QIRAAH (BACAAN) AL-FATIHAH DAN SURAH: PANDANGAN IMAM-IMAM MAZHAB

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ الْأَمِينِ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

Sebelum melanjutkan pembacaan, adalah baik bagi kita untuk mengetahui pandangan ulama' mengenai basmalah terlebih dahulu kerana ia berkait rapat dengan bab qiraah ini. Penulis telahpun membahasnya sebelum ini. (klik di sini)

Qiraah (قِرَاءَة) dalam perbahasan ini merujuk kepada bacaan Al-Quran semasa qiyam (berdiri) di dalam solat.

Perbahasan ini terkait dengan beberapa persoalan penting iaitu:

  • Adakah qiraah wajib?
  • Adakah Al-Fatihah wajib dibaca setiap rakaat?
  • Adakah surah selepas Al-Fatihah wajib?
  • Adakah qiraah dikuatkan atau diperlahankan?
  • Apakah qiraah wajib didengari telinga?
  • Adakah makmum wajib qiraah?

Persoalan-persoalan ini akan dijawab berdasarkan pandangan Ulama' Mazhab Empat dan beberapa ulama' yang lain beserta hujah masing-masing daripada nas Al-Quran, Hadith, perbuatan para Sahabat dan hujah akal.

Semoga Allah ﷻ memberi kefahaman Agama kepada kita.

1. MAZHAB HANAFI

Pertamanya penting untuk kita faham bahawa Mazhab Hanafi membezakan antara hukum fardhu dan hukum wajib, tidak seperti mazhab yang lain seperti yang kita ketahui.


Hukum fardhu bermaksud jika ditinggalkan maka terbatal solat manakala hukum wajib bermaksud jika ditinggalkan perlu diganti dengan sujud sahwi dan tidak membatalkan solat.


Dengan erti kata lain, hukum wajib dalam Mazhab Hanafi ini hampir sama seperti hukum sunnah muakkadah dalam Mazhab Syafi'i.


Secara umumnya, hukum fardhu diistinbat daripada dalil qat'i seperti Al-Quran dan Hadith yang mutawatir manakala hukum wajib diistinbat daripada dalil zhanni seperti khabar wahid.


Kembali kepada perbahasan, qiraah yang fardhu dalam Mazhab Hanafi adalah membaca apa sahaja ayat daripada Al-Quran walaupun selain Al-Fatihah. Berdasarkan dalil qat'i iaitu firman Allah ﷻ:



ِفَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْءَان
Maka bacalah kalian apa-apa yang mudah daripada Al-Quran.
(Surah Al-Muzzammil: 20)

Oleh itu meninggalkannya akan membatalkan solat.


Adapun membaca Al-Fatihah dan surah pula adalah wajib, bukannya fardhu berdasarkan khabar wahid iaitu sabda Nabi ﷺ:



لَا صَلَاةَ إِلَّا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَة
(Tiada solat kecuali dengan Fatihatil Kitab dan surah)

Hadith ini dan yang seumpamanya adalah khabar wahid yang tidak boleh menasakhkan kemutlakan Al-Quran.

Maka meninggalkan Al-Fatihah kerana terlupa atau sengaja tidaklah membatalkan solat tetapi wajib sujud sahwi. Jika terlupa sujud sahwi maka wajib mengulangi solatnya. Jika tidak, solatnya tetap sah tetapi dia berdosa. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Ibnu 'Abidin (1252h)[9].


Dan Al-Fatihah itu hanya wajib pada dua rakaat yang awal sahaja. Sabda Nabi ﷺ:



ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ الَّذِي أُوتِيتُهُ
Pujian bagi Allah Tuhan seluruh alam (Surah Al-Fatihah) adalah Al-Sab'u al-Mathani dan al-Quran yang Agung yang didatangkannya kepadaku.[4]

Berdasarkan hadith ini, Allah ﷻ telah menamakan Surah Al-Fatihah sebagai Al-Mathani (الْمَثَانِي) yang bermaksud dua-dua kerana ianya dibaca dua kali dalam setiap solat.

Adapun pada rakaat kedua dan ketiga, Al-Fatihah adalah sunnah kerana ianya hanyalah sebagai puji-pujian (الثَّنَاء). Dan juga boleh memilih sama ada hendak membaca Al-Fatihah atau tasbih ataupun berdiam sahaja. Hujahnya, Al-Sarkhasi (490h) berkata:


Dan bagi kami ijma' Sahabat, maka sesungguhnya Abu Bakr membaca pada dua rakaat yang akhir pada zaman Nabi ﷺ adalah sebagai puji-pujian, dan diriwayatkan bahawa dia membaca pada dua rakaat yang akhir itu ُآمَنَ الرَّسُول sebagai puji-pujian, Umar radhiallahuta'ala 'anhu telah tertinggal qiraah pada satu rakaat dalam Solat Maghrib lalu dia mengqadha'kannya pada rakaat ketiga dan menguatkan (bacaannya). 'Uthman radhiallahuta'ala 'anhu telah tertinggal qiraah pada dua rakaat yang awal daripada solat Isya' dan dia mengqadha'kannya pada dua rakaat yang terakhir dan menguatkan (bacaannya), daripada 'Ali dan Ibnu Mas'ud radhiallahu 'anhuma bahawa mereka berdua bertasbih pada dua rakaat yang akhir. Seorang lelaki bertanya 'Aisyah radhiallahuta'ala 'anha mengenai bacaan Al-Fatihah pada dua rakaat yang akhir, maka dia menjawab: ِأَقْرَأُ  لِيَكُوَن عَلَى جِهَّةِ الثَّنَاء (Aku membaca agar ia menjadi bentuk puji-pujian).[1]

Juga berdalilkan kata-kata 'Ali dan Ibnu Mas'ud:


الْمُصَلِّي بِالْخِيَارِ فِي الْأُخْرَيَيْنِ، إِنْ شَاءَ قَرَأَ إِنْ شَاءَ سَكَتَ وَإِنْ شَاءَ سَبَّحَ
Orang yang bersolat itu ada pilihan pada dua rakaat yang akhir, jika dia mahu dia baca, jika dia mahu dia diam, dan jika dia mahu dia bertasbih.[6]

Pada dua rakaat yang pertama, Imam wajib menguatkan qiraah dalam solat jahar iaitu Maghrib, Isyak dan Subuh manakala dalam solat khafi iaitu Zohor dan Asar, imam perlu memperlahankan bacaaan. Hujahnya, Al-Sarkhasi (490h) berkata:

Dan Nabi ﷺ pada permulaan (Islam) Baginda menguatkan (bacaan) Al-Quran dalam solat kesemuanya dan orang-orang musyrik (ketika itu) menyakiti Baginda dan mencela yang menurunkan (Al-Quran iaitu Allah) dan (mencela) yang diturunkan Al-Quran kepadanya (Nabi ﷺ) maka Allah Ta'ala menurunkan (ayat):
َوَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِك سَبِيلًا
(Dan janganlah engkau menguatkan (bacaan) dalam solatmu dan jangan (pula) memperlahankan, dan carilah cara di antara yang demikian itu)
(Surah Al-Isra': 110)
Kemudian Baginda memperlahankan (bacaan) dalam Solat Zohor dan Asar kerana mereka (musyrikin) bersedia untuk menyakiti pada dua waktu ini dan dikuatkan dalam Solat Maghrib kerana mereka (ketika itu) sibuk untuk makan dan (dikuatkan bacaan) dalam Solat Isyak dan Fajar kerana mereka (ketika) itu tidur. Dan untuk ini dikuatkan (bacaan) dalam (Solat) Jumaat dan Dua Hari Raya kerana Baginda mendirikannya di Madinah dan orang-orang kafir tiada kekuatan untuk menyakiti (Baginda) di sana.[2]

Pada rakaat ketiga dan keempat, imam perlu memperlahankan bacaannya. Hujahnya, Al-Sarkhasi (490h) berkata:

Ia tidak dikira sebagai satu rukun seperti puji-pujian dalam Iftitah dan sebabnya bahawa terbinanya rukun-rukun di atas perkara yang masyhur dan jelas dan kalaulah qiraah pada kedua rakaat yang akhir itu wajib maka mengapa ia berbeza dengan dua rakaat yang awal pada sifat(nya)?[3]

Adapun makmum, hendaklah dia diam dan dengar bacaan imam. Berdasarkan firman Allah ﷻ:


وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُوا۟ لَهُۥ وَأَنصِتُوا۟ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Maka apabila dibacakan Al-Quran maka dengarlah kalian kepadanya dan diamlah kalian supaya kalian dirahmati.
(Surah Al-A'raf: 204)

Qiraah adalah fardhu. Tiada solat tanpa qiraah. Diamnya makmum itu tidak bermaksud tiada qiraah kerana qiraah imam dikira sebagai qiraah makmum juga. Dalilnya sabda Nabi ﷺ:

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَقِرَاءَةُ الْإِمَامِ لَهُ قِرَاءَةٌ
Sesiapa yang baginya ada imam, maka qiraah imam adalah qiraah baginya (juga)[3]

Tahap qiraah adalah mesti didengari telinga walaupun dalam solat khafi. Hujahnya, Al-Sarkhasi (490h) berkata:

Dan tahap qiraah pada kedua-dua solat ini (Zohor dan Asar) adalah dia (perlu) untuk membenarkan huruf-huruf itu dengan lidahnya sehingga didengari dirinya ataupun didengari darinya sesiapa yang hampir dengan telinganya daripada mulutnya. Maka tanpa yang demikian itu (dikira) sebagai berfikir dan tidak jelas (bahkan) ianya bukanlah (dikira sebagai) qiraah.[7]

Al-Kasyghari (705h) menyatakan bahawa ada juga pandangan lain yang membolehkan qiraah walaupun tidak didengari oleh dirinya sendiri asalkan lidahnya menyebut dengan betul setiap huruf-huruf qiraah itu.[8]


Rujukan:

1) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1989), 18.

2) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1989), 17.

3) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1989), 18.

4) Abu 'Abd Allah Muhammad ibn Isma'il Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, tahqiq Sadqi Jamil Al-'Attar, (Beirut: Dar Al-Fikr li Al-Taba'ah wa Al-Nasyr wa Al-Tauzi'), 1091, no. Hadith: 4474. Kitab: Tafsir Al-Quran. Bab: Apa yang Datang Tentang Fatihah al-Kitab.

5) 'Alau Al-Din Abu Bakr bin Mas'ud Al-Kasani Al-Hanafi, Badai' Al-Sanai' fi Tartib Al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 519.

6) 'Alau Al-Din Abu Bakr bin Mas'ud Al-Kasani Al-Hanafi, Badai' Al-Sanai' fi Tartib Al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 526.

7) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1989), 17.

8) Rujuk: Abu 'Abd Allah Muhammad bin Muhammad Al-Kasyghari, Munyah Al-Musolli wa Ghunyah Al-Mubtadi, tahqiq Aminah 'Umar Al-Kharrath, (Damsyiq: Dar Al-Qalam, 2007), 176.

9) Rujuk: Ibn 'Abidin, Radd Al-Muhtar 'ala Al-Durr Al-Mukhtar Syarh Al-Tanwir Al-Absar, tahqiq 'Adil Ahmad bin 'Abd Al-Maujud, jilid 2, (Riyad: Dar Al-'Alam Al-Kutub, 2003), 146-147.

No comments:

Post a Comment