti imam, kemudian ternyata imam solat Jumaat, maka solatnya tidak sah kerana dia berniat solat yang lain daripada imam.

Manakala jika makmum berniat solat imam dan Jumaat, kemudian ternyata imam solat Zohor, maka solatnya sah kerana ketika dia berniat solat imam maka telah terbina niatnya itu atas niat solat imam dan niatnya yang kemudian itu (Jumaat) tidak dikira. Sepertimana seseorang yang berniat mengikuti imam dan dia menyangka imam itu adalah Zaid, kemudian ternyata imam itu 'Amru, maka solatnya tetap sah. Berbeza sekiranya dia berniat untuk mengikuti Zaid, kemudian ternyata yang diikutinya itu adalah 'Amru, maka solatnya tidak sah[7].

• Niat solat tatawwu':

Memadai untuk berniat secara umum seperti 'solat lillahi ta'ala'.

Ini kerana solat tatawwu' tidak ada padanya sifat tambahan seperti solat fardhu sehingga perlu ditentukan solat yang mana hendak dilakukannya[8].

• Waktu berniat:

Sunnah berniat seiringan dengan takbir kerana yang disyaratkan dalam niat itu adalah ikhlas beramal kerana Allah ﷻ. Dan keseiringan itu lebih hampir dalam merealisasikan makna keikhlasan tersebut. Maka ianya adalah lebih baik[9].

Jika musolli berniat sebelum solat contohnya ketika berwudu' dan dia tidak disibukkan selepasnya dengan perbuatan yang memutuskan niatnya itu maka ianya sah[10].

• Adakah perlu melafazkan niat?

Jika seseorang melafazkan niat untuk meneguhkan hatinya, ia adalah baik[11].

2) TAKBIRATUL IHRAM


• Hukum takbiratul ihram adalah fardhu[12] berdasarkan firman Allah ﷻ:
وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى
Dan dia menyebut nama Tuhannya lalu dia bersolat. 
(Surah al-A'la: 15)

Istinbat hukum: Disebutkan dalam tafsir bahawa maksud ayat ini adalah takbiratul ihram[13].

Dan sabda Nabi ﷺ:

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ 
Kunci solat adalah bersuci, yang mentahrimkannya adalah takbir dan yang mentahlilkannya adalah taslim.
(HR Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)[14]

Istinbat hukum: Hadith ini menunjukkan bahawa tanpa takbir tidaklah perbuatan solat itu berubah menjadi suatu syariat. Takbir mengharamkan musolli daripada melakukan perkara yang membatalkan solat seperti bercakap-cakap. Inilah yang dimaksudkan dengan tahrim.

• Takbiratul ihram bukan sebahagian daripada rukun solat tetapi syarat solat menurut pandangan yang paling sahih di sisi Fuqaha' Hanafiyyah[15]. Oleh itu, jika musolli  telah selesai duduk tasyahhud akhir solat fardhu, kemudian dia terus memasuki solat sunnah sebelum memberi salam solat fardhu, maka solatnya sah walaupun dia tidak melakukan takbiratul ihram yang baru. Sah menunaikan solat sunnah dengan takbiratul ihram solat fardhu seperti sahnya solat sunnah dengan wudhuk solat fardhu kerana ia adalah syarat, bukannya rukun. Hal ini berdalilkan ayat 15 Surah al-A'la di atas:

وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى
Dan dia menyebut nama Tuhannya lalu dia bersolat. 
(Surah al-A'la: 15)

Istinbat hukum:

1) FirmanNya ﷻ menggunakan huruf 'atof fa' iaitu fasolli (lalu dia bersolat). Ini menunjukkan solat itu hanya wujud setelah menyebut nama Allah ﷻ. Jika menyebut nama Allah ﷻ iaitu takbiratul ihram adalah sebahagian daripada rukun, maka sepatutnya solat itu wujud ketika takbiratul ihram itu dilafazkan, bukan selepasnya.

2) Huruf 'atof itu membezakan antara ma'tuf (صلى) dan ma'thuf 'alaih (ذكر اسم ربه). Kalau takbiratul ihram itu rukun, maka tidak berlaku perbezaan ini[16].

• Lafaz takbiratul ihram:

Ada empat lafaz yang disepakati iaitu[17]:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ الْأَكْبَرُ، اللَّهُ كَبِيرٌ، اللَّهُ الْكَبِيرُ

Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad berpendapat boleh menggantikan lafaz takbir dengan apa-apa lafaz yang membawa maksud ta'zim[18] iaitu membesarkan Allah ﷻ seperti:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، اللَّهُ أَجَلُّ, سُبْحَانَ اللَّهِ، الْحَمْدُ لِلَّهِ

Dalilnya berdasarkan ayat 15 Surah al-A'la di atas bahawa ayat tersebut tidak menentukan lafaz zikir secara khusus. Adapun hadith yang menetapkan lafaz takbir adalah daripada khabar wahid.

Khabar wahid adalah hadith yang tidak sampai kepada martabat mutawatir. Jadi ia tidak boleh mentaqyidkan (mengikat) al-Quran yang martabatnya mutawatir.

Begitupun hukum lafaz selain takbir adalah makruh bagi orang yang mampu bertakbir dengan baik. Bagi mereka yang mampu maka wajib (bukan fardhu) bertakbir dengan takbir yang telah disebutkan itu disebabkan adanya khabar yang menyebutkan hal itu.

Dalil lainnya adalah hadith Mujahid rahimahullahu ta'ala, beliau berkata:

كَانَ الْأَنْبِيَاءُ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِمْ يَفْتَتِحُونَ الصَّلَاةَ بِلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ 
Bahawa para nabi salawatullahi 'alaihim membuka solat dengan la ilaha illallah[19].

Oleh sebab kemutlakan ayat 15 surah al-A'la tersebut, maka Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa memadai dengan menyebut nama Allah sahaja tanpa mengikatnya dengan apa-apa sifat[20]. Nama Allah ﷻ atau nama-namaNya yang lain dengan sendirinya telah menunjukkan makna ta'zim.

Namun pandangan ini ditolak oleh Imam Muhammad. Nas menunjukkan nama dan sifat, maka tidak memadai dengan menyebut nama sahaja.

Menurut mereka berdua juga boleh menggantikan nama Allah dengan asmaul husna yang lain seperti:

الرَّحْمَنُ أَكْبَرُ

Berdasarkan firman Allah ﷻ:

قُلِ ادْعُوا۟ اللَّهَ أَوِ ادْعُوا۟ الرَّحْمَـنَ أَیࣰّا مَّا تَدۡعُوا۟ فَلَهُ الْأَسْمَاۤءُ الْحُسْنَى 
Katakanlah: Serulah kalian akan Allah atau serulah kalian akan al-Rahman, mana-mana sahaja yang kalian serukan maka bagiNya itu nama-nama yang baik. 
(Surah al-Isra': 110)

Al-Qadhi Abu Yusuf pula berpendapat tidak boleh menggunakan lafaz lain selain empat lafaz yang disepakati di atas berdasarkan hadith di atas kerana makna takbir hanya menghasilkan empat lafaz itu sahaja kecuali bagi mereka yang tidak mampu bertakbir dengan betul dan tidak tahu mengenai syariat takbir ketika memulakan solat[21].

Mazhab Hanafi bersepakat bahawa tidak boleh menggunakan lafaz yang tidak membawa maksud ta'zim seperti doa dan istighfar[22].

• Adakah boleh bertakbir dalam Bahasa Parsi?

Boleh di sisi Imam Abu Hanifah[23] kerana yang dikehendaki oleh nas adalah zikir dan ianya boleh terhasil dalam apa juga bahasa.

Manakala tidak boleh di sisi Imam Muhammad dan al-Qadhi Abu Yusuf kecuali bagi mereka yang tidak mampu menyebutnya dalam Bahasa Arab dengan baik dengan alasan mengikuti zahir nas dan bahasa-bahasa lain tidak dapat menunjukkan makna-makna yang terkandung dalam balaghah dan wajazah Bahasa Arab.

• Disunnahkan jahar takbir bagi imam dan sir takbir bagi makmum dan munfarid kerana asal zikir adalah sir[24]. Firman Allah ﷻ:

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ 
Dan zikirlah kepada Tuhanmu pada dirimu dalam keadaan merendah diri, takut dan tanpa mengeraskan suara. 
(Surah al-A'raf: 205)

Maka jahar hanyalah untuk imam kerana dia perlu memberitahu perpindahan rukun kepada makmumnya khususnya yang buta.

• Mengangkat tangan ketika takbiratul ihram bukanlah fardhu[25]. 

Hal ini berdasarkan hadith yang dinamakan sebagai hadith musi' al-solah, ketika Nabi ﷺ mengajarkan seorang lelaki perkara asas solat, Baginda ﷺ tidak menyebutkan mengangkat tangan. Maka hukumnya tidak sampai ke martabat fardhu atau wajib. Hadithnya seperti berikut:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى، فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ فَرَدَّ وَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ، فَرَجَعَ يُصَلِّي كَمَا صَلَّى، ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ، (ثَلَاثًا) فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ، فَعَلِّمْنِي. فَقَالَ: إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْءَانِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا 
Bahawa Rasulullah ﷺ memasuki masjid, kemudian masuk seorang lelaki lalu dia bersolat, kemudian dia memberi salam kepada Nabi ﷺ maka Baginda menjawabnya dan bersabda: Kembalilah kemudian solatlah, maka sesungguhnya engkau tidak solat. Kemudian dia kembali solat seperti mana solatnya tadi. Kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi ﷺ. Maka Baginda bersabda: Kembalilah kemudian solatlah, maka sesungguhnya engkau tidak solat (tiga kali). Kemudian dia berkata: Demi yang membangkitkanmu dengan kebenaran, aku tidak mampu buat yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku. Maka Baginda bersabda: Apabila engkau berdiri untuk solat, maka bertakbirlah. Kemudian bacalah apa yang mudah bagimu daripada al-Quran. Kemudian ruku'lah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan ruku'. Kemudian bangkitlah sehingga engkau lurus berdiri. Kemudian sujudlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan duduk. Dan lakukanlah hal yang demikian itu dalam keseluruhan solatmu. 

(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)[26]

Namun hukumnya adalah sunnah kerana Baginda melazimi mengangkat tangan ketika takbiratul ihram[27].

• Kadar mengangkat tangan yang disunnahkan adalah sehingga tangan sejajar dengan telinga[28] berdasarkan hadith Wa'il bin Hujr radhiallahu 'anhu:

أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ ﷺ رَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ دَخَلَ فِي الصَّلَاةِ. كَبَّرَ (وَصَفَ هَمَّامٌ حِيَالَ أُذُنَيْهِ) ثُمَّ الْتَحَفَ بِثَوْبِهِ 
Bahawa dia (Wa'il) telah melihat Nabi ﷺ mengangkat kedua tangannya ketika Baginda memasuki solat. Baginda bertakbir (Hammam -periwayat hadith- menyifatkan ke arah kedua telinganya) kemudian Baginda berselubung dengan bajunya. 
(HR Muslim)[29]

• Tidak disunnahkan mengangkat tangan sejajar dengan bahu walaupun ada hadith mengenainya kerana Mazhab Hanafi berpendapat bahawa mengangkat tangan sejajar bahu adalah ketika keuzuran iaitu semasa waktu sejuk di mana tangan-tangan musolli ketika itu berada di bawah baju-baju mereka[30]. Dalilnya berdasarkan riwayat Wa'il bin Hujr radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ ﷺ حِينَ افْتَتَحَ الصَّلَاةَ رَفَعَ يَدَيْهِ حِيَالَ أُذُنَيْهِ، قَالَ: ثُمَّ أَتَيْتُهُمْ فَرَأَيْتُهُمْ يَرْفَعُونَ أَيْدِيهِمْ إِلَى صُدُورِهِمْ فِي افْتِتَاحِ الصَّلَاةِ وَعَلَيهِمْ بَرَانِسُ وَأَكْسِيَةٌ 
Aku melihat Nabi ﷺ ketika membuka solat, Baginda mengangkat kedua tangannya ke arah kedua telinganya, beliau berkata: Kemudian aku mendatangi mereka maka aku melihat mereka mengangkat tangan-tangan mereka ke dada-dada mereka ketika membuka solat sedang mereka memakai burnus dan pakaian. 
(HR Abu Daud dan al-Tahawi)[31]

• Adapun bagi wanita, fuqaha' Hanafiyyah khilaf. Satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah mengatakan mengangkat tangan sehingga sejajar telinga, sebahagian lagi berpandangan sejajar bahu kerana ianya lebih menutupi aurat mereka[32].

• Waktu mengangkat tangan:

Fuqaha' Hanafiyyah khilaf mengenai hal ini.

Sebahagian mereka mengatakan sunnah mengangkat tangan seiringan takbir kerana tujuan daripada takbir itu untuk orang buta dan mengangkat takbir itu untuk orang pekak agar mereka tahu imam sedang memasuki solat dan hal ini tidak terhasil kecuali jika takbir seiringan dengan mengangkat tangan[33].

Ada juga yang berpandangan perlu mengangkat tangan dahulu sehingga sejajar dengan telinga, barulah bertakbir. Kerana mengangkat tangan dan bertakbir itu membawa makna nafi dan isbat. Mengangkat tangan bermaksud menafikan kebesaran selain Allah ﷻ manakala bertakbir bermaksud membesarkan Allah ﷻ. Maka hendaklah nafi itu mendahului isbat sepertimana dalam kalimah syahadah[34].

• Adakah makmum perlu bertakbiratul ihram seiringan imam atau selepasnya?

Khilaf:

Imam Abu Hanifah berpandangan lebih afdhal takbir seiringan dengan imam kerana mengikuti imam di dalam solat itu adalah berseiringan dengannya dalam takbir[35].

Manakala bagi al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad, afdhal bertakbir selepas selesai takbir imam kerana mengikuti imam itu bukan bermaksud seiringan dengannya dan berdasarkan zahir sabda Nabi ﷺ:

فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا 
Maka apabila dia (imam) bertakbir, maka kalian bertakbirlah. 
(HR al-Bukhari, Muslim, al-Nasa'i dan Ibnu Majah)[36]

3) QIYAM


• Qiyam atau berdiri dalam solat fardhu adalah rukun solat dan hukumnya fardhu[37] bagi orang yang mampu. Berdasarkan firman Allah ﷻ:
وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ 
Dan berdirilah kalian kerana Allah dalam keadaan patuh. 
(Surah al-Baqarah: 238)

• Orang yang sakit dan tidak mampu berdiri, hendaklah dia duduk. Jika tidak mampu duduk hendaklah dia bersandar atau berbaring[38]. Berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ 
Maka hendaklah kalian berzikir kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. 
(Surah al-Nisa':103)

Istinbat hukum: Dikatakan bahawa makna bagi zikir dalam ayat ini adalah solat iaitu solatlah kalian. Dan ayat ini turun berkenaan rukhsah solat orang yang sakit. Bahawa dia perlu berdiri jika dia mampu. Jika tidak maka duduk. Jika tidak maka berbaring. Demikianlah yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud, Ibnu 'Umar dan Jabir radhiallahu 'anhum[39].

Dalil lain berdasarkan hadith 'Imran bin Husoin radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ، فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ ﷺ عَنِ الصَّلَاةِ فَقَالَ: صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنبٍ 
Aku menghidap buasir, maka aku bertanya Nabi ﷺ mengenai solat, maka Baginda menjawab: Solatlah berdiri, maka jika engkau tidak mampu maka duduk, maka jika engkau tidak mampu maka berbaring. 
(HR al-Bukhari)[40]

• Kadar berdiri:

Kadar berdiri mengikut kadar qiraah dari segi hukumnya.

Fardhu berdiri sekadar qiraah fardhu iaitu satu ayat yang panjang atau tiga ayat yang pendek dalam qaul yang masyhur.

Wajib berdiri sekadar qiraah wajib iaitu Surah al-Fatihah dan surah lain.

Sunnah berdiri sekadar qiraah sunnah dan mandub sekadar qiraah mandub[41].

Perbahasan mengenai qiraah akan menyusul di bawah.

• Sunnah meletakkan tapak tangan kanan di atas tapak tangan kiri di bawah pusat[42] berdasarkan hadith 'Ali radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

 السُّنَّة وَضْعُ الْكَفِّ عَلَى الْكَفِّ فِي الصَّلَاةِ تَحْتَ السُّرَّةِ 
Sunnah itu meletakkan tapak tangan di atas tapak tangan dalam solat di bawah pusat. 
(HR Abu Daud)[43]. 
Perawi hadith ini yang bernama 'Abd al-Rahman bin Ishak dida'ifkan sebahagian muhaddithin.

4) THANA' IFTITAH


• Hukum membaca thana' iftitah tidak sampai ke martabat fardhu atau wajib kerana hadith musi' al-solah tidak menyatakannya.

• Ianya sunnah. Berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ حِينَ تَقُومُ 
Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika kamu berdiri. 
(Surah al-Tur: 48)

Istinbat hukum: Al-Dhahhak rahimahullah dalam tafsirnya menafsirkan ayat tersebut berkenaan bacaan tasbih ketika berdiri pada permulaan solat[44].

Lafaz thana' iftitah yang disepakati bagi solat fardhu adalah[45]:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Dalilnya berdasarkan hadith 'Umar al-Khattab radhiallahu 'anhu:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ كَانَ يَجْهَرُ بِهَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ يَقُولُ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ تَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ 


Bahawa 'Umar bin al-Khattab pernah menguatkan bacaan kalimah-kalimah ini:


سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ تَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ 
(HR Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ahmad dan Ibnu Majah)[46]

5) TA'AWWUZ


• Hukum membaca ta'awwuz tidak sampai ke martabat fardhu atau wajib kerana hadith musi' al-solah tidak menyatakannya.

• Ianya sunnah atas ijma' salaf[47] dan  berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْءَانَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 
Maka apabila kamu hendak membaca al-Quran, maka mohonlah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. 
(Surah al-Nahl: 98)

Diriwayatkan daripada Abu Darda' radhiallahu 'anhu bahawa beliau berdiri untuk solat, maka Nabi ﷺ bersabda:

تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَمِنْ شَيَاطِينِ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ 
Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam dan daripada syaitan-syaitan manusia dan jin[48].


• Waktu ta'awwuz adalah antara thana' iftitah dan qiraah berdasarkan ayat 98 Surah al-Nahl[49].

• Siapakah yang disunnahkan membaca ta'awwuz?

Di sisi Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad, ta'awwuz hanya disunnahkan untuk imam dan munfarid. Ini kerana ta'awwuz tabi' (mengikuti) qiraah. Ada qiraah, ada ta'awwuz. Tiada qiraah, tiada ta'awwuz. Makmum pula tidak disunnahkan ta'awwuz kerana mereka tidak perlu qiraah[50]. Hujah mengenainya akan dibahaskan nanti.

Manakala bagi al-Qadhi Abu Yusuf, ta'awwuz sunnah dibaca oleh kesemua musolli termasuk makmum kerana ta'awwuz tabi' thana' iftitah, bukan qiraah.

• Lafaz ta'awwuz yang mustahab adalah lafaz yang selari dengan al-Quran iaitu:

1) أَسْتَعِيذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
2) أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

• Ta'awwuz dibaca secara sir[51] berdasarkan hadith Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

أَرْبَع يخفيهن الإمامُ, وَذَكَرَ مِنْهَا التَّعَوُّذ 
Ada empat tempat imam memperlahankan bacaan, dan beliau menyatakan antaranya adalah ta'awwuz[52].

Dan berdalilkan firman Allah ﷻ:

وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ 
Dan zikirlah kepada Tuhanmu pada dirimu dalam keadaan merendah diri, takut dan tanpa mengeraskan suara. 
(Surah al-A'raf: 205)

Istinbat hukum: Asal hukum bacaan zikir dalam ayat di atas adalah secara sir dan ta'awwuz adalah sebahagian daripada zikir. Maka ia perlu diperlahankan.

• Ta'awwuz hanya dibaca pada rakaat pertama sahaja dan tidak pada setiap rakaat kerana solat itu adalah satu, memadai mendatangkannya pada rakaat pertama sahaja seperti mana takbiratul ihram[53].

6) TASMIYAH/BASMALAH


• Hukum membaca tasmiyah tidak sampai ke martabat fardhu atau wajib kerana hadith musi' al-solah tidak menyatakannya.

• Ianya juga tidak wajib kerana bukan satu ayat daripada Surah al-Fatihah. Dalilnya berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: قَسَمْتُ الصَّلَاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ، وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ. فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ: الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: حَمِدَنِي عَبْدِي. وَإِذَا قَالَ: الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي. وَإِذَا قَالَ: مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ، قَالَ: مَجَّدَنِي عَبْدِي (وَقَالَ مَرَّةً: فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي) فَإِذَا قَالَ: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ. قَالَ: هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ. فَإِذَا قَالَ: اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ، صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّآلِّينَ، قَالَ: هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ 
Allah Ta'ala berfirman: Aku membahagikan solat antaraKu dan antara hambaKu dua bahagian, dan bagi hambaKu apa yang dia minta. Maka apabila hamba membaca: Alhamdulillahi rabbil 'alamin, Allah Ta'ala berfirman: HambaKu telah memujiKu. Dan apabila dia membaca: Arrahmanirrahim, Allah Ta'ala berfirman: HambaKu telah memujiKu. Dan apabila dia membaca: Maliki yaumiddin, Dia berfirman: HambaKu telah memujiKu. Maka apabila dia membaca: Ihdina... (ke akhir ayat), Dia berfirman: Ini untuk hambaKu dan bagi hambaKu apa yang dia minta. 
(HR Muslim)[54]

Istinbat hukum:

1) Hadith dimulakan dengan alhamdulillahi rabbil'alamin. Jika tasmiyah sebahagian daripada al-Fatihah, sudah tentu ia dimulakan dengan tasmiyah[55]. 

2) Nas juga menunjukkan ada dua bahagian al-Fatihah, satu bahagian untuk Allah, satu bahagian untuk hamba. Jika tasmiyah sebahagian daripada al-Fatihah, maka tidak terjadi dua bahagian kerana bahagian untuk Allah adalah lebih banyak iaitu empat setengah ayat.

3) Untuk mensabitkan sesuatu ayat itu daripada surah tertentu, mestilah ianya sampai secara mutawatir. Walaupun tasmiyah ditulis dalam mushaf secara mutawatir, namun mensabitkannya sebagai permulaan daripada surah al-Fatihah dan surah-surah lainnya adalah tidak mutawatir. Ulama' khilaf mengenainya. Qurra' Kufah menganggapnya sebahagian daripada al-Fatihah, manakala qurra' Basrah berpandangan sebaliknya. Dan inilah bukti menganggapnya sebahagian daripada al-Fatihah adalah tidak mutawatir. Maka tidak boleh mensabitkan hal tersebut secara syak dan syubhah.

4) Tidak seorang pun daripada generasi salaf yang bersepakat bahawa tasmiyah sebahagian daripada al-Fatihah. Oleh itu, hukum membaca tasmiyah dan al-Fatihah adalah berbeza[56].

• Tasmiyah sunnah dibaca berdasarkan hadith Anas bin Malik radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ وَخَلْفَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَكَانُوا لَا يَجْهَرُونَ بِبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 
Aku telah solat di belakang Rasulullah ﷺ dan di belakang Abu Bakar, 'Umar dan 'Usman, mereka tidak menjaharkan bismillahirrahmanirrahim. 
(HR Ahmad)[57]

Istinbat hukum: Hadith ini menyatakan bahawa mereka tidak menjaharkan tasmiyah. Ianya bukanlah bermaksud mereka tidak membacanya tetapi ianya dibaca secara sir (perlahan).

• Tasmiyah dibaca secara sir[58] kerana ianya termasuk zikir dan hukum asal zikir adalah dibaca secara sir berdasarkan ayat 205 Surah al-A'raf.

• Adakah sunnah tasmiyah sebelum al-Fatihah pada setiap rakaat?

Mazhab Hanafi bersepakat bahawa tasmiyah disunnahkan sebelum al-Fatihah pada rakaat pertama.

Mereka khilaf pada rakaat yang lain:

Satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah bahawa tidak perlu tasmiyah pada rakaat yang lain kerana ia bukan sebahagian daripada al-Fatihah. Tasmiyah sebelum qiraah adalah untuk tabarruk dan ianya khusus pada rakaat pertama sahaja seperti ta'awwuz.

Satu lagi riwayat beliau berpendapat tasmiyah dibaca pada setiap rakaat dan inilah qaul al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad. Hujahnya walaupun tasmiyah bukanlah sebahagian daripada al-Fatihah secara qat'i, namun ada khabar wahid yang menyatakannya. Dan beramal dengan khabar wahid adalah wajib. Maka ketika hendak membaca al-Fatihah, hendaklah juga membaca tasmiyah sebagai ihtiyat (berhati-hati)[59].

• Adakah tasmiyah dibaca pada permulaan setiap surah?

Khilaf:

Tidak dibaca tasmiyah di sisi Imam Abu Hanifah dan al-Qadhi Abu Yusuf kerana generasi salaf telah bersepakat bahawa tasmiyah bukan permulaan daripada mana-mana surah selain al-Fatihah.

Manakala di sisi Imam Muhammad hendaklah dibaca tasmiyah sebagai ihtiyat sepertimana halnya tasmiyah pada al-Fatihah. Namun ianya hanya dibaca ketika qiraah sir kerana mengikuti mushaf. Manakala ketika qiraah jahar, tasmiyah tidak dibaca kerana jika ia dibaca ketika qiraah jahar, sudah tentu ia dibaca secara sir. Maka akan berlaku saktah di antara al-Fatihah dan surah. Hal yang sedemikian itu tidaklah disyariatkan[60].

• Sepakat Mazhab Hanafi bahawa tasmiyah tidak dibaca oleh makmum kerana mereka tidak perlu qiraah. Hujah mengenainya akan dibahaskan nanti.

7) QIRAAH


• Qiraah termasuk dalam rukun solat dan hukumnya fardhu[61] berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْءَانِ 
Maka kalian bacalah apa-apa yang mudah daripada al-Quran. 
(Surah al-Muzzammil: 20)

Dan sabda Nabi ﷺ:

لَا صَلَاةَ إِلَّا بِقِرَاءَةٍ 
Tiada solat kecuali dengan qiraah. 
(HR Muslim)[62]

• Qiraah fardhu pada setiap rakaat solat sunnah, witir dan solat fardhu dua rakaat, manakala bagi solat fardhu tiga dan empat rakaat, qiraah difardhukan pada dua rakaat sahaja tanpa dita'yinkan rakaat tersebut[63], sebahagian fuqaha' Hanafiyyah menta'yinkannya pada dua rakaat yang awal, jika ditinggalkan perlu diganti pada dua rakaat akhir[64]. 

• Kefardhuan qiraah adalah bagi setiap imam dan munfarid[65].

• Adapun bagi makmum, gugur kefardhuan tersebut kerana dia diperintahkan untuk dengar dan diam ketika dibacakan ayat al-Quran[66] berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْءَانُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ 
Dan apabila al-Quran dibacakan, maka kalian dengarlah akannya dan kalian diamlah mudah-mudahan kalian dirahmati. 
(Surah al-A'raf: 204)

Dan berdalilkan hadith:

إِنَّمَا الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا 
Sesungguhnya imam itu untuk diikuti, maka apabila dia bertakbir maka kalian bertakbirlah, dan apabila dia qiraah maka kalian diamlah. 
(HR Abu Daud, al-Nasai, Ibnu Majah, Ahmad)[67] 
Nota: Hadith ini sahih kecuali pada lafaz وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا. Sebahagian muhaddithin menyatakan ada 'illah pada lafaz tersebut seperti Imam al-Bukhari, al-Hafiz al-Daruqutni dan Imam al-Baihaqi. Begitu juga Imam Abu Daud mengatakan lafaz ini waham kerana kebanyakkan riwayat tidak menyebutkannya. Manakala sebahagian lagi mensahihkannya seperti Imam Muslim dan Imam Ahmad namun Imam Muslim tidak memasukkan lafaz ini dalam Sahihnya.

• Walaupun makmum tidak qiraah, tidaklah bermakna solatnya tanpa qiraah bahkan solatnya juga dengan qiraah kerana qiraah imam dikira sebagai qiraah makmum[68] berdasarkan hadith:

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَقِرَاءَةُ الْإِمَامِ لَهُ قِرَاءَةٌ 
Sesiapa yang baginya ada imam, maka qiraah imam itu juga adalah qiraahnya. 
(HR Ibnu Majah)[69] 
Nota: Hadith ini didhaifkan oleh ramai muhaddithin seperti al-Hafiz al-Daruqutni, Imam al-Baihaqi,  dan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani.

• Apakah kadar qiraah yang fardhu?

Ada tiga riwayat daripada Imam Abu Hanifah:

1) Sekadar satu ayat yang lengkap sama ada panjang atau pendek seperti ayat 64 Surah al-Rahman: مُدْهَآمَّتَانِ

2) Sekadar yang boleh diterima sebagai qiraah walaupun tidak sempurna satu ayat dengan niat untuk qiraah al-Quran.

3) Sekadar satu ayat yang panjang seperti Ayatul Kursi atau tiga ayat yang pendek. Ini juga adalah qaul al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad[70].

Hujah Imam Abu Hanifah berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْءَانِ 
Maka kalian bacalah apa-apa yang mudah daripada al-Quran. 
(Surah al-Muzzammil: 20)

Istinbat hukum: Allah ﷻ memerintahkan qiraah secara umum. Dan membaca satu ayat yang pendek juga dikira sebagai qiraah. Begitu juga perintah untuk membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran. Disebabkan itu haram bagi wanita haid membaca apa-apa daripada al-Quran walau ayat yang tidak sempurna.

Hujah al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad adalah berdasarkan 'uruf. Secara 'uruf, seseorang itu dikira qiraah apabila membaca satu ayat yang panjang atau tiga ayat yang pendek[71]. Maka dia tidak dikira membaca al-Quran jika hanya membaca misalnya سبحان الله، الحمد لله dan بسم الله sahaja.

• Hukum qiraah al-Fatihah dan surah bukanlah fardhu berdasarkan keumuman perintah qiraah pada ayat 20 Surah al-Muzzammil tersebut. Juga berdasarkan hadith musi' al-solah, ketika Nabi ﷺ mengajarkan seorang lelaki solat, Baginda ﷺ bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْءَانِ 
Apabila engkau berdiri untuk solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa-apa yang mudah bagimu daripada al-Quran 
(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)[72]

• Hukum qiraah al-Fatihah dan surah adalah wajib bagi dua rakaat yang awal sahaja[73]  berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ 
Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca al-Fatihah 
(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'i dan Ibnu Majah)[74]

Dan hadith:

وَلَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِالْحَمْدِ وَسُورَةٍ فِي فَرِيضَةٍ أَوْ غَيْرِهَا 
Tiada solat bagi sesiapa yang tidak membaca al-Fatihah dan surah dalam solat fardhu atau selainnya. 
(HR al-Tirmizi dan Ibnu Majah)[75] 
Nota: Lafaz ini merupakan pertambahan bagi hadith miftah al-solah al-tuhur. Seorang perawi bernama Abu Sufyan Torif al-Sa'di dihukum dhaif.

• Makruh meninggalkan qiraah al-Fatihah dan surah pada dua rakaat yang awal tanpa keuzuran. Jika tertinggal kerana lupa, hendaklah dia sujud sahwi. Jika sengaja, maka dia telah melakukan sesuatu yang buruk.

• Sunnah qiraah al-Fatihah pada dua rakaat akhir solat ruba'i atau satu rakaat akhir solat Maghrib dalam qaul yang lebih sahih yang diriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah[76]. Jika musolli menghendaki untuk bertasbih atau berdiam sahaja juga dibolehkan[77]. Berdasarkan ijma' sahabat iaitu:

1) Abu Bakr radhiallahu 'anhu qiraah dalam bentuk pujian-pujian pada dua rakaat akhir ketika zaman Nabi ﷺ. Dan diriwayatkan juga bahawa beliau membaca ءَامَنَ الرَّسُولُ dalam bentuk puji-pujian.

2) 'Umar radhiallahu 'anhu pernah tertinggal qiraah pada satu rakaat dalam Solat Maghrib maka dia menggantikannya pada rakaat ketiga dengan jahar.

3) 'Usman radhiallahu 'anhu pernah tertinggal qiraah pada dua rakaat awal Solat Isyak kemudian dia menggantikannya pada dua rakaat akhir dengan jahar.

4) 'Ali dan Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhuma bertasbih pada dua rakaat akhir.

5) Seorang lelaki bertanya kepada 'Aisyah radhiallahu 'anha mengenai qiraah al-Fatihah pada dua rakaat akhir, kemudian beliau menjawab: "Aku membacanya supaya menjadi puji-pujian"[78].

• Adakah sah qiraah dengan Bahasa Parsi?

Khilaf:

Tidak sah kecuali sekiranya musolli tidak mampu berbahasa Arab dengan baik. Inilah pandangan al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad.

Manakala di sisi Imam Abu Hanifah, ianya sah sama ada musolli boleh berbahasa Arab dengan baik atau sebaliknya[79]. Ada beberapa hujah seperti berikut:

1) Qiraah al-Quran bermaksud membaca lafaz yang menunjukkan makna Kalamullah iaitu sifat Allah ﷻ, bukannya lafaz Bahasa Arab itu sendiri. Namun hendaklah lafaz itu tidak bercanggah dengan makna al-Quran. Dalilnya adalah firman Allah ﷻ:

وَإِنَّهُ لَفِي زُبُرِ الْأَوَّلِينَ 
Dan sesungguhnya ia (al-Quran) benar-benar ada dalam kitab-kitab orang-orang yang terdahulu. 
(Surah al-Syu'ara': 196)

Dan firman Allah ﷻ:

إِنَّ هَذَا لَفِي الصُّحُفِ الْأُولَى. صُحُفِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى 
Sesungguhnya hal ini benar-benar ada dalam lembaran-lembaran yang awal. Lembaran-lembaran Ibrahim dan Musa. 
(Surah al-A'la: 18-19)

Istinbat hukum: Dua ayat di atas menunjukkan bahawa apa yang terkandung dalam al-Quran telah ada di dalam kitab-kitab yang terdahulu dan kita sedia maklum bahawa kitab-kitab terdahulu bukanlah berbahasa Arab. Jadi al-Quran yang dimaksudkan itu adalah dari segi maknanya, bukan dari segi lafaznya. Oleh itu, membaca al-Quran secara makna dalam Bahasa Parsi adalah dibenarkan[80].

2) Al-Quran adalah Kalamullah iaitu sifat kalam Allah ﷻ yang berdiri di atas zatNya. Kerana itu ia bukan makhluk. Manakala Bahasa Arab adalah bahasa manusia yang bertujuan untuk menunjukkan apa itu al-Quran. Maka ini tidaklah menghalang  bahasa lain untuk menjadi al-Quran apabila lafaz al-Quran itu boleh diterjemahkan dengan tepat. Untuk itu Bahasa Parsi juga boleh dijadikan al-Quran dari segi makna berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَلَوْ جَعَلْنَاهُ قُرْءَانًا أَعْجَمِيًّا 
Dan kalaulah kami menjadikannya (al-Quran) al-Quran dalam bahasa asing 
(Surah al-Fussilat: 44)

3) Walaupun kemukjizatan al-Quran dari segi lafaz Arabnya tidak didapati dalam bahasa lain, namun ia tidak bermakna tidak boleh qiraah al-Quran dalam bahasa lain kerana yang difardhukan adalah qiraah secara umum dan qiraah apa yang dikatakan sebagai mukjizat itu bukanlah syarat[81].

• Bolehkah qiraah dari Kitab Taurat, Injil dan Zabur?

Di sisi Abu Hanifah, ianya diperbolehkan jika ayat yang dibaca itu diyakini tidak diselewengkan. Jika tidak diyakini maka tidak boleh kerana Allah ﷻ berfirman:

يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ 
Mereka menyelewengkan kalam-kalam (Allah) daripada tempat-tempatnya 
(Surah al-Nisa': 46)

Istinbat hukum: Ayat ini memungkinkan apa yang dibaca daripada kitab-kitab samawi tersebut telah diselewengkan lalu ia menjadi kalam manusia, bukan Kalamullah. Maka tidak dibenarkan untuk menghukum boleh qiraah dengannya atas rasa syak dan andaian[82].

• Bilakah qiraah jahar dan sir bagi imam?

Imam wajib jahar qiraah pada Subuh dan dua rakaat awal solat Maghrib dan Isyak dan solat yang disyaratkan jemaah seperti Jumaat, dua hari raya dan tarawih. Ini kerana qiraah adalah rukun yang ditanggung oleh imam sahaja dan makmum perlu mendengar dan memberi perhatian kepadanya.

Berbeza dengan solat sir ataupun solat siang iaitu Zohor dan Asar, imam wajib sir[83] berdasarkan hadith:

صَلَاة النَّهَارِ عَجْمَاء 
Solat siang adalah 'ajma' (tidak didengar bacaannya)[84] 
Nota: Hadith ini dipertikaikan oleh ramai muhaddithin. Imam al-Nawawi berkata hadith ini batil, tiada asal baginya.


Pada permulaan Islam, Nabi ﷺ menjaharkan solat siang sehingga apabila musyrikin mendengarnya, mereka akan menyakiti Baginda ﷺ dan mencela Allah ﷻ dan RasulNya ﷺ. Maka dari itu turunlah ayat:

وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا 
Dan janganlah engkau menjaharkan solatmu dan jangan pula memperlahankannya dan carilah cara di antara yang demikian itu. 
(Surah al-Isra': 110)

Kemudian Baginda ﷺ memperlahankan bacaan solat Zohor dan Asar kerana orang musyrikin pada dua waktu ini bersedia untuk menyakiti Baginda ﷺ . Manakala Baginda ﷺ menjaharkan solat Maghrib kerana ketika itu mereka sibuk makan dan solat Isyak serta Subuh kerana ketika itu mereka tidur.

Dijaharkan bagi solat Jumaat dan dua hari raya pula kerana kedua-dua solat ini dilakukan di Madinah yang mana ketika itu orang-orang kafir tidak ada kekuatan untuk menyakiti[85].

• Bilakah qiraah jahar dan sir bagi munfarid?

Bagi munfarid hendaklah dia sir pada solat siang. Ini kerana hadith 'solat siang adalah 'ajma'' itu bersifat umum merangkumi imam dan munfarid. Tambahan pula jika imam perlu sirkan qiraah solat siang dalam keadaan dia perlu mendengarkan qiraahnya kepada makmum, maka munfarid lebih patut untuk sir.

Adapun pada solat jahar , munfarid boleh memilih sama ada sir atau jahar. Sir kerana jahar itu untuk mendengarkan bacaan kepada makmum di belakangnya sedangkan tiada makmum baginya. Manakala jahar untuk menyerupai seperti keadaan solat berjemah dan inilah yang afdhal[86].

Bagi solat tatawwu' pula, jika ditunaikan pada waktu siang maka hendaklah sir. Jika malam, boleh pilih sama ada sir ataupun jahar dan jahar adalah afdhal. Ini kerana solat sunat mengikut solat fardhu. Jika ia dilakukan secara berjemaah, maka imam wajib jahar. Dan diriwayatkan bahawa Nabi ﷺ:

ِأَنَّهُ كَانَ إِذَا صَلَّى بِاللَّيْلِ سُمِعَتْ قِرَاءَتُهُ مِنْ وَرَاءِ الْحِجَاب 
Apabila Baginda solat malam, qiraahnya didengari di sebalik hijab[87].


8) TAKMIN


• Takmin merujuk kepada sebutan amin selepas qiraah al-Fatihah.

• Sunnah takmin berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

 :إِذَا قَالَ الْإِمَامُ: غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّآلِّينَ، فَقُولُوا آمِينَ. فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ قَولُهُ قَوْلَ الْمَلَائِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 
Apabila imam telah membaca: ghairil maghdhubi 'alaihim waladdhollin, maka kalian katalah: Amin. Maka sesungguhnya sesiapa yang ucapannya itu seiringan ucapan malaikat, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. 
(HR al-Bukhari)[88]


• Sunnah takmin dengan sir[89]. Hujahnya bahawa takmin adalah doa dan asal hukum bagi doa adalah sir seperti yang telah dihuraikan sebelum ini. Selain itu Imam al-Nasa'i membawakan hadith di atas dengan penambahan lafaz:

فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ تَقُولُ آمِينَ وَإِنَّ الْإِمَامَ يَقُولَ آمِينَ 
Maka sesungguhnya malaikat menyebut amin dan sesungguhnya imam menyebut amin. 
(HR al-Nasa'i)[90]

Istinbat hukum: Kalaulah kata amin oleh imam itu didengari, maka tidak perlu Nabi ﷺ menyebut: 'Sesungguhnya imam menyebut amin'.

Adapun hadith yang mengatakan jahar takmin itu diandaikan bahawa Baginda ﷺ hendak mengajarkan manusia mengenainya[91].

9) TAKBIR AL-INTIQAL


• Takbir al-intiqal adalah sunnah berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiallahu 'anhu:

أَنَّهُ كَانَ يُصَلِّي بِهِمْ فَيُكَبِّرُ كُلَّمَا خَفَضَ وَرَفَعَ. فَإِذَا انْصَرَفَ قَالَ: إِنِّي لَأَشْبَهُكُمْ صَلَاةً بِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ 
Beliau (Abu Hurairah) solat bersama mereka maka beliau bertakbir setiap kali turun dan bangun. Kemudian apabila beliau berpaling, beliau berkata: Sesungguhnya aku benar-benar menyerupakan kepada kalian solat dengan Rasulullah ﷺ.  
(HR al-Bukhari)[92]

Juga dengan hujah bahawa zikir adalah sunnah dalam setiap rukun solat supaya setiap rukun solat itu mengagungkan Allah ﷻ dengan zikir. Intiqal antara rukun ke rukun juga dianggap sebagai rukun kerana ia sebagai wasilah untuk sampai kepada rukun yang lain. Maka zikir di dalamnya adalah disunnahkan[93].

• Mengangkat tangan ketika takbir al-intiqal tidak disunnahkan dalam solat-solat fardhu[94] berdasarkan hadith al-Barra' bin 'Azib:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ كَانَ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلَاةَ رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَى قَرِيبٍ مِنْ أُذُنَيْهِ ثُمَّ لَا يَعُودُ 
Bahawa Rasulullah ﷺ apabila memulakan solat, Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga menghampiri kedua telinganya kemudian Baginda tidak kembali mengulangi (mengangkat tangan) 
(HR Abu Daud)[95]

Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Abu Hanifah dengan sanadnya sendiri daripada Hammad daripada Ibrahim al-Nakha'i daripada 'Alqamah daripada Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ عِنْدَ تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ ثُمَّ لَا يَعُودُ 
Bahawa Nabi ﷺ mengangkat kedua tangannya ketika takbiratul ihram kemudian Baginda tidak kembali mengulangi (mengangkat tangan)[96]

Dan berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

مَالِي أَرَاكُم رَافِعِي أَيْدِيكُمْ كَأَنَّهَا أَذْنَابُ خَيْلٍ شُمْسٍ؟ اسْكُنُوا فِي الصَّلَاةِ 
Kenapa aku melihat kalian mengangkat tangan-tangan kalian seperti ekor-ekor kuda syumus? Diamlah kalian di dalam solat. 
(HR Muslim)[97]

Hujah lainnya adalah tujuan mengangkat tangan itu supaya perbuatan imam diketahui oleh orang yang pekak dan ianya hanya perlu dalam keadaan berdiri seperti takbiratul ihram dan takbir zawaid dalam solat dua hari raya. Adapun mengangkat tangan ketika intiqal tidak diperlukan kerana orang pekak boleh melihat intiqal tersebut[98].

Adapun hadith mengangkat tangan pada selain takbiratul ihram adalah mansukh berdasarkan hadith Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

رَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَرَفَعْنَا، وَتَرَكَ فَتَرَكْنَا 
Rasulullah ﷺ mengangkat (tangannya) maka kami pun mengangkat (tangan kami), dan Baginda meninggalkan (mengangkat tangan), maka kami pun meninggalkan(nya)[99].

Begitu juga berdasarkan athar daripada 'Ali dan Ibnu 'Umar radhiallahu 'anhuma:

'Asim bin Kulaib rahimahullah berkata:

صَلَّيْتُ خَلْفَ عَلِيِّ سَنَتَيْنِ فَكَانَ لَا يَرْفَع يَدَيْهِ إِلَّا فِي تَكْبِيرَةِ الْإِفْتِتَاحِ 
Aku solat di belakang 'Ali selama dua tahun, maka dia tidak mengangkat kedua tangannya kecuali ketika takbiratul ihram.

Mujahid rahimahullah berkata:

صَلَّيْتُ خَلْفَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَر سَنَتَيْنِ فَكَانَ لَا يَرْفَع يَدَيْهِ إِلَّا فِي تَكْبِيرَةِ الْإِفْتِتَاحِ 
Aku solat di belakang 'Abdullah bin 'Umar selama dua tahun, maka dia tidak mengangkat kedua tangannya kecuali ketika takbiratul ihram[100].

10) INTIQAL KEPADA RUKU' DAN RUKU'


• Ketika hendak ruku', disunnahkan bertakbir dan tidak mengangkat tangan. Hal ini telah dibahaskan dalam takbir al-intiqal[101].

• Ruku' adalah salah satu daripada rukun solat dan hukumnya fardhu[102] berdasarkan firman Allah ﷻ:

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا ارْكَعُوا 
Wahai orang-orang yang beriman, ruku'lah kalian 
(Surah al-Hajj: 77)

• Ada dua riwayat mengenai kadar ruku' yang difardhukan di sisi Imam Abu Hanifah:

1) Sekadar kepala menunduk sedikit dan tidak dalam keadaan berdiri tegak.

2) Jika musolli lebih hampir kepada ruku' maka ianya sah, jika lebih hampir kepada qiyam tidak sah[103].

• Apakah hukum tomakninah dalam ruku'?

Khilaf:

Al-Qadhi Abu Yusuf berpandangan fardhu dengan beberapa hujah berdasarkan hadith musi' al-solah:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ دَخَلَ الْمَسْجِدَ، فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى، فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ فَرَدَّ وَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ، فَرَجَعَ يُصَلِّي كَمَا صَلَّى، ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ، (ثَلَاثًا) فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ، فَعَلِّمْنِي. فَقَالَ: إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْءَانِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا 
Bahawa Rasulullah ﷺ memasuki masjid, kemudian masuk seorang lelaki lalu dia bersolat, kemudian dia memberi salam kepada Nabi ﷺ maka Baginda menjawabnya dan bersabda: Kembalilah kemudian solatlah, maka sesungguhnya engkau tidak solat. Kemudian dia kembali solat seperti mana solatnya tadi. Kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi ﷺ. Maka Baginda bersabda: Kembalilah kemudian solatlah, maka sesungguhnya engkau tidak solat (tiga kali). Kemudian dia berkata: Demi yang membangkitkanmu dengan kebenaran, aku tidak mampu buat yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku. Maka Baginda bersabda: Apabila engkau berdiri untuk solat, maka bertakbirlah. Kemudian bacalah apa yang mudah bagimu daripada al-Quran. Kemudian ruku'lah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan ruku'. Kemudian bangkitlah sehingga engkau lurus berdiri. Kemudian sujudlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga engkau tomakninah dalam keadaan duduk. Dan lakukanlah hal yang demikian itu dalam keseluruhan solatmu. 

(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)[104]

1) Rasulullah ﷺ memerintahkannya untuk kembali solat. Pengulangan solat tidak diwajibkan kecuali apabila berlaku kerosakan dalam solat yang disebabkan oleh hilangnya rukun.

2) Baginda menafikan solatnya dengan sabda Baginda: فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ (Maka sesungguhnya engkau tidak solat).

3) Baginda memerintahkannya untuk tomakninah dan ia menunjukkan kefardhuannya[105].

Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad berpendapat tidak fardhu[106] atas beberapa hujah:

1)  Ayat al-Quran tersebut memerintahkan ruku' secara umum dan ruku' terhasil sekadar bongkok dan condong tanpa tomakninah.

2) Adapun perintah tomakninah dalam hadith musi' al-solah itu adalah khabar wahid yang tidak boleh mentaqyidkan keumuman al-Quran.

3) Sabda Baginda: فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ (Maka sesungguhnya engkau tidak solat) membawa maksud penafian kepada kesempurnaan solat, bukan penafian kepada sahnya solat.

Ada dua riwayat tentang hukum tomakninah di sisi Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad iaitu:

1) Sunnah seperti yang dinyatakan oleh Abu 'Abdullah al-Jurjani sehingga tidak perlu sujud sahwi jika meninggalkannya.

2) Wajib seperti yang dinyatakan oleh al-Karkhi sehingga jika ditinggalkan kerana lupa, wajib baginya sujud sahwi. Ini kerana tomakninah adalah dalam bab menyempurnakan rukun. Menyempurnakan rukun adalah wajib seperti menyempurnakan qiraah dengan al-Fatihah. Dalam hadith musi' al-solah, Nabi ﷺ menyifatkan lelaki itu tidak solat kerana dia telah meninggalkan rukun yang membatalkan solatnya atau meninggalkan perkara wajib yang mengurangi kesempurnaan solatnya. Jika tomakninah sunnah, maka tidak perlu disifatkan seperti itu kerana perkara sunnah tidak mengurangi kesempurnaan solat, apalagi membatalkannya. Disebabkan ini, meninggalkan tomakninah dihukum makruh berat sehingga Imam Abu Hanifah berkata: Aku takut tidak sah solatnya (tanpa tomakninah)[107].

Nota: Perbahasan tomakninah dalam i'tidal, sujud dan duduk antara dua sujud yang akan dibahaskan nanti juga sama halnya dengan perbahasan di atas.

• Adapun hal-hal lain yang akan dibentangkan di bawah adalah sunnah dan tidak terbatal solat tanpanya kerana perintah al-Quran adalah untuk ruku' secara umum dan juga tidak ada dalam hadith musi' al-solah.

• Sunnah meluruskan belakang badan berdasarkan hadith Wabisoh bin Ma'bad radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يُصَلِّي. فَكَانَ إِذَا رَكَعَ سَوَّى ظَهْرَهُ، حَتَّى لَوْ صُبَّ عَلَيْهِ الْمَاءُ لَاسْتَقَرَّ 
Aku telah melihat Rasulullah ﷺ solat. Maka apabila ruku', Baginda meluruskan belakangnya sehingga jika dituangkan ke atasnya air pastilah ianya tetap (tidak tumpah) 
(HR Ibnu Majah)[108] 
Nota: Al-Busiri dalam kitabnya al-Zawa'id berkata: Dalam sanadnya ada Thalhah bin Zaid, al-Bukhari dan selainnya berkata: Munkarul Hadith dan al-Madini berkata: Dia memalsukan hadith.

• Sunnah menjadikan kepala selari dengan belakang badan iaitu tidak menundukkan kepala dan tidak mengangkatnya[109] berdasarkan hadith 'Aisyah radhiallahu 'anha, beliau berkata:

وَكَانَ إِذَا رَكَعَ لَمْ يُشْخِصْ رَأْسَهُ وَلَمْ يُصَوِّبْهُ، وَلَكِنْ بَيْنَ ذَلِكَ 
Dan apabila ruku', Baginda tidak mengangkat kepalanya dan tidak menundukkannya akan tetapi di antara keduanya itu. 
(HR Muslim)[110]

• Sunnah meletakkan kedua tapak tangan di atas lutut dan merenggangkan jari jemari[111] berdasarkan hadith Abu Humaid al-Sa'idi radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

وَإِذَا رَكَعَ أَمْكَنَ يَدَيْهِ مِنْ رُكْبَتَيهِ 
Apabila ruku', Baginda menjadikan kedua tangannya mampu (sampai) di kedua lututnya 
(HR al-Bukhari)[112]

• Sunnah bertasbih dengan menyebut:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ berdasarkan hadith 'Uqbah bin 'Amir radhiallahu 'anhu:

لَمَّا نَزَلَتْ: فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: اجْعَلُوهَا فِي رُكُوعِكُمْ 
Ketika turun ayat: fasabbih bismi rabbikal'azim (Surah al-Waqi'ah: 74), Rasulullah ﷺ bersabda: Kalian jadikanlah ianya itu di dalam ruku' kalian. 
(HR Abu Daud)[113]

• Sunnah bertasbih sekurang-kurangnya tiga kali[114] berdasarkan hadith riwayat Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu, Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا رَكَعَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ، وَذَلِكَ أَدْنَاهُ 
Apabila seorang daripada kalian ruku' maka hendaklah dia mengucapkan tiga kali: subhana rabbiyal'azim, dan itulah yang sekurang-kurangnya. 
(HR Abu Daud)[115] 
Nota: Sanad hadith ini dha'if kerana terputus. Imam Abu Daud berkata: Ini mursal. 'Aun tidak menemui 'Abdullah.

• Afdhal bertasbih lebih tiga kali kerana hadith menyebut sekurang-kurangnya tiga kali.

• Makruh bagi imam bertasbih lebih tiga kali kerana ditakuti akan menyebabkan makmum terbeban dan menjauhi solat jemaah[116] berdasarkan qiyas daripada teguran Rasulullah ﷺ kepada Mu'az radhiallahu 'anhu apabila beliau menjadi imam dan memanjangkan qiraah dalam solat[117], Baginda ﷺ bersabda:

يَا مُعَاذُ، أَفَتَّانٌ أَنْتَ - أَوْ فَاتِنٌ - (ثَلَاثَ مِرَارٍ) فَلَولَا صَلَّيْتَ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى، فَإِنَّهُ يُصَلِّي وَرَاءَكَ الْكَبِيرُ والضَّعِيفُ وَذُو الْحَاجَةِ 
Wahai Mu'az, apakah engkau hendak menimbulkan fitnah? (tiga kali). Maka kalaulah engkau solat dengan (Surah al-A'la), (Surah al-Syams) dan (Surah al-Lail), maka sesungguhnya orang yang solat di belakangmu itu ada yang tua, lemah dan mempunyai urusan. 
(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan al-Nasa'i)[118]

• Diriwayatkan daripada Imam Muhammad bahawa makruh bertasbih kurang daripada tiga kali kerana hadith menjadikan tiga kali itu sebagai had minimum bagi kesempurnaan ruku'.

• Bagi makmum pula hendaklah bertasbih sehingga imam mengangkat kepalanya daripada ruku'[119].

11) BANGKIT DARI RUKU' DAN I'TIDAL


• Intiqal antara ruku' kepada sujud adalah fardhu kerana ia adalah perantaraan untuk sampai kepada rukun yang lain.

• Namun bangkit dari ruku' dan i'tidal tidaklah fardhu di sisi Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad tetapi wajib ataupun sunnah seperti yang telah dijelaskan dalam perbahasan tomakninah dalam ruku'.

• Manakala di sisi al-Qadhi Abu Yusuf pula adalah fardhu berdasarkan hadith musi' al-solah[120]:

ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْدِلَ قَائِمًا 
Kemudian bangkitlah sehingga engkau tegak berdiri 
(HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)

• Sunnah menyebut tasmi' iaitu سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ

• Sunnah menyebut tahmid iaitu:

1) رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ (inilah lafaz yang masyhur)
2) رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ
3) اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

• Mazhab Hanafi khilaf adakah disunnahkan imam dan makmum menggabungkan tasmi' dan tahmid?

Al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad berpandangan disunnahkan imam bertasmi' dan bertahmid[121] berdasarkan hadith Ibnu 'Umar radhiallahu 'anhuma dan selainnya, beliau berkata:

وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكَوعِ رَفَعَهُمَا كَذَلِكَ أَيْضًا وَقَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ 
Dan apabila Baginda mengangkat kepalanya daripada ruku', Baginda mengangkat kedua tangannya seperti itu juga dan menyebut: Sami'allahu li man hamidah, rabbana wa lakalhamd 
(HR al-Bukhari)[122]

Istinbat hukum:

1) Walaupun hadith di atas tidak menyebutkan keadaan solat Baginda , namun kebiasaannya posisi Baginda ﷺ adalah sebagai imam.

2) Hak imam adalah seperti hak munfarid bagi dirinya. Munfarid menghimpunkan kedua-dua zikir itu, maka begitu juga halnya imam.

3) Maksud tasmi' adalah untuk menggalakkan orang bertahmid. Maka tidak patut imam menggalakkan orang lain bertahmid sedangkan dia sendiri tidak bertahmid. Agar tidak termasuk dalam firman Allah ﷻ:

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ 
Apakah kalian menyuruh manusia melakukan kebaikan sedangkan kalian melupakan diri kalian sendiri 
(Surah al-Baqarah: 44)

Manakala bagi Imam Abu Hanifah ada dua riwayat. Riwayat pertama seperti qaul di atas. Riwayat kedua beliau berpandangan bahawa imam hanya disunnahkan untuk bertasmi' sahaja manakala makmum disunnahkan untuk bertahmid sahaja. Berdasarkan hadith al-qismah, sabda Nabi ﷺ:

وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ 
Dan apabila dia (imam) menyebut: Sami'allahu li man hamidah, maka kalian sebutlah: Rabbana lakalhamd. 
(HR al-Bukhari)[123]

Istinbat hukum:

1) Baginda membahagikan tasmi' untuk imam dan tahmid untuk makmum. Jika digabungkan kedua-dua zikir itu untuk salah satu di antara mereka, maka tidaklah terhasil pembahagian ini.

2) Tasmi' dan tahmid hendaklah diucapkan seiringan dengan intiqal. Disebabkan itu, tidak disunnahkan imam untuk tahmid. Jika imam bertahmid, maka tahmid imam akan diucapkan selepas tahmid makmum. Ini menjadikan imam tabi' makmum kerana makmum mendahului imam dalam bertahmid. Ini bercanggah dengan maksud berjemaah itu sendiri[124].

3) Adapun hadith Ibnu 'Umar radhiallahu 'anhu dan seumpamanya itu diandaikan bahawa kedua zikir itu dihimpunkan oleh Baginda ketika solat sendirian dalam solat malam[125].

• Mazhab Hanafi sepakat tidak disunnahkan bertasmi' bagi makmum[126] berdasarkan hadith al-qismah di atas dan kerana tasmi' adalah seruan untuk bertahmid. Perkara yang sepatutnya dibuat oleh orang yang diseru (makmum) adalah untuk menyahut seruan iaitu dengan bertahmid dan tidak patut baginya untuk mengulangi seruan itu (tasmi').

• Bagi munfarid pula, terdapat beberapa riwayat daripada Imam Abu Hanifah mengenai hal ini iaitu:

1) Sunnah bertasmi' tanpa tahmid kerana tahmid itu adalah untuk makmum. Alasan lainnya kerana tasmi' dan tahmid itu hanya disunnahkan ketika mengangkat kepala dari ruku', bukan ketika berdiri. Ketika mengangkat kepala, munfarid telah disibukkan dengan tasmi'. Jadi tahmid akan disebut ketika berdiri sedangkan itu bukan tempatnya disunnahkan bertahmid[127].

2) Sunnah menggabungkan keduanya berdasarkan hadith Ibnu 'Umar radhiallahu 'anhuma dan selainnya. 

3) Sunnah bertahmid tanpa tasmi' kerana tasmi' adalah menyeru orang lain untuk bertahmid. Ini tidak berlaku ketika solat berseorangan. Inilah riwayat yang paling sahih daripada beliau[128].

12) INTIQAL KEPADA SUJUD DAN SUJUD


• Ketika intiqal kepada sujud, disunnahkan bertakbir dan tidak mengangkat tangan. Hal ini telah dibahaskan dalam takbir al-intiqal[129].

• Sunnah meletakkan kedua lutut dahulu sebelum kedua tapak tangan[130] berdasarkan hadith Wa'il bin Hujr radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ إِذَا سَجَدَ يَضَعُ رُكْبَتَيْهِ قَبْلَ يَدَيْهِ 
Aku melihat Rasulullah ﷺ apabila hendak sujud, Baginda meletakkan kedua lututnya dahulu sebelum kedua tangannya. 
(HR Abu Daud, al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Nasa'i)[131].
Nota: Ada perbahasan mengenai sanad hadith ini. Di dalamnya ada perawi bernama Syuraik yang meriwayatkan daripada 'Asim bin Kulaib. Dikatakan Syuraik mempunyai hafalan yang kurang baik. Imam al-Tirmizi berkata: "Hadith ini hasan gharib, aku tidak mengetahui orang yang meriwayatkannya selain daripada Syuraik. Dan ramai ahli ilmu yang mengamalkannya".

• Sujud termasuk dalam rukun solat. Hukumnya fardhu[132] berdasarkan firman Allah ﷻ:

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا 
Wahai orang-orang yang beriman, ruku' dan sujudlah kalian 
(Surah al-Hajj: 77)

• Mazhab Hanafi bersepakat bahawa meletakkan kedua tangan dan kedua lutut adalah sunnah[133]

• Di kalangan Imam Mazhab Hanafi, mereka khilaf dalam menetapkan anggota wajah yang fardhu ketika sujud:

Imam Abu Hanifah berpandangan fardhu meletakkan salah satu antara dahi atau hidung. Jika meletakkan dahi tanpa hidung, sah tanpa makruh. Jika meletakkan hidung tanpa dahi, sah tetapi makruh. Hujahnya:

1) Apa yang diperintahkan dalam al-Quran adalah sujud secara umum tanpa menta'yinkan mana-mana anggota.

2) Telah berlaku ijmak bahawa sebahagian wajah itu adalah dahi dan hidung manakala tidak berlaku ijmak untuk menta'yinkan dahi sahaja. Lalu tidak boleh menta'yinkan dahi.

3) Hadith yang menta'yinkan anggota tertentu adalah khabar wahid yang mana ianya tidak boleh mentaqyidkan keumuman al-Quran.

Manakala al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad dan satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah berpandangan fardhu meletakkan dahi[134] berdasarkan hadith Abu Sa'id al-Khudri radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ إِذَا سَجَدَ أَمْكَنَ أَنْفَهُ وَجَبْهَتَهُ مِنَ الْأَرْضِ 
Bahawa Nabi ﷺ apabila sujud, Baginda meletakkan hidungnya dan dahinya di bumi. 
(HR al-Tirmizi)[135]

Istinbat hukum: Hadith di atas memperlihatkan Baginda meletakkan kedua-duanya sekali. Begitupun, jika meletakkan dahi sahaja maka telah dikira sujud kerana dahi adalah asal dalam sujud sedangkan hidung adalah tabi'. Tabi' tidak dikira luput selagimana adanya asal. Juga kerana dahi itu lebih besar dari hidung, dan hukum lebih besar (aksar) mengambil tempat hukum keseluruhan (kulli).

Juga berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

السُّجُود عَلَى الْجَبْهَةِ فَرِيضَةٌ وَعَلَى الْأَنْفِ تَطَوُّعٌ 
Sujud di atas dahi itu fardhu sedangkan di atas hidung itu sunnah[136]. 
Nota: Ibnu al-Jauzi berkata: Dalam hadith ini ada perawi bernama Muhammad bin al-Fadhl. Ahmad berkata: Tidak ada apa-apanya (tidak siqqah). Hadithnya hadith pendusta. Dan Yahya berkata: Dia itu pendusta[137].

• Mereka bertiga sepakat bahawa sunnah meletakkan kedua-duanya sekali berdasarkan hadith Nabi ﷺ dan sah meletakkan hidung sahaja sekiranya dalam keadaan uzur. 

• Hukum tomakninah dalam sujud adalah tidak fardhu tetapi wajib di sisi Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad manakala fardhu di sisi al-Qadhi Abu Yusuf. Hal ini telah dijelaskan dalam perbahasan tomakninah ketika ruku'.

• Adapun hal-hal lain yang akan dibentangkan di bawah adalah sunnah dan tidak terbatal solat tanpanya kerana perintah al-Quran adalah untuk sujud secara umum dan juga tidak ada dalam hadith musi' al-solah.

• Sunnah meletakkan kedua tapak tangan sejajar dengan kedua telinga[138] berdasarkan hadith Wa'il bin Hujr radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

فَلَمَّا سَجَدَ سَجَدَ بَيْنَ كَفَّيْهِ 
Maka ketika sujud, Baginda sujud di antara kedua tapak tangannya. 
(HR Muslim)[139]

• Sunnah mengarahkan jari-jemari kaki ke arah kiblat[140] berdasarkan hadith Abu Humaid al-Sa'idi radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَ يَدَيْهِ غَيْرَ مُفْتَرِشٍ وَلَا قَابِضِهِمَا، وَاسْتَقْبَلَ بِأَطْرَافِ أَصَابِعِ رِجْلَيْهِ الْقِبْلَةَ 
Maka apabila sujud, Baginda meletakkan kedua tangannya dalam keadaan tidak terhampar dan tidak terlekap dan menghadapkan hujung jari-jemari kakinya ke arah kiblat. 
(HR al-Bukhari)[141]

• Sunnah bagi lelaki tidak menghamparkan lengan[142] berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

اعْتَدِلُوا فِي السُّجُودِ، وَلَا يَبْسُطْ أَحَدُكُمْ ذِرَاعَيْهِ انْبِسَاطَ الْكَلْبِ 
Seimbanglah kalian dalam sujud, dan janganlah seorang pun daripada kalian menghamparkan kedua lengannya seperti hamparan anjing. 
(HR al-Bukhari)[143]

• Adapun bagi wanita hendaklah menghamparkan kedua-dua lengan mereka, merendahkannya dan tidak meninggikannya seperti halnya lelaki serta melekatkan perutnya dengan kedua pehanya kerana hal ini lebih memelihara aurat mereka[144].

• Sunnah bertasbih dengan menyebut:
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى berdasarkan hadith 'Uqbah bin 'Amir radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

فَلَمَّا نَزَلَتْ: سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى، قَالَ: اجْعَلُوهَا فِي سُجُودِكَمْ 
Maka ketika turun ayat: Sabbihismarabbikala'la, Baginda bersabda: Jadikanlah ia dalam sujud kalian 
(HR Abu Daud)[145].

• Sunnah bertasbih sekurang-kurangnya tiga kali[146] berdasarkan hadith riwayat Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu, Nabi ﷺ bersabda:

وَإِذَا سَجَدَ فَلْيَقُلْ: سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى، ثَلَاثًا، وَذَلِكَ أَدْنَاهُ 
Dan apabila dia sujud, maka hendaklah dia menyebut: Subhanarabbiala'la sebanyak tiga kali, dan itulah yang sekurang-kurangnya. 
(HR Abu Daud)[147] 
Nota: Sanad hadith ini dha'if kerana terputus. Imam Abu Daud berkata: Ini mursal. 'Aun tidak menemui 'Abdullah.

• Afdhal bertasbih lebih tiga kali kerana hadith menyebut sekurang-kurangnya tiga kali.

• Makruh bagi imam bertasbih lebih tiga kali kerana ditakuti akan menyebabkan makmum terbeban dan menjauhi solat jemaah berdasarkan qiyas daripada teguran Rasulullah ﷺ kepada Mu'az radhiallahu 'anhu seperti yang telah dibincangkan dalam perbahasan ruku'.

• Diriwayatkan daripada Imam Muhammad bahawa makruh bertasbih kurang daripada tiga kali kerana hadith menjadikan tiga kali itu sebagai had minimum bagi kesempurnaan sujud.

13) BANGKIT DARI SUJUD PERTAMA, DUDUK ANTARA DUA SUJUD DAN SUJUD KEDUA


• Ketika bangkit dari sujud pertama, disunnahkan bertakbir dan tidak mengangkat tangan. Hal ini telah dibahaskan dalam takbir al-intiqal.

• Bangkit dari sujud yang pertama adalah fardhu kerana sujud yang kedua adalah fardhu. Tidak boleh tidak mesti ada intiqal dengan bangkit daripada sujud yang pertama untuk sampai kepada sujud kedua.

• Ada dua riwayat daripada Imam Abu Hanifah mengenai kadar bangkit yang fardhu iaitu:

1) Mengangkat kepala sekadar angin boleh melalui antara kepalanya dan tanah.

2) Mengangkat kepala sekadar diakui oleh orang yang melihat bahawa dia telah mengangkat kepalanya dari sujud.

• Adapun duduk antara dua sujud dan tomakninah tidaklah fardhu di sisi Imam Abu Hanifah dan Imam Muhammad[148] tetapi wajib atau sunnah seperti yang telah dibahaskan dalam perbahasan tomakninah dalam ruku'.

• Tiada zikir tertentu ketika duduk antara dua sujud.

• Ketika turun untuk sujud yang kedua, halnya sama seperti sujud yang pertama.

14) BANGKIT KEPADA RAKAAT KEDUA DAN KEEMPAT


• Intiqal antara rakaat adalah fardhu.

• Sunnah mengangkat kedua tangan dahulu sebelum kedua lutut dan tangan hendaklah bergantung di atas kedua lutut, bukan di atas tanah[149].

• Sunnah bangkit atas pangkal kaki dan tidak duduk[150] berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يَنْهَضُ فِي الصَّلَاةِ عَلَى صُدُورِ قَدَمَيْهِ 
Nabi ﷺ bangkit dalam solat di atas pangkal kakinya. 
(HR al-Tirmizi)[151] 
Nota: Imam al-Tirmizi berkata: Hadith Abu Hurairah menjadi amalan di sisi ahli ilmu, mereka memilih agar seseorang itu bangkit di atas pangkal kedua kakinya. Dan Khalid bin Iyas (salah seorang perawi) dha'if di sisi ahli hadith. 


• Adapun hadith yang mengatakan Baginda ﷺ duduk sebentar diandaikan bahawa Baginda ﷺ dalam keadaan lemah disebabkan tua[152] sepertimana sabda Nabi ﷺ: 

لَا تُبَادِرُونِي بِرُكَوعٍ وَلَا بِسُجُودٍ، فَإِنَّهُ مَهْمَا أسبِقكُمْ بِهِ إِذَا رَكَعْتُ تُدْرِكُونِي بِهِ إِذَا رَفَعْتُ، إِنِّي قَدْ بَدَّنْتُ 
Janganlah kalian mendahuluiku dalam ruku' dan jangan pula dalam sujud, maka sesungguhnya walaupun aku mendahuluinya daripada kalian apabila aku ruku', kalian akan mendapatiku ketika aku bangkit, sesungguhnya aku telah tua. 
(HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)[153]

Hujah lainnya adalah jika memang disyariatkan untuk duduk sebentar, pastilah akan ada takbir al-intiqal yang khusus untuknya dan ada zikir tertentu seperti duduk tasyahhud awal dan akhir. Namun semuanya itu tiada. Ini menunjukkan tidak disyariatkan duduk sebentar tanpa keuzuran[154].

15) DUDUK TASYAHHUD AWAL


• Duduk tasyahhud awal bukanlah fardhu berdasarkan hadith al-Mughirah bin Syu'bah radhiallahu 'anhu. Daripada Ziyad bin 'Ilaqah, beliau berkata:

صَلَّى بِنَا الْمُغِيرَةُ بْن شُعْبَةَ فَنَهَضَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ، قُلْنَا: سُبْحَانَ اللَّهِ. قَالَ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَمَضَى. فَلَمَّا أَتَمَّ صَلَاتَهُ وَسَلَّمَ، سَجَدَ سَجَدَتَي السَّهْوِ. فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ: رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَصْنَعُ كَمَا صَنَعْتُ 
Kami telah solat bersama al-Mughirah bin Syu'bah. Maka beliau bangkit pada rakaat kedua. Kami menyebut: Subhanallah. Beliau menyebut: Subhanallah dan melanjutkan. Kemudian ketika beliau menyempurnakan solatnya dan memberi salam, beliau sujud sahwi dua kali sujud. Kemudian ketika berpaling, beliau berkata: Aku telah melihat Rasulullah ﷺ melakukan seperti mana yang telah aku lakukan. 
(HR Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)[155].

Istinbat hukum: Sekiranya duduk tasyahhud awal itu fardhu, pasti Baginda  ﷺ akan kembali melakukannya. Namun Baginda ﷺ meneruskan solatnya tanpa duduk tasyahhud awal. Maka tertegak penafian terhadap kefardhuannya.

• Hukum duduk tasyahhud awal adalah wajib kerana Baginda ﷺ melaziminya seluruh umur Baginda[156].

• Bagi lelaki, sunnah duduk secara iftirasy iaitu menghamparkan kaki kiri dan duduk di atasnya serta menegakkan kaki kanan pada kedua-dua tasyahhud awal dan akhir[157] berdasarkan hadith 'Aisyah radhiallahu 'anha, beliau berkata:

وَكَانَ يَقُولُ فِي كُلِّ رَكْعَتَيْنِ التَّحِيَّةَ، وَكَانَ يَفْرِشُ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَيَنْصِبُ رِجْلَهُ الْيُمْنَى 
Dan Baginda membaca tahiyyat pada setiap dua rakaat, dan Baginda menghamparkan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya. 
(HR Muslim)[158]

• Hadith yang menunjukkan Baginda ﷺ duduk tawarruk diandaikan bahawa ianya dilakukan ketika dalam keadaan uzur kerana tua[159].

• Bagi wanita pula, mereka perlu duduk tawarruk iaitu duduk di atas tanah, meletakkan kaki kiri di bawah kaki kanan serta mengangkat kaki kanan. Ini kerana memelihara kefardhuan menutup aurat adalah lebih utama daripada memelihara sunnah duduk tasyahhud[160].

• Wajib bertasyahhud. Lafaz tasyahhud yang dipilih oleh Mazhab Hanafi adalah tasyahhud Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu[161] berbanding tasyahhud lain iaitu:

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ والطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Berdasarkan hadith Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ ﷺ - وَكَفِّي بَيْنَ كَفَّيْهِ - التَّشَهُّدَ كَمَا يُعَلِّمُنِي السُّورَةَ مِنَ الْقُرْءَانِ: التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ والطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ 
Rasulullah ﷺ telah mengajarkanku - sedang tapak tanganku di antara kedua tapak tangannya - akan tasyahhud sepertimana Baginda mengajarkanku surah daripada al-Quran: Al-Tahiyyatu lillah (sehingga) 'abduhu wa rasuluh. 
(HR al-Bukhari dan Muslim)[162]

Juga berdasarkan hadith:

وَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَخَذَ بِيَدِ عَبْدِ اللَّهِ فَعَلَّمَهُ التَّشَهُّدَ فِي الصَّلَاةِ، فَذَكَرَ مِثْلَ دُعَاءِ حَدِيثِ الْأَعْمَشِ: إِذَا قُلْتَ هَذَا - أَوْ قَضَيْتَ هَذَا - فَقَدْ قَضَيْتَ صَلَاتَكَ، إِنْ شِئْتَ أَنْ تَقُومَ فَقُمْ، وَإِنْ شِئْتَ أَنْ تَقْعُدَ فَاقْعُدْ 
Dan Rasulullah ﷺ telah mengambil tangan Abdullah (bin Mas'ud), kemudian Baginda mengajarkannya tasyahhud dalam solat, maka Baginda menyebut seperti doa hadith al-A'masy (tasyahhud Ibnu Mas'ud): Apabila engkau telah membaca ini - atau menyempurnakan ini - maka sesungguhnya engkau telah menyempurnakan solatmu, jika engkau mahu berdiri, maka berdirilah, jika engkau mahu duduk, maka duduklah. 
(HR Abu Daud)[163] 
Nota: Terdapat perbahasan mengenai kalam: iza qadaita sehingga faq'ud, adakah ia kalam Baginda atau kalam Ibnu Mas'ud.
Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' mengatakan bahawa para huffaz berittifaq bahawa ianya bukan kalam Baginda[164].

Istinbat hukum: 

1) Baginda ﷺ mengambil tangan Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu untuk memberi penekanan terhadap tasyahhud yang diajarkannya.

2) Baginda ﷺ menyifatkan kesempurnaan solat setelah menyelesaikan tasyahhud ini, maka solat tidak dikira sempurna tanpanya[165].

3) Diriwayatkan bahawa Abu Bakr radhiallahu 'anhu mengajarkan tasyahhud ini di atas minbar, tidak ada seorang pun daripada para sahabat yang mengingkarinya. Maka terjadilah ijma'.

4) Tasyahhud ini diriwayatkan oleh 'Aisyah radhiallahu 'anha dan ramai sahabat antaranya 'Ali, Ibnu 'Umar dan Mu'awiyah radhiallahu 'anhum.

5) Tasyahhud ini lebih sampai kepada pujian kerana padanya ada dua wau 'atof: Wassolawatu wattoyyibat. Ini menjadikannya memiliki tiga pujian kepada Allah ﷻ iaitu attahiiyat, assolawat dan attoyyibat berbanding tasyahhud lain[166].

6) Tasyahhud ini mengandungi alif lam pada kalimah assalamu 'alaika dan assalamu 'alaina. Alif lam membawa makna khusus sedangkan dalam tasyahhud Ibnu 'Abbas radhiallahu 'anhu tidak ada alif lam dan menjadikan kalimah salam itu secara umum. Ini menjadikan tasyahhud Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu lebih sampai kepada makna taslim. Ianya juga selari dengan firman Allah ﷻ yang menggunakan alif lam: وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدتُّ (Surah Maryam: 33)[167].

• Makruh menambahkan apa-apa lafaz selepas tasyahhud awal dalam solat fardhu seperti اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مَحَمَّدٍ ataupun sebelumnya[168] kerana ianya menyelisihi ijmak sahabat. Adapun selawat itu adalah daripada bab doa dan doa tempatnya pada akhir solat.

• Sunnah memperlahankan bacaan tasyahhud kerana tasyahhud adalah pujian. Asal bacaan bagi pujian dan doa adalah perlahan. Juga kerana tidak dinaqalkan jahar tasyahhud daripada Rasulullah ﷺ dan manusia mewarisi sir tasyahhud dari zaman Baginda ﷺ dan warisan ini adalah dianggap seperti secara mutawatir[169].

• Hukum mengisyarahkan jari khilaf di sisi fuqaha' Hanafiyyah:

Sebahagian mereka berpendapat tidak sunnah kerana yang disunnahkan adalah meletakkan tapak tangan di atas peha.

Sementara yang lain berpendapat ketika sampai pada lafaz أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللَّه sunnah mengisyaratkan jari[170]. Caranya ada dua:

1) Pandangan ahli Madinah: Menggenggam semua jari kecuali jari telunjuk yang mengisyaratkan.

2) Pandangan al-Faqih Abu Ja'far al-Handawani: Menggenggam jari kelingking dan jari manis, membuat lingkaran jari tengah dah ibu jari serta mengisyaratkan dengan jari telunjuk[171].

16) DUDUK TASYAHHUD AKHIR


• Duduk tasyahhud akhir tidaklah dikira sebagai rukun asli solat kerana nama solat itu tertegak dengan empat rukun asli sahaja: Qiyam, qiraah, ruku' dan sujud tanpa duduk tasyahhud akhir. Dan kerana duduk itu sendiri tidak sesuai untuk khidmat, tetapi ia daripada bab istirahah (berehat) berbeza dengan rukun-rukun yang lain[172].

• Begitupun, duduk tasyahhud akhir adalah fardhu[173]. Solat tidak sah tanpanya berdasarkan hadith Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu:

وَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَخَذَ بِيَدِ عَبْدِ اللَّهِ فَعَلَّمَهُ التَّشَهُّدَ فِي الصَّلَاةِ، فَذَكَرَ مِثْلَ دُعَاءِ حَدِيثِ الْأَعْمَشِ: إِذَا قُلْتَ هَذَا - أَوْ قَضَيْتَ هَذَا - فَقَدْ قَضَيْتَ صَلَاتَكَ، إِنْ شِئْتَ أَنْ تَقُومَ فَقُمْ، وَإِنْ شِئْتَ أَنْ تَقْعُدَ فَاقْعُدْ 
Dan Rasulullah ﷺ telah mengambil tangan Abdullah (bin Mas'ud), kemudian Baginda mengajarkannya tasyahhud dalam solat, maka Baginda menyebut seperti doa hadith al-A'masy (tasyahhud Ibnu Mas'ud): Apabila engkau telah membaca ini - atau menyempurnakan ini - maka sesungguhnya engkau telah menyempurnakan solatmu, jika engkau mahu berdiri, maka berdirilah, jika engkau mahu duduk, maka duduklah. 
(HR Abu Daud)[174] 
Nota: Terdapat perbahasan mengenai kalam: iza qadaita sehingga faq'ud, adakah ia kalam Baginda atau kalam Ibnu Mas'ud.
Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' mengatakan bahawa para huffaz berittifaq bahawa ianya bukan kalam Baginda[175].

Istinbat hukum: Baginda ﷺ mengikat kesempurnaan solat dengan duduk tasyahhud akhir dan yang dimaksudkan dengan kesempurnaan itu adalah kesempurnaan hal-hal fardhu dalam solat.

• Tempoh duduk tasyahhud akhir yang difardhukan adalah sekadar tempoh bacaan tasyahhud[176]. Berdasarkan hadith 'Abdullah bin 'Amru radhiallahu 'anhu, beliau berkata: Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا أَحْدَثَ - يَعْنِي الرجل - وَقَدْ جَلَسَ فِي ءَاخِرِ صَلَاتِهِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ فَقَدْ جَازَتْ صَلَاتُهُ 
Apabila berhadas - iaitu seorang lelaki - sedang dia telah duduk pada akhir solatnya sebelum dia memberikan salam, maka sesungguhnya telah sah solatnya. 
(HR Abu Daud dan al-Tirmizi)[177] 
Nota: Imam al-Tirmizi menjelaskan bahawa sanad hadith ini tidaklah kuat. Padanya ada perawi Afrika bernama 'Abdurrahman bin Ziyad. Sebahagian ahli hadith mendha'ifkannya.

• Membaca tasyahhud adalah wajib dan bacaan tasyahhud yang dipilih oleh Mazhab Hanafi adalah tasyahhud Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu seperti yang telah dibahaskan.

• Sunnah berselawat ke atas Nabi ﷺ selepas selesai tasyahhud[178] berdasarkan hadith Fadhalah bin 'Ubaid radhiallahu 'anhu, beliau berkata:

سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ رَجُلًا يَدْعُو فِي صَلَاتِهِ لَمْ يُمَجِّدِ اللَّهَ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: عَجِلَ هَذَا. ثُمَّ دَعَاهُ. فَقَالَ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ: إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَمْجِيدِ رَبِّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ ﷺ ثُمَّ يَدْعُو بَعْدُ بِمَا شَاءَ 
Rasulullah ﷺ telah mendengar seorang lelaki berdoa dalam solatnya, dia tidak memuji Allah dan tidak berselawat ke atas Nabi ﷺ, maka Rasulullah ﷺ bersabda: Orang ini tergesa-gesa. Kemudian Baginda memanggilnya. Maka Baginda bersabda kepadanya atau selainnya: Apabila salah seorang daripada kalian berdoa, maka hendaklah dia memulakan dengan mengagungkan Tuhannya dan memujiNya, kemudian berselawat kepada Nabi ﷺ, kemudian berdoa apa yang dia mahu setelah itu. 
(HR Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'i dan Ahmad)[179]

• Sunnah untuk berdoa[180] berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ 
Maka apabila engkau telah maka bekerja keraslah 
(Surah al-Syarh: 7)

Istinbat hukum: Ahli tafsir menjelaskan bahawa maksud daripada ayat ini adalah berdoa pada akhir solat iaitu: Maka bersungguh-sungguhlah untuk berdoa[181].

Juga berdasarkan hadith Nabi ﷺ selepas Baginda ﷺ mengajarkan tasyahhud kepada para sahabat, Baginda ﷺ bersabda:

ثُمَّ يَتَخَيَّرُ مِنَ الدُّعَاءِ أَعْجَبَهُ إِلَيْهِ فَيَدْعُو 
Kemudian (hendaklah) dia memilih doa apa yang disukainya maka dia berdoa. 
(HR al-Bukhari dan Muslim)[182]

Syarat untuk berdoa adalah tidak menyerupai kalam manusia supaya tidak terkeluar daripada solat dalam bentuk yang sunnah. Menyerupai kalam manusia ditafsirkan sebagai permintaan yang tidak mustahil boleh diminta kepada selain Allah ﷻ seperti أَعْطِنِي كَذَا (berikanlah aku ini). Manakala doa yang tidak menyerupai kalam manusia adalah permintaan yang mustahil diminta selain daripada Allah ﷻ seperti اللَّهُمَّ اغْفِرْلِي (Ya Allah, ampunilah daku).

• Sunnah duduk iftirasy bagi lelaki. Wanita hendaklah duduk tawarruk. Sunnah mengisyaratkan dengan jari setelah sampai kepada lafaz syahadah mengikut salah satu pandangan fuqaha' Hanafiyyah dan memperlahankan bacaan dalam duduk tasyahhud akhir seperti yang telah dibincangkan dalam perbahasan duduk tasyahhud awal.

17) KELUAR DARI SOLAT DENGAN PERBUATAN MUSOLLI


• Keluar daripada solat dengan perbuatan musolli adalah fardhu di sisi Imam Abu Hanifah dan tidak fardhu di sisi al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad[183]. Ia boleh berlaku dengan selain taslim seperti ketawa, berbual dan hal-hal lain yang dilarang di dalam solat. Contohnya jika seseorang berhadas dengan sengaja selepas selesai duduk tasyahhud akhir kadar tasyahhud, maka solatnya sah secara sepakat. Namun jika dia berhadas tanpa sengaja, sah di sisi kedua imam itu dan tidak sah di sisi Imam Abu Hanifah kerana masih berbaki lagi kefardhuan untuk keluar dari solat dengan perbuatan musolli[184].

• Adapun keluar solat dengan taslim, ia bukanlah fardhu tetapi wajib atau sunnah[185] berdasarkan hadith Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu:

وَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَخَذَ بِيَدِ عَبْدِ اللَّهِ فَعَلَّمَهُ التَّشَهُّدَ فِي الصَّلَاةِ، فَذَكَرَ مِثْلَ دُعَاءِ حَدِيثِ الْأَعْمَشِ: إِذَا قُلْتَ هَذَا - أَوْ قَضَيْتَ هَذَا - فَقَدْ قَضَيْتَ صَلَاتَكَ، إِنْ شِئْتَ أَنْ تَقُومَ فَقُمْ، وَإِنْ شِئْتَ أَنْ تَقْعُدَ فَاقْعُدْ 
Dan Rasulullah ﷺ telah mengambil tangan Abdullah (bin Mas'ud), kemudian Baginda mengajarkannya tasyahhud dalam solat, maka Baginda menyebut seperti doa hadith al-A'masy (tasyahhud Ibnu Mas'ud): Apabila engkau telah membaca ini - atau menyempurnakan ini - maka sesungguhnya engkau telah menyempurnakan solatmu, jika engkau mahu berdiri, maka berdirilah, jika engkau mahu duduk, maka duduklah. 
(HR Abu Daud)[186] 
Nota: Terdapat perbahasan mengenai kalam: iza qadaita sehingga faq'ud, adakah ia kalam Baginda atau kalam Ibnu Mas'ud.
Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' mengatakan bahawa para huffaz berittifaq bahawa ianya bukan kalam Baginda[187].

Istinbat hukum:

1) Hadith menunjukkan solat telah sempurna setelah selesai duduk tasyahhud akhir dengan kadarnya. Jika taslim itu fardhu, maka tidak mungkin solat itu dikira sempurna tanpanya.

2) Hadith memberi pilihan kepada musolli untuk berdiri atau duduk tanpa mensyaratkan taslim. Jika ia fardu, maka tidak mungkin diberi pilihan tersebut.

3) Rukun solat adalah perkara yang  menyempurnakan solat sedangkan salam itu adalah perbuatan yang mengeluarkan musolli daripada solat kerana ia adalah sebahagian daripada percakapan yang menafikan solat. Oleh itu tidak mungkin ia adalah sebahagian daripada rukun solat.

4) Sabda Nabi ﷺ:

وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ 
Yang mentahlilkannya adalah taslim.
(HR Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)[188]

Di dalam hadith ini, tiada padanya penafian bahawa boleh mentahlilkan solat dengan selain taslim. Ianya disebut secara khusus untuk menjadikan hukum taslim sebagai wajib.

• Lafaz taslim adalah:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ

• Kadar taslim adalah dengan dua salam, satu ke kanan dan satu ke kiri[189] berdasarkan hadith Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu, daripada Nabi ﷺ:

أَنَّهُ كَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ يَسَارِهِ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ 
Bahawa Baginda memberi salam ke kanannya dan kirinya: Assalamu'alaikum wa rahmatullah, assalamu'alaikum wa rahmatullah. 
(HR al-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, al-Nasa'i dan Ahmad)[190]

Istinbat hukum: Hadith Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu ini lebih utama untuk didahulukan berbanding hadith lain yang menyelisihinya kerana beliau adalah antara sahabat besar yang berumur. Apabila solat, beliau berdiri lebih hampir dengan Nabi ﷺ. Berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى 
Hendaklah yang berdiri berhampiranku orang yang baligh dan berakal di antara kalian. 
(HR Muslim, Abu Daud, al-Nasa'i dan Ibnu Majah)[191]

Oleh itu, beliau lebih mengetahui perihal solat Nabi ﷺ.

• Sunnah memalingkan muka ke kanan pada taslim pertama dan ke kiri pada taslim kedua[192] berdasarkan hadith Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhu di atas.

• Taslim yang pertama adalah untuk keluar daripada solat manakala yang kedua adalah untuk menyamakan salam di antara jemaah. 

• Sunnah bagi imam untuk menjaharkan taslim kerana ianya bertujuan untuk memberitahu makmum bahawa dia telah keluar daripada solat.

• Dalam satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah bahawa sunnah bagi makmum bertaslim seiringan dengan taslim imam seperti halnya takbiratul ihram. Dalam riwayat yang lain daripada beliau, sunnah bertaslim selepas taslim imam dan inilah juga pandangan al-Qadhi Abu Yusuf dan Imam Muhammad.

• Sunnah bagi setiap musolli meniatkan taslim itu kepada siapa yang dia kehendaki kerana taslim itu adalah percakapan dan percakapan yang tidak didasari dengan niat itu adalah sia-sia. Berdasarkan sabda Nabi ﷺ:

ثُمَّ يُسَلِّمُ عَلَى أَخِيهِ مَنْ عَلَى يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ 
Kemudian memberi salam kepada saudaranya yang berada di kanannya dan kirinya. 
(HR Muslim, Abu Daud dan al-Nasa'i)[193]

Imam hendaklah meniatkan taslim kepada malaikat penjaga, serta makmum di kanan dan kirinya. Begitu juga dengan makmum. Adapun munfarid, hendaklah meniatkan kepada malaikat penjaga sahaja[194].

Demikianlah perbahasan solat menurut Mazhab Hanafi beserta dalil.

وَاللَّهُ أَعْلَمُ
__________________________________

Rujukan kitab fiqh Mazhab Hanafi:

• Al-Asl: Muhammad bin Hassan al-Syaibani, al-Asl, jilid 1, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 2012). 
• Syarh Mukhtasar al-Tahawi: Abu Bakr al-Razi al-Jassas, Syarh Mukhtasar al-Tahawi, tahqiq 'Ismatullah 'Iyanatullah Muhammad, jilid 1, (Beirut: Dar al-Basya'ir al-Islamiyyah, 1983). 
• Al-Mabsut: Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl al-Sarkhasi, al-Mabsut, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1989). 
• Bada'i' al-Sana'i': 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Bada'i' al-Sana'i' fi Tartib al-Syara'i', jilid 1 dan 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003). 
• Al-Muhit al-Burhani: Mahmud bin Ahmad bin 'Abd al-'Aziz bin Mazah al-Bukhari Abu al-Ma'ali, al-Muhit al-Burhani fi al-Fiqh al-Nu'mani, tahqiq 'Abd al-Karim Sami al-Jundi, jilid 1, (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2004). 
• Munyah al-Musolli: Abu 'Abd Allah Muhammad bin Muhammad al-Kasyghari, Munyah al-Musolli wa Ghunyah al-Mubtadi, (Damsyiq: Dar al-Qalam, 2007). 
• Ghunyah al-Mutamalli: Ibrahim al-Halabi, Ghunyah al-Mutamalli fi Syarh Munyah al-Musolli, (Daz Sa'adat, 1907). 
• Al-Durr al-Mukhtar: Muhammad bin 'Ali bin Muhammad bin 'Ali bin 'Abd al-Rahman a-Hanafi, al-Durr al-Mukhtar Syarh Tanwir al-Absar wa Jami' al-Abhar, (Beirut: Dal al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2002). 

Rujukan kitab hadith: 
• Sahih al-Bukhari: Abu 'Abd Allah Muhammad bin Isma'il al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar Ibn Kathir, 2002). 
• Sahih Muslim: Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2006). 
• Sunan Abi Daud: Abu Daud Sulaiman bin al-Asy'ats al-Azdi al-Sijistani, Sunan Abi Daud, tahqiq Syu'aib al-Arnauth, jilid 1 dan 2, (Beirut: Dar al-Risalah al-'Ilmiyyah, 2009). 
• Sunan al-Tirmizi: Muhammad bin 'Isa al-Tirmizi, al-Jami' al-Kabir, jilid 1, (Beirut: Dar al-Gharab al-Islami, 1996). 
• Sunan al-Nasa'i: Ahmad bin Syu'aib bin 'Ali bin Sinan Abu 'Abd al-Rahman al-Nasa'i, Sunan al-Nasa'i, tahqiq Ra'id bin Abi 'Alfah, (Riyadh: Dar al-Hadharah li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2015). 
• Sunan Ibnu Majah: Abu 'Abd Allah Muhammad bin Yazid bin Majah al-Qazwini, Sunan Ibnu Majah, tahqiq Muhammad Fuad Abd al-Bawi, jilid 1, (Kaherah: Matba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyyah). 
• Musnad Ahmad: Ahmad bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, tahqiq majmu'ah min ulama' al-hadith fi Maktabah Dar al-Salam, (Riyadh: Dar al-Salam li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2013). 
• Syarh Ma'ani al-Athar: Abu Ja'far Ahmad bin Muhammad bin Salamah bin 'Abd al-Malik bin Salamah al-Tahawi, Syarh Ma'ani al-Athar, jilid 1, (Riyadh: al-'Alam al-Kutub, 1994). 

Rujukan tambahan: 
• Al-'Ilal al-Mutanahiyah: 'Abd al-Rahman bin 'Ali bin Muhammad bin 'Ali bin al-Jauzi, al-'Ilal al-Mutanahiyah fi al-Ahadith al-Wahiyah, tahqiq Khalil al-Mais, jilid 1, (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1983). 
• Al-Majmu': Abu Zakariyya Muhyu al-Din ibn Syarf al-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, tahqiq Muhammad Najib al-Mut'i, jilid 3, (Jeddah: Maktabah al-Irsyad). 

Rujukan: 
[1] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 584  
[2] Sahih al-Bukhari, no: 1(lafaz), 57, 2529, 3898, 5070, 6689.Sahih Muslim, no: 1907.Sunan Abi Daud, no: 2201.Sunan al-Tirmizi, no: 1647.Sunan al-Nasa'i, no: 75, 3437, 3794.Sunan Ibnu Majah, no: 4227. 
[3] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 10Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 587 
[4] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 10Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 591 
[5] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 10Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 589 
[6] Sahih al-Bukhari, no: 1691.Sahih Muslim, no: 1227 (lafaz). 
[7] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 589 
[8] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 587-589 
[9] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 10Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 20 
[10] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 574Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 590 
[11] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 10-11 
[12] Munyah al-Musolli, m/s: 167 
[13] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 292 
[14] Sunan Abi Daud, no: 618.Sunan al-Tirmizi, no: 3(lafaz), 238.Sunan Ibnu Majah, no: 275, 276.Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 291 
[15] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 291 
[16] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 535Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 292 
[17] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 35-36 
[18] Al-Asl, jil. 1, m/s: 15-16Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 292 
[19] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 36Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 594 
[20] Munyah al-Musolli, m/s: 168 
[21] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 292 
[22] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 594Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 293 
[23] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 293 
[24] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 24 
[25] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 11 
[26] Sahih al-Bukhari, no: 757(lafaz), 793.Sahih Muslim, no: 397.Sunan Abi Daud, no: 856.Sunan al-Tirmizi, no: 303.Sunan al-Nasa'i, no: 884. 
[27] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 290-291 
[28] Al-Asl, jil. 1, m/s: 6Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 12Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 291Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 22 
[29] Sahih Muslim, no: 401(lafaz) 
[30] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 12.Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 577Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 23 
[31] Sunan Abi Daud: 728.Syarh Ma'ani al-Athar, jil. 1, no: 1170 
[32] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 291 
[33] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 22Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 291 
[34] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 11. 
[35] Munyah al-Musolli, m/s: 169Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 295 
[36] Sahih al-Bukhari, no: 805.Sahih Muslim, no: 411(lafaz).Sunan al-Nasa'i, no: 792.Sunan Ibnu Majah, no: 1238. 
[37] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 501.Munyah al-Musolli, m/s: 171 
[38] Munyah al-Musolli, m/s: 171Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 504 
[39] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 504. 
[40] Sahih al-Bukhari, no: 1117(lafaz). 
[41] Al-Durr al-Mukhtar, m/s: 62. 
[42] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[43] Sunan Abi Daud, no: 756.Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 24Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 580. 
[44] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 12.Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 31 
[45] Al-Asl, jil. 1, m/s: 6Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 12Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 30 
[46] Sahih Muslim, no: 399(lafaz).Sunan Abi Daud, no: 775.Sunan al-Tirmizi, no: 242.Sunan al-Nasa'i: 2/132.Musnad Ahmad: 3/69Sunan Ibnu Majah, no: 804.Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 583. 
[47] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 13 
[48] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 31(lafaz)Tafsir al-Tabari: 5/8Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 13 
[49] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 13Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 31 
[50] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 584 
[51] Al-Asl, jil. 1, m/s: 6Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 13Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 584Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 32 
[52] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 32 
[53] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 13-14 
[54] Sahih Muslim, no: 395(lafaz).Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 34 
[55] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 591 
[56] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 34-35 
[57] Musnad Ahmad, no: 12845(lafaz), 12084, 12135, 12714, 12810, 12887, 13125, 13259, 13337, 13680, 13784, 13890, 13891, 13915, 14051, 14077.Sahih Muslim, no: 399.Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 585Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 36 
[58] Al-Asl, jil. 1, m/s: 6 Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 300Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 32 
[59] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 16 
[60] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 36-37. 
[61] Munyah al-Musolli, m/s: 176Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 296Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 516 
[62] Sahih Muslim, no: 396.Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 296Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 517 
[63] Munyah al-Musolli, m/s: 176 
[64] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 524 
[65] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 598 
[66] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 518 
[67] Sunan Abi Daud, no: 604.Sunan al-Nasa'i: 2/141,142.Sunan Ibnu Majah, no: 846.Musnad Ahmad, no: 8889(lafaz).Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 519 
[68] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 519 
[69] Sunan Ibnu Majah, no: 850.Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 519 
[70] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 298Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 526 
[71] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 526 
[72] Sahih al-Bukhari, no: 757(lafaz), 793 (lafaz).Sahih Muslim, no: 397(lafaz).Sunan Abi Daud, no: 856(lafaz).Sunan al-Tirmizi, no: 303.Sunan al-Nasa'i, no: 884(lafaz). 
[73] Al-Asl, jil. 1, m/s: 6-7Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 19Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 299Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 524 
[74] Sahih al-Bukhari, no: 756(lafaz).Sahih Muslim, no: 394(lafaz).Sunan Abi Daud, no: 819-821.Sunan al-Tirmizi, no: 247(lafaz).Sunan al-Nasa'i, no: 910(lafaz), 911.Sunan Ibnu Majah, no: 837.Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 681 
[75] Sunan al-Tirmizi, no: 238(lafaz).Sunan Ibnu Majah, no: 839.Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 681-682 
[76] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 525 
[77] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 297Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 525 
[78] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 18Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 524-525 
[79] Al-Asl, jil. 1, m/s: 16Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 307Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 527 
[80] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 307Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 528 
[81] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 529 
[82] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 526 - 531. 
[83] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 299 
[84] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 16Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 683 
[85] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 16-17Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 683 
[86] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 17 
[87] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 684 
[88] Sahih al-Bukhari, no: 782(lafaz).Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 45 
[89] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 595. 
[90] Sunan al-Nasa'i, no: 927.Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 45 
[91] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 45Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 32 
[92] Sahih al-Bukhari, no: 785(lafaz).Sahih Muslim: 27/392.Sunan Abi Daud, no: 836.Sunan al-Nasa'i, no: 1150.Musnad Ahmad: 2/270. 
[93] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 46 
[94] Al-Asl, jil. 1, m/s: 15 
[95] Sunan Abi Daud, no: 750(lafaz).Syarh Ma'ani al-Athar, jil. 1, no: 1349, 1353Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 600 
[96] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 14Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 47 
[97] Sahih Muslim, no: 430(lafaz).Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 601Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 48-49 
[98] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 14-15 
[99] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 50. 
[100] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 50. 
[101] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[102] Munyah al-Musolli, m/s: 178Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 502 
[103] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 336Munyah al-Musolli, m/s: 178 
[104] Sahih al-Bukhari, no: 757(lafaz), 793.Sahih Muslim, no: 397.Sunan Abi Daud, no: 856.Sunan al-Tirmizi, no: 303.Sunan al-Nasa'i, no: 884. 
[105] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 686-687. 
[106] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 336Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 502 
[107] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 687. 
[108] Sunan Ibnu Majah, no: 872(lafaz). 
[109] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 336 
[110] Sahih Muslim, no: 498(lafaz). 
[111] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[112] Sahih al-Bukhari, no: 828(lafaz). 
[113] Sunan Abi Daud, no: 869(lafaz).Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 611Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 52-53 
[114] Al-Asl, jil. 1, m/s: 8Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 611Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 53 
[115] Sunan Abi Daud, no: 886(lafaz).Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 611Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 53 
[116] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 21 
[117] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 21-22Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 54 
[118] Sahih al-Bukhari, no: 705(lafaz).Sahih Muslim, no: 465.Sunan Abi Daud, no: 600.Sunan al-Nasa'i, no: 834. 
[119] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 54 
[120] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 55 
[121] Al-Asl, jil. 1, m/s: 8Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 611Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 53 
[122] Sahih al-Bukhari, no: 735(lafaz).Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 55 
[123] Sahih al-Bukhari, no: 733(lafaz), 734(lafaz).Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 613Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 55-56 
[124] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 20 
[125] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 55-56 
[126] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 615 
[127] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 615 
[128] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 21 
[129] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 616Munyah al-Musolli, m/s: 180Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[130] Al-Asl, jil. 1, m/s: 13Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 32Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 616 
[131] Sunan Abi Daud, no: 838.Sunan al-Tirmizi, no: 267(lafaz).Sunan Ibnu Majah, no: 882.Sunan al-Nasa'i, no: 680, 744.Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 616  
[132] Munyah al-Musolli, m/s: 180 
[133] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 337 
[134] Al-Asl, jil. 1, m/s: 14Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 34Munyah al-Musolli, m/s: 180Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 502-503 
[135] Sunan al-Tirmizi, no: 270(lafaz). 
[136] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 34 
[137] Al-'Ilal al-Mutanahiyah, jil. 1. No: 746. 
[138] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 22Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 337 
[139] Sahih Muslim, no: 401(lafaz).Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 621Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 60 
[140] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 337 
[141] Sahih al-Bukhari, no: 828(lafaz). 
[142] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 337 
[143] Sahih al-Bukhari, no: 822(lafaz).Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 61 
[144] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 57-62.Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 23 
[145] Sunan Abi Daud, no: 869(lafaz).Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 52-53 
[146] Al-Asl, jil. 1, m/s: 9Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 62 
[147] Sunan Abi Daud, no: 838.Sunan al-Tirmizi, no: 267(lafaz).Sunan Ibnu Majah, no: 882.Sunan al-Nasa'i, no: 680, 744.Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 616 
[148] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 337 
[149] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 64.Al-Asl, jil. 1, m/s: 13 
[150] Al-Asl, jil. 1, m/s: 9-10Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 62 
[151] Sunan al-Tirmizi, no: 288.Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 63 
[152] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 23Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 622Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 63 
[153] Sunan Abi Daud, no: 619(lafaz).Sunan Ibnu Majah, no: 963.Musnad Ahmad, no: 16838.Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 63 
[154] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: ms23. 
[155] Sunan Abu Daud, no: 1037(lafaz).Sunan al-Tirmizi, no: 365.Musnad Ahmad, no: 18163. 
[156] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 688. 
[157] Al-Asl, jil. 1, m/s: 10Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[158] Sahih Muslim, no: 498(lafaz).Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 64 
[159] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 25 
[160] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 65Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 25 
[161] Al-Asl, jil. 1, m/s: 12Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 28Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 688 
[162] Sahih al-Bukhari, no: 6265(lafaz).Sahih Muslim, no: 402.Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 66 
[163] Sunan Abi Daud, no: 970. 
[164] Al-Majmu', jil. 3, m/s: 462. 
[165] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 632 
[166] Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 633 
[167] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 66-67 
[168] Al-Asl, jil. 1, m/s: 12Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 67 
[169] Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 32 
[170]  Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[171] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 71 
[172] Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 534. 
[173] Munyah al-Musolli, m/s: 184Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 337 
[174] Sunan Abi Daud, no: 970. 
[175] Al-Majmu', jil. 3, m/s: 462. 
[176] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 337 
[177] Sunan Abi Daud, no: 617.Sunan al-Tirmizi, no: 408(lafaz).Bada'i' al-Sana'i', jil. 1, m/s: 533 
[178] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[179] Sunan Abi Daud, no: 1481(lafaz).Sunan al-Tirmizi, no: 3784.Sunan al-Nasa'i, no: 1208.Musnad Ahmad, no: 23937.Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 635Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 69 
[180] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[181] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 68Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 30 
[182] Sahih al-Bukhari, no: 835(lafaz).Sahih Muslim, no: 402.Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 68 
[183] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 338Munyah al-Musolli, m/s: 186 
[184] Ghunyah al-Mutamalli, m/s: 292-293 
[185] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[186] Sunan Abi Daud, no: 970. 
[187] Al-Majmu', jil. 3, m/s: 462. 
[188] Sunan Abi Daud, no: 618.Sunan al-Tirmizi, no: 3(lafaz), 238.Sunan Ibnu Majah, no: 275, 276. 
[189] Al-Asl, jil. 1, m/s: 12Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 30 
[190] Sunan al-Tirmizi, no: 295(lafaz).Sunan Abu Daud, no: 996.Sunan Ibnu Majah, no: 914.Sunan al-Nasa'i: 3/63.Musnad Ahmad: 1/390, 408, 409, 444, 448. 
[191] Sahih Muslim, no: 432(lafaz).Sunan Abi Daud, no: 674.Sunan al-Nasa'i, no: 806.Sunan Ibnu Majah, no: 976. 
[192] Al-Muhit al-Burhani, jil. 1, m/s: 339 
[193] Sahih Muslim, no: 431(lafaz)Sunan Abi Daud, no: 998.Sunan al-Nasa'i, no: 541.Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 646-645 
[194] Bada'i' al-Sana'i', jil. 2, m/s: 72Al-Asl, jil. 1, m/s: 12Al-Mabsut, jil. 1, m/s: 30-31Syarh Mukhtasar al-Tahawi, jil. 1, m/s: 647

No comments:

Post a Comment