Niat dari segi bahasa adalah merupakan salah satu cabang daripada tujuan (القصد) dan keinginan (الإرادة).
Niat dalam kalam para ulama' pula, seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Rajab dalam kitabnya Jami' al-'Ulum wa al-Hikam membawa dua maksud:
Pertama: Membezakan antara sebahagian ibadah dengan ibadah yang lain seperti membezakan Solat Zohor dan Solat Asar, membezakan puasa Ramadhan dengan puasa selainnya, ataupun membezakan perkara ibadah dengan perkara adat seperti membezakan mandi junub dengan mandi sekadar untuk menyejukkan dan membersihkan badan, dan seumpamanya. Pengertian inilah yang paling banyak digunakan oleh fuqaha' di dalam kitab-kitab mereka[1].
Kedua: Membezakan maksud dalam amalan, adakah ianya dilakukan semata-mata kerana Allah subhanahu wa ta'ala yang tiada sekutu bagiNya ataupun dilakukan kerana selainNya ataupun kerana Allah subhanahu wa ta'ala dan selainNya. Pengertian niat ini banyak digunakan oleh golongan salaf yang awal.
Istilah niat menurut fuqaha' Mazhab Empat bermaksud:
Mazhab Hanafi: Berkata Ibnu 'Abidin: Tujuan untuk taat dan mendekatkan diri kepada Allah ta'ala dalam melaksakan sesuatu perbuatan[2].
Mazhab Maliki: Niat adalah tujuan seseorang mukallaf melakukan sesuatu yang diperintahkan ke atasnya[3].
Mazhab Syafi'i: Berkata al-Mawardi ia adalah bertujuan akan sesuatu yang disertai dengan perbuatannya, maka tujuan yang tidak disertai dengan perbuatan adalah keazaman[4].
Berkata al-Nawawi niat adalah keazaman hati melakukan amalan fardhu atau selainnya, inilah kalam al-Azhariy[5].
Mazhab Hanbali: Berkata al-Bahuti niat dari segi syara' adalah keazaman hati melaksanakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wa ta'ala[6].
Dengan pengertian di atas, dapat disimpulkan bahawa niat dari segi syara' bermaksud keazaman hati melakukan sesuatu ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah ta'ala, tujuan amalannya adalah kerana Allah, bukan kerana sesuatu selainNya sama ada ingin dilihat amalan baiknya di sisi manusia ataupun ingin dipuji dan seumpamanya. Inilah yang dinamakan dengan ikhlas.
2) HUKUM NIAT SOLAT
Sepakat Imam Mazhab Empat bahawa hukum niat solat adalah wajib. Tidak sah solat tanpa niat kerana setiap amalan ibadah itu wajib disertai dengan niat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Umar ibnu al-Khattab radiallahu 'anhu:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: Sesungguhnya amalan-amalan dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya.
[Riwayat Muslim (1907)]
Niat merupakan sebuah tujuan dan keinginan. Tujuan dan keinginan solat adalah untuk mengharapkan limpah kurnia serta keredaan Allah subhanahu wa ta'ala. Ayat al-Quran telah menceritakan perihal niat Nabi sallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat radiallahu 'anhum ketika bersolat:
مُّحَمَّدࣱ رَّسُولُ ٱللَّهِۚ وَٱلَّذِینَ مَعَهُۥۤ أَشِدَّاۤءُ عَلَى ٱلۡكُفَّارِ رُحَمَاۤءُ بَیۡنَهُمۡۖ تَرَىٰهُمۡ رُكَّعࣰا سُجَّدࣰا یَبۡتَغُونَ فَضۡلࣰا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَ ٰنࣰاۖ
Maksudnya: Muhammad adalah utusan Allah, dan mereka yang bersama dengannya keras terhadap orang kafir, namun berkasih sayang antara sesama mereka. Engkau melihat mereka ruku' dan sujud dengan mengharapkan kurniaan dan keredaan daripada Allah
[Surat Al-Fath 29]
Ikhlas di dalam niat wajib dengan dalil:
وَمَاۤ أُمِرُوۤا۟ إِلَّا لِیَعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخۡلِصِینَ لَهُ ٱلدِّینَ
[Surat Al-Bayyinah 5]
Firman Allah ta'ala lagi:
قُلۡ إِنِّیۤ أُمِرۡتُ أَنۡ أَعۡبُدَ ٱللَّهَ مُخۡلِصࣰا لَّهُ ٱلدِّینَ
Maksudnya: Katakanlah sesungguhnya aku diperintahkan untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadah kepadaNya
[Surat Az-Zumar 11]
3) TEMPAT NIAT
Sesuai dengan maksud niat itu sendiri iaitu kehendak, tujuan dan keinginan, maka tempatnya adalah di dalam hati.
Berkata Abu Ishaq al-Syairazi: Tempat niat itu di dalam hati. Jika seseorang berniat di dalam hatinya tanpa menyebut dengan lisan, ia dikira sah[7].
Adapun mengucapkan lisan, ia tidak dikira sebagai niat.
Berkata Yahya al-'Imrani: Dan adapun (tempat niat) itu adalah hati kerana niat itu adalah ikhlas dan tidak terletak ikhlas itu melainkan di hati. Jika dia berniat di hati dan melafazkan dengan lisan, maka ianya lebih sempurna. Jika dia melafazkan dengan lisan, tetapi tidak berniat di hatinya, maka dia tidak dikira sah. Sekiranya dia berniat di dalam hatinya, tetapi tidak melafazkan dengan lisan, maka dia dikira sah[8]
4) CARA NIAT SOLAT FARDHU
Sebelum membahas lebih lanjut mengenai cara niat solat fardhu ini, hendaklah pembaca maklum mengenai beberapa istilah di bawah:
Istilah ta'yiin (تعيين) dalam perbahasan ini bermaksud menetapkan solat sama ada Zohor, Asar, Maghrib, Isya' atau Subuh.
Istilah qasad (قصد) pula bermaksud tujuan perbuatan iaitu meniatkan perbuatan 'solat'.
Istilah niat fardhu (نية الفرضية) iaitu menetapkan jenis solat iaitu fardhu. Ia juga dikenali dengan ta'arrudh (التعرض).
Istilah ada' (أداء) membawa maksud solat yang ditunaikan dalam waktunya.
Istilah qadha' (قضاء) bermaksud solat yang dilakukan setelah luput waktunya.
Setelah difahami istilah tersebut, penulis akan membentangkan pendapat Imam Mazhab Empat mengenai cara niat solat fardhu, kemudian diikuti dengan kesimpulan dan setelah itu penulis akan membuat sedikit tambahan.
1. Mazhab Hanafi
Wajib baginya ta'yiin solat sama ada Zohor, Asar atau selainnya.
Berkata al-Kasyghari: Dan solat fardhu bersendirian (منفرض) tidak memadai dengan niat fardhu secara mutlak, selagi dia tidak menyebutkan niat Zohor atau Asar. Sekiranya dia berniat 'fardhu waktu ini' (فرض الوقت) tanpa menta'yiinkannya, maka ia dikira sah, kecuali Solat Jumaat. Dan tidak disyaratkan niat bilangan rakaat[9].
Al-Halabi ketika mensyarahkan tentang bilangan rakaat di atas menyebut:
Ijma' (ulama' Mazhab Hanafi tidak perlu kepadanya (bilangan rakaat) kerana bilangan rakaat itu telah ditetapkan dengan ta'yiin solat[10].
Tidak perlu niat fardhu jika telah menta'yiin. Al-Sarkhasi ketika mengkritik pandangan al-Syafi'i yang mewajibkan niat fardhu berkata:
Dan ini adalah tidak tepat kerana ketika seseorang itu berniat Zohor maka dia telahpun berniat fardhu disebabkan Zohor itu tidak lain adalah kefardhuan.
Adapun mengenai waktu niat, dibolehkan pada dua waktu iaitu ketika takbiratul ihram dan sebelumnya dalam jangka waktu yang pendek sepertimana kata beliau lagi:
Dan sebaik-baiknya niat itu dilakukan seiringan dengan takbir. Jika seseorang itu berniat sebelumnya ketika berwuduk dan dia tidak disibukkan selepasnya dengan perbuatan yang memutuskan niatnya maka ia adalah harus di sisi kami[11].
Penerangan mengenai perbahasan ini diberikan secara terperinci oleh al-Jaziri seperti berikut:
Terdapat beberapa perkara yang terikat dalam perbahasan mengenai niat ini iaitu:
Pertama: Wajib ke atas setiap mukallaf mengetahui bahawasanya Allah subhanahu wa ta'ala telah mewajibkan ke atasnya solat fardhu lima waktu.
Jika dia tidak mengetahui tentang solat fardhu tersebut, maka solatnya tidak sah sekalipun dia menunaikan solat dalam waktunya kecuali jika dia solat di belakang imam, maka niatnya mengikut niat imam.
Adapun jika dia mengetahui tentang kefardhuan solat tersebut, maka solatnya sah walaupun dia tidak tahu perbezaan antara fardhu, wajib dan sunnat (Mazhab Hanafi membezakan takrifan fardhu dan wajib, berbeza dengan jumhur yang memberikan pengertian yang sama antara keduanya). Niat dengan cara sebegini dilakukan oleh kebanyakan orang awam.
Walaupun begitu, dia perlu mengetahui perbezaan antara fardhu dan selainnya serta tidak terus menerus dalam kejahilan tentang perkara asas agama.
Kedua: Cara niat. Cara niat untuk solat fardhu adalah orang yang bersolat tahu di dalam hatinya tentang solat fardhu apa yang ingin didirikan sama ada Zohor, Asar, Maghrib, 'Isya' ataupun Subuh. Jika dia telah mengetahui hal tersebut, maka telah berlaku niat yang merupakan syarat sah solat.
Walaupun begitu ada sebahagian fuqaha' Hanafi berpendapat, dia perlu berniat Solat Zohor hari ini (ظهر اليوم) atau Solat Zohor waktu ini (ظهر الوقت). Ini kerana solat fardhu pada hari-hari lain yang ditinggalkan juga boleh ditunaikan dalam waktu solat tersebut.
Maka jika seseorang itu berniat Solat Zohor sahaja (tanpa diikat dengan اليوم atau الوقت) maka boleh jadi ia membawa maksud dia ingin Solat Zohor pada hari tersebut atau ganti Solat Zohor yang ditinggalkan pada hari-hari sebelumnya.
Kedua-dua pandangan tersebut benar, dan sebaik-baiknya jalan yang lebih selamat adalah berniat 'Zohor hari ini' atau 'Asar hari ini'. Demikian itu perbahasan jika solat pada waktunya.
Adapun jika telah habis waktu solat, sedang dia tidak mengetahui tentang terkeluarnya waktu solat tersebut, maka cukup sekadar dia berniat Solat Zohor atau Solat Asar sahaja tanpa mengikatnya dengan apa-apa. Inilah pandangan yang paling tepat.
Jika dia tahu telah habis waktu solat, sebahagian fuqaha' Hanafi berpandangan memadai dengan menetapkan waktu solat sahaja, dan sebahagian mereka berpendapat tidak memadai, pada setiap keadaan dia perlu mengikat niatnya dengan 'hari ini' (اليوم). Maka dia perlu berniat: 'Zohor hari ini' (ظهر اليوم) atau 'Asar hari ini' (عصر اليوم). Jika dia berniat solat fardhu tanpa menetapkannya, maka ia tidaklah memadai selagimana dia tidak mengikat niatnya itu dengan waktu tertentu. Demikian itu jika solat setelah habis waktunya.
Adapun jika dia berniat 'solat fardhu waktu ini' (صلاة فرض الوقت), maka ianya sah dengan syarat dia solat pada waktunya. Hal ini seperti yang dikatakan -al-Kasyghari di atas.
Jika dia solat sesudah habis waktu, sedang dia tidak mengetahui telah terkeluar waktu tersebut, dan dia berniat 'solat fardhu waktu ini' (فرض الوقت), maka solatnya tidak sah.
Kesimpulannya, ketika berniat, seseorang itu mesti menetapkan waktu solat yang ingin ditunaikannya. Jika dia solat pada waktunya, dia perlu menetapkan solat fardhu mana yang ingin ditunaikan seperti Zohor atau Asar. Sebahagiannya berpendapat bahawa menetapkannya sahaja tidak memadai, tetapi dia mesti berniat 'Asar hari ini' atau 'Maghrib hari ini'.
Jika dia solat setelah keluar waktunya sedang dia tidak mengetahui waktu telah habis, maka niatnya sama seperti orang yang solat dalam waktunya iaitu dia hanya perlu niat Zohor atau Asar sahaja tanpa apa-apa tambahan. Inilah pandangan yang paling tepat.
Adapun jika dia tahu telah terkeluar waktu solat, terdapat dua pendapat. Pertama mengatakan cukup sekadar dia berniat Solat Zohor atau Asar tanpa apa-apa tambahan. Kedua mengatakan dia mesti berniat 'Zohor hari ini'.
Adapun sekiranya seseorang itu hanya berniat 'solat fardhu' sahaja tanpa menetapkan waktunya dan tanpa mengikat dengan 'hari ini', maka sepakat fuqaha' Hanafi mengatakan tidak sah solat itu.
Jika dia berniat 'fardhu waktu ini' (فرض الوقت), maka solatnya sah dengan syarat dia solat dalam waktunya[12].
2. Mazhab Maliki
Wajib menta'yiinkan solat fardhu ketika berniat, iaitu sama ada dia bertujuan Solat Zohor atau Asar dan seterusnya. Jika dia tidak menetapkan niat fardhu tersebut, maka solatnya tidak sah.
Berkata Khalil bin Ishak dalam mukhtasarnya ketika menerangkan fardhu-fardhu solat:
Dan (antaranya) niat solat yang dita'yiinkan (نية الصلاة المعينة), dan lafaznya adalah luas. Sekiranya bercanggah kedua-duanya, maka yang dikira adalah niatnya[13].
Al-Hatthab mensyarahkan maksud niat solat yang dita'yiinkan tersebut:
Telah berkata pengarang al-Muqaddimat[14]: Niat yang sempurna itu tertakluk kepada empat perkara: Ta'yiin solat, i'tiqad untuk mendekatkan diri (التقرب), i'tiqad akan kewajipannya dan menetapkan tujuan untuk menunaikannya. Dan kesedaran akan keimanan pula menjadi syarat sah kesemuanya itu. Maka ini adalah niat yang sempurna. Maka jika dia terleka dari menyedari akan keimanan itu atau dari kewajipan solat atau dari tujuan untuk menunaikannya ataupun dari i'tiqad untuk taqarrub, maka tidaklah rosak niatnya dengan syarat dia menta'yiinkannya kerana ta'yiin itu telah merangkumi kesemua yang disebutkan tadi[15].
Begitu juga seperti yang dinukilkan Ibnu Rusydi dalam menjelaskan hal ta'yiin ini bahawa adapun solat maka diwajibkan padanya menta'yiinkan jenis ibadah dan diwajibkan menta'yiinkan solat, sekiranya Asar, maka Asarlah niatnya, sekiranya Zohor, maka Zohorlah niatnya[16].
Tidak perlu juga berniat qadha' atau ada' dan juga tidak juga bilangan rakaat solat seperti kata Bahram al-Damiri:
Tidak diwajibkan untuk niat qadha' dan ada' (أداء), dan tidak perlu niat bilangan raka'at solat[17].
3. Mazhab Syafi'i
Terdapat empat syarat dalam niat solat fardhu:
Pertama: Niat perbuatan solat (قصد فعل الصلاة) iaitu dia menghadirkan niatnya untuk mendirikan solat walaupun secara ringkas. Disyaratkan meniatkan solat adalah untuk membezakannya dengan perbuatan-perbuatan yang lain.
Berkata al-Nawawi ketika menerangkan bab sifat solat:
Maka sekiranya seseorang solat fardhu, wajib menetapkan tujuan (قصد) perbuatannya itu dan menetapkannya (تعيين). Dan pandangan yang paling tepat adalah wajib niat fardhu tanpa menyandarkan niat kepada Allah ta'ala. Dan sesungguhnya sah solat ada' dengan niat qadha', begitu juga sebaliknya[18].
Kedua: Niat fardhu (نية الفرضية) iaitu seseorang yang bersolat berniat menjadikan solatnya itu sebagai solat fardhu.
Ketiga: Menetapkan solat fardhu (تعيين الصلاة) apa yang ingin ditunaikan sama ada Zohor, Asar dan selainnya.
Demikian seperti yang dinukilkan oleh al-Syairazi dalam kitabnya:
Maka sekiranya solat itu adalah solat fardhu, maka perlu untuk menetapkan niat tersebut. Maka seseorang itu berniat Zohor atau Asar untuk membezakan solat selainnya.
Dan adakah wajib niat fardhu? Ada dua pandangan. Berkata Abu Ishaq: Wajib. Ini untuk membezakan Zohor yang ditunaikan kanak-kanak, dan Zohor orang yang telah menunaikan solat secara bersendirian kemudian dia mendapati ada jemaah lalu dia bersolat bersama mereka.
Dan berkata Abu 'Ali bin Abi Hurairah: Memadai niat Zohor atau Asar sahaja, kerana Zohor dan Asar tidak memberi maksud yang lain selain solat fardhu[19].
Pandangan yang paling benar di sisi kebanyakan ulama' Syafi'i adalah mensyaratkan niat fardhu, sama ada solat qadha' ataupun ada'. Dan antara yang membenarkannya adalah al-Sheikh Abu Hamid, al-Qadhi Abu al-Thibb dan al-Baghawiy[20].
Keempat: Hendaklah ketiga-tiga syarat di atas ini dilakukan seiringan dengan sebahagian daripada takbiratul ihram.
Demikian seperti yang dinukilkan di dalam Kitab al-Umm:
Telah berkata al-Syafi'i rahimahullah: Dan niat itu tidak menggantikan tempat takbir, dan tidak dikira niat itu kecuali ia dilakukan bersama-sama takbir, tidak mendahului takbir, tidak pula selepasnya.
Maka jika seseorang berdiri dengan niat untuk melakukan solat, kemudian niat itu hilang disebabkan lupa atau selainnya, lalu dia takbiratul ihram dan solat, maka solatnya tidak sah[21].
Berkata Yahya al-'Imrani ketika menjelaskan hal ini:
Telah berkata ashabuna (ulama' Syafi'i: Tidaklah dimaksudkan di sini bahawa tidak boleh mendahulukan niat ke atas takbir dan tidak boleh juga mengemudiankannya. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan al-Syafi'i dengan kata-katanya (tidak sebelumnya) adalah sesungguhnya tidak boleh berniat sebelum takbir dan memutuskan niatnya sebelum takbir.
Dan demikian juga tidaklah dimaksudkan dengan kata-katanya (dan tidak selepasnya) iaitu tidak boleh terus mengekalkan niatnya selepas takbir. Akan tetapi yang dimaksudkan dengannya adalah jika dimulakan niat itu selepas takbir, maka ia tidak sah. Sekiranya dia berniat sebelum takbir dan berterusan mengingatinya sehingga ke akhir takbir, ia dikira sah. Demikian juga jika dia terus mengingatinya selepas takbir, ia dikira sah[22].
Sekiranya gugur salah satu syarat tersebut, maka terbatallah niat. Batal niat bermaksud batal solatnya.
Adapun menyandarkan niat kepada Allah dan berniat qadha' atau ada' adalah tidak wajib. Hal ini di dijelaskan oleh al-Rafi'i:
Dan pandangan yang paling tepat: Bahawa wajib menerangkan kefardhuannya (التعرض للفرضية), serta tidak wajib menyandarkan kepada Allah dan sah solat ada' dengan niat qadha' begitu juga sebaliknya[23].
4. Mazhab Hanbali
Dalam niat solat fardhu, wajib menetapkannya (تعيين) seperti berniat Zohor atau Asar, Maghrib atau Jumaat dan seterusnya. Maka tidak memadai dengan berniat fardhu semata-mata serta tidak perlu untuk menambahkan apa-apa ke atas niat tersebut.
Al-Zarkasyi menukilkan dalam syarahnya:
Dan dimestikan untuk menetapkan (تعيين) solat itu. Maka dia menetapkan Zohor, Asar atau selainnya untuk membezakan dari solat yang lain. Dan hal ini telah ditetapkan oleh Ahmad[24].
Niat boleh dilakukan ketika takbiratul ihram dan juga pada jangka waktu yang pendek sebelum takbiratul ihram.
Ibnu Qudamah al-Maqdisi berkata:
Dan sebaik-baik niat itu dilakukan bersama-sama dengan takbiratul ihram kerana ianya merupakan permulaan solat untuk menjadikan niat itu mengiringi ibadah.
Dan adalah baik melazimi mengingatinya pada keseluruhan solat kerana ianya menyampaikan maksud ikhlas.
Dan sekiranya didahulukan niat sebelum takbir dalam jangka waktu pendek, maka ianya harus selagi mana dia tidak membatalkannya[25].
Mengenai persoalan mengenai wajibkah berniat fardhu, beliau menjelaskan dalam al-Mughni bahawa di sana ada dua pendapat:
Dan telah berlaku khilaf dikalangan ulama'-ulama' kami dalam meniatkan fardhu. Maka sebahagian mereka berkata: Tidak perlu kepadanya (niat fardhu) kerana ta'yiin itu telah merangkumi maknanya (fardhu) kerana Zohor itu sebagai contoh tidak lain hanyalah sebuah kefardhuan bagi mukallaf. Dan Ibnu Hamid pula berkata: Tidak boleh tidak (wajib) mesti niat fardhu kerana solat yang dita'yiinkan itu boleh jadi sunnah seperri Zohor seorang kanak-kanak dan orang yang mengulanginya (المعادة). Maka niat itu perlu kepada tiga perkara: Perbuatan، ta'yiin dan niat fardhu[26].
Tidak wajib untuk niat qadha' atau ada' (أداء). Berkata Musa al-Hajjawi:
Dan tidak disyaratkan niat qadha' pada waktu yang telah luput (الفائتة) juga tidak wajib niat fardhu pada solat fardhu serta tidak wajib niat ada' (أداء) pada waktu yang masih ada (الحاضرة). Dan sah solat qadha' dengan niat ada', begitu juga sebaliknya[27].
5. Kesimpulan Cara Niat Solat Fardhu
Daripada perbahasan biat solat fardhu di atas, dapatlah penulis ringkaskan seperti berikut:
Mazhab Hanafi: Ada tiga pendapat iaitu pertama wajib ta'yiin sahaja. Kedua wajib ta'yiin beserta 'hari ini'. Ketiga memadai niat 'fardhu waktu ini' walaupun tanpa ta'yiin dengan syarat solat dalam waktunya.
Mazhab Maliki dan Hanbali: Wajib ta'yiin tanpa apa-apa tambahan.
Mazhab Hanafi dan Hanbali: Boleh niat ketika takbiratul ihram atau sebelumnya dalam jangka waktu yang pendek dengan syarat tidak memutuskan niat tersebut.
Mazhab Syafi'i: Wajib ta'yiin, qasad solat dan ta'arrudh fardhu ketika takbiratul ihram.
Mazhab Hanafi dan Hanbali: Boleh niat ketika takbiratul ihram atau sebelumnya dalam jangka waktu yang pendek dengan syarat tidak memutuskan niat tersebut.
Mazhab Syafi'i: Wajib ta'yiin, qasad solat dan ta'arrudh fardhu ketika takbiratul ihram.
Penulis mendapati bahawa ulama'-ulama' Mazhab Empat bersepakat tidak mewajibkan bilangan raka'at, qadha' atau ada' dan menyandarkan kepada Allah. Begitu juga mereka bersepakat wajib menta'yiinkan niat kecuali satu qaul dalam Mazhab Hanafi yang mengatakan memadai hanya niat fardhu hari ini asalkan solat dalam waktunya. Demikian juga kesepakatan mereka dalam mewajibkan niat dari awal solat iaitu takbiratul ihram.
Sebagai pengakhiran kesimpulan, ulama' bersepakat akan kewajipan niat untuk solat tanpa khilaf.
Hanya sahaja mereka berbeza dalam memperincikan cara berniat kerana hal ini tidak diperincikan oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi wa Sallam secara jelas.
Namun, apa yang pasti, pandangan-pandangan mereka menuju kepada satu tujuan yang sama iaitu matlamat dari niat itu selain keikhlasan adalah untuk membezakan satu solat yang dikerjakan dengan solat-solat atau perbuatan yang lain.
Demikianlah ijtihad para ulama' yang mulia, semoga Allah Ta'ala merahmati mereka semua.
Tambahan penulis: Untuk menunaikan solat, tidak seharusnya seseorang itu bersusah payah memasukkan niat dengan menuturkan dan menyusun satu persatu di dalam hatinya seperti dia mengatakan di dalam hatinya: Sahaja aku solat fardhu Zohor empat raka'at menghadap kiblat tunai kerana Allah Ta'ala. Kerana niat itu lintasan hati, bukan seperti lafaz yang memerlukan susunan perkataan. Jika dia sedar dia sedang solat Zohor misalnya, dan sememangnya dia telah sedia mengetahui perihal Zohor itu bagaimana dari segi perbuatannya, raka'atnya, kefardhuannya, syarat-syaratnya dan sifat solat yang perlu dilakukannya serta kerana siapa dia melaksanakannya, maka di situ telah berlaku niat walaupun dia tidak menuturnya di dalam hati satu persatu. Hal ini telah melepasi syarat-syarat yang ditetapkan oleh keempat-empat mazhab إن شاء الله.
Penulis mendapati segelintir masyarakat kita salah faham cara niat sehingga mereka bertakbir, lalu membatalkannya, kemudian bertakbir lagi lalu membatalkannya kembali kerana was-was adakah dia sudah berniat atau belum sedangkan dia telah sedia maklum dengan akal sihatnya bahawa dia sedang berdiri untuk melakukan solat fardhu tertentu.
Begitu juga ada yang mengangkat takbir begitu lama sekali kerana sedang menyusun perkataan-perkataan tersebut untuk dimuatkan dalam takbiratul ihram. Ini tidak tepat. Sekiranya benar sedemikian rupa, maka Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dan para sahabat radhiallahu 'anhum juga tidak terkecuali daripada memanjangkan takbir mereka namun setakat kajian penulis tidak ada satu riwayat pun mengatakan hal sedemikian. Ini membuktikan bahawa niat yang dikehendaki melalui hadith إنما الأعمال بالنيات itu adalah kehendak dan kesedaran seseorang tentang solat apa yang ingin dilakukannya itu secara mudah dan ringan.
والله أعلم بالصواب
Rujukan:
1. Zayn al-Din Abu al-Faraji 'Abd al-Rahman bin Syihab al-Din, Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, (Beirut: Dar Ibn al-Katsir, 2008) 36-37
2. Ibnu 'Abidin, Raddu al-Muhtar 'ala al-Durr al-Mukhtar Syarh al-Tanwir al-Absar, jilid 1 (Riyad: Dar al-'Alam al-Kutub, 2003), 222.
3. Hasyiyah al-'Adawiy (1/203).
4. Jalal al-Din al-Suyuti, Muntaha al-Amal fi Syarh al-Hadith Innama al-A'mal, (Beirut: Dar Ibn al-Hazm, 1998), 81-82.
5. Abu Zakariyya Muhy al-Din ibn al-Syaraf al-Nawawi, al-Majmu' Syarah al-Muhadzab li al-Syairazi, jilid 3 (Jeddah: Maktabah al-Irsyad) 353.
6. Mansur bin Yunus bin Idris al-Bahuti, Kasysyaf al-Qina' 'an Matni al-Iqna', jilid 1 (Beirut: 'Alam al-Kutub, 1983), 313.
7. Abu Ishaq al-Syairazi, al-Muhadzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi'iy, (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), 236.
8. Abu al-Hussain Yahya bin Abi al-Khayr bin Salim al-'Imrani, al-Bayan fi al-Mazhab al-Syafi'i, jilid 2 (Dar al-Minhaj li al-Thiba'ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi'), 160.
9. Abu 'Abd Allah Muhammad bin Muhammad al-Kasyghari, Munyah al-Musolli wa Ghunyah al-Mubtadi, (Damsyiq: Dar al-Qalam, 2007), 161.
10. Ibrahim al-Halabi, Ghunyah al-Mutamalli fi Syarh Munyah al-Musolli, (Daz Sa'adat, 1907), 249.
11. Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1989), 10.
12. Abd al-Rahman al-Jaziri, al-Fiqh 'ala al-Mazahib al-Arba'ah, jilid 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2003), 192-193.
13. Khalil bin Ishaq al-Maliki, Mukhtasar al-'Allamah Khalil, (Dar al-Fikri, 1981), 28.
14. Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Rusydi al-Qurthubi, Al-Muqaddimat wa al-Mumahhidat, jilid 1, (Beirut: Dar al-Gharab al-Islami, 1988), 155.
15. Abu 'Abd Allah Muhammad bin Muhammad bin 'Abd al-Rahman al-Maliki, Muwahib al-Jalil fi Syarhi Mukhtasar al-Shaikh Khalil, jilid 2, (Mauritania: Al-Nasyir Dar al-Ridhwan, 2010), 206.
16 Ibnu Rusydi, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, jilid 2 (Al-Kaherah, Maktabah Ibnu Taimiyyah, 1415h), 160.
17. Bahram bin 'Abdillah bin 'Abd al-'Aziz al-Damiri, al-Syamil fi Fiqh al-Imam Malik, (Kaherah: Markaz Najibawaih li al-Thaba'ah wa al-Nasyr wa al-Dirasat, 2008) 103.
18. Muhyu al-Din Abi Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Tholibin wa 'Umdah al-Muftin, (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2005), 96.
19. Abu Ishaq al-Syairazi, al-Muhadzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi'iy, (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992) 236.
20. Abu Zakariyya Muhy al-Din ibn al-Syaraf al-Nawawi, al-Majmu' Syarah al-Muhadzab li al-Syairazi, jilid 3 (Jeddah: Maktabah al-Irsyad) 244.
21. Muhammad bin Idris al-Syafi'i, al-Umm, jilid 2, (Al-Mansurah: Dar al-Wafa' li al-Thaba'ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi', 2001), 224.
22. Abu al-Hussain Yahya bin Abi al-Khayr bin Salim al-'Imrani, al-Bayan fi al-Mazhab al-Syafi'i, jilid 2 (Dar al-Minhaj li al-Thiba'ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi'), 160.
23. Abu al-Qasim 'Abd al-Karim bin Muhammad bin 'Abd al-Karim al-Rafi'i, al-Muharrar fi Fiqh al-Imam al-Syafi'i, jilid 1, (Kaherah: Dar al-Salam li al-Thaba'ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi' wa al-Tarjamah, 2013), 173.
24. Syams al-Din Abu 'Abdillah Muhammad bin 'Abdullah bin Muhammad al-Zarkasyiy, Syarah al-Zarkasyiy 'ala Mukhtasar al-Kharaqi, jilid 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2002) 172.
25. Muwaffaq al-Din 'Abd Allah bin Qudamah al-Maqdisi, Al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad bin Hanbal, jilid 1(Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1994), 241.
26. Ibnu Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, jilid 2, (Riyadh: Dar 'Alam al-Kutub li al-Thaba'ah wa al-Nasyri wa al-Tauzi', 1986), 132.
27. Syarif al-Din Musa al-Hajjawi al-Maqdisi, al-Iqna' fi fiqh al-Imam Ahmad bin Hanbal, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'rifah li al-Thaba'ah wa al-Nasyr), 106.
halalkan saya mengambil ilmu ini sebagai rujukan
ReplyDelete