Dalam kehidupan ini, kita selalu inginkan yang lebih banyak, yang lebih baik. Namun ada satu perkara yang mungkin kita selalu lupa, iaitu untuk bersyukur dengan segala apa yang telah ada.
قَلِیلًا مَّا تَشۡكُرُونَ
Sedikit sekali apa yang kalian syukuri
Sedikit sekali apa yang kalian syukuri
(Surah Al-Mulk: 23)
Kerana ramai di antara kita tersalah sangka dengan erti kebahagiaan yang sebenar dalam hidup.
Seringkali kita mengaitkan kebahagian itu dengan faktor harta dan kekayaan. Ya, walaupun ia boleh jadi penyumbang ke arah itu, tapi ia bukanlah segala-galanya.
Berapa ramai orang yang tinggal di dalam rumah mewah dan tidur di atas katil yang empuk, tapi tidurnya tidak lebih lena daripada orang yang tidur cuma di pondok-pondok buruk.
Berapa ramai orang yang terhidang di hadapannya segala makanan yang lazat, tapi rasa lidahnya tidak lebih enak berbanding orang yang cuma memakan sepotong dua roti dalam sehari.
Ini kerana kebahagiaan itu bukanlah tentang apa yang telah kita miliki, tetapi tentang apa yang telah kita syukuri.
Bukankah Allah telah menjamin rezeki untuk kita?
وَمَا مِن دَاۤبَّةٍ فِی الْأَرۡضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزۡقُهَا
Dan tidak ada suatupun dari makhluk yang melata di bumi kecuali ke atas Allahlah rezekinya
(Surah Hud: 6)
Dan tidak ada suatupun dari makhluk yang melata di bumi kecuali ke atas Allahlah rezekinya
(Surah Hud: 6)
Syukur yang sebenar itu lahirnya dari dalam hati, diungkapkan dengan lisan dan dizahirkan dengan ketaatan.
Orang yang bersyukur, ketika kaya dia bahagia, ketika miskin pun dia bahagia.
Bukan kerana kaya atau miskin yang menjadikan dia bahagia, tetapi kerana si kaya percaya segala sesuatu bukan miliknya tetapi pinjaman dari Sang Pencipta, dan si miskin pula percaya yang dia ada Tuhan Yang Maha Kaya, lalu untuk apa perlu dirisaukannya?
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَاۤءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِیُّ ٱلۡحَمِیدُ
Wahai sekalian manusia, kamu semua fakir kepada Allah, sedangkan Allah, Dialah Yang Maha Kaya dan Maha Terpuji
(Surah Fatir: 15)
(Surah Fatir: 15)
Orang yang bersyukur, sedikit atau banyak yang dia dapat, dia sentiasa berterima kasih kepada Tuhan Yang Maha Memberi.
Orang yang bersyukur, dia tidak merungut dengan apa yang belum dia miliki.
Orang yang bersyukur, apabila dia melihat orang lain mendapat lebih, hatinya tidak iri kerana dia tahu semuanya milik Allah, hak Dia memberi kepada siapa yang Dia kehendaki.
أَنَّ ٱللَّهَ یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ وَيَقْدِرُ
Bahawa Allahlah yang melapangkan dan menyempitkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki
(Surah Al-Zumar: 52)
Sebagai hamba kita akui, Allah tidak henti-henti berbuat baik kepada kita. Tidak pernah berhenti memberi nikmat kepada kita. Tidak henti-henti menyelesaikan masalah kita.
Kita juga akui, tidak ada yang sayang kita lebih daripada Allah. Tidak ada yang jaga kita lebih baik daripada Allah. Tidak ada yang sudi mendengar rintihan kita lebih daripada Allah.
Malangnya sampai hari ini, ketika kita meletakkan dahi bersujud kepada Allah, kita masih lalai dari mengingatiNya, kita masih lalai dari berterima kasih kepadaNya.
Wahai Allah, maafkanlah kami atas kelalaian ini. Wahai Allah, ampunilah kami atas kelemahan diri ini. Kami mengadu kepadaMu kurangnya kami dalam mensyukuri pemberian-pemberianMu. Wahai Allah, jadikanlah kami termasuk golongan hamba-hambaMu yang bersyukur kepadaMu dan tempatkanlah kami di kalangan mereka di Akhirat nanti. Aamiin.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment