Saturday, June 22, 2019

BERTAUBATLAH! RAHMAT ALLAH MEMADAMKAN DOSA INSAN



HUBUNGAN HAMBA DENGAN TUHANNYA, TIADA PERANTARA 

Istimewanya Islam adalah apabila ia tidak pernah meletakkan perantaraan antara hamba dengan Tuhan.

Di manapun kamu berada, pada bila-bila masa sahaja, siapa pun kamu, miskin atau kaya, mulia atau hina, keturunan dan pangkat apa pun kamu, sekalipun kamu hamba sahaya, ketika kamu ingin berhubung dengan Tuhanmu atau ingin kembali dan berhajat  kepada Rabbmu, tiada apa yang dapat menghalang.

Kamu tidak memerlukan sebarang perantara, tidak berhala, tidak juga orang agama untuk jadi perantara antara dirimu dengan Tuhan.

Inilah yang membezakan Islam, wahyu suci dari Tuhan dengan agama yang telah ditokok tambah oleh tangan kotor manusia seperti yang berlaku dalam ajaran Kristian bilamana seseorang hendak kembali kepada tuhan, dia terpaksa membuat pengakuan dosa di hadapan paderi-paderi gereja. Islam tidak ada unsur begini sama sekali!

RAHMAT DAN TAUBAT

Saudaraku, seluas-luas pintu dalam ajaran Islam adalah pintu rahmat dan taubat. Allah azza wa jalla menyeru hambanya yang berdosa:


 قُلۡ یَـٰعِبَادِیَ ٱلَّذِینَ أَسۡرَفُوا۟ عَلَىٰۤ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُوا۟ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ یَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِیعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِیمُ

Maksudnya: Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang mana mereka telah melampaui batas terhadap diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni dosa keseluruhannya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

[Surah Az-Zumar 53]


Maka ketahuilah olehmu, sebesar mana pun dosamu, sehingga terasa banyaknya bagai buih di lautan, besarnya meliputi langit dan bumi, pasti tidak terbanding dengan maha luasnya rahmat Allah azza wa jalla.

Meskipun ketika dirimu sedang gelisah dengan dosa dan orang ramai pula berkata, ''Hey lingkuplah engkau dengan dosa-dosa yang kau lakukan, Tuhan tidak akan mengampuni engkau, nerakalah tempat engkau!'', Yakinlah pintu rahmat dan taubat masih terbuka buatmu.

Allah azza wa jalla berfirman:


أَلَمۡ یَعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ یَقۡبَلُ ٱلتَّوۡبَةَ عَنۡ عِبَادِهِۦ وَیَأۡخُذُ ٱلصَّدَقَـٰتِ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِیمُ

Maksudnya, Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan menerima sedekah-sedekah, dan sesungguhnya Allah Dialah yang Maha Menerima Taubat, Maha Pengasih?


[Surah At-Taubah 104]


Selagimana kamu tetap mengharapkan belas kasihanNya dan bertaubat kepadaNya maka Allah sedia mengampunimu, memaafkanmu, mengasihanimu dan menerima kembali kepulanganmu.


Allah azza wa jalla berfirman lagi:




وَمَن یَعۡمَلۡ سُوۤءًا أَوۡ یَظۡلِمۡ نَفۡسَهُۥ ثُمَّ یَسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَ یَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا

Maksudnya: Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menzalimi dirinya sendiri, kemudian dia memohon keampunan Allah, dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih.


[Surah An-Nisa' 110]


Justeru mari kita renungkan sejenak, jika Allah azza wa jalla tidak pernah jemu menerima taubat insan, maka siapalah kita yang berdosa ini untuk berhenti mengharap keampunan dariNya.

No comments:

Post a Comment