Pernah dengar mengenai golongan al-mujahirin?
Mungkin lebih ramai yang mengenal muhajirin berbanding mujahirin.
Ya, sebutannya hampir sama, tapi tidak pada makna.
Jika muhajirin dikenali sebagai golongan yang mulia, maka mujahirin pula adalah golongan yang sangat hina.
Siapa dia mujahirin itu?
Mereka adalah orang yang suka membuka aibnya sendiri setelah Allah Tuhan Yang Maha Penyayang menutupinya.
Orang sebegini tidak akan diampuni Allah ﷻ.
Nabi ﷺ bersabda:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ. وَإِنَّ مِنَ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ فَيَقُولُ: يَا فُلَانُ، عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
"Setiap ummatku diampuni, kecuali al-mujahirin. Dan sesungguhnya daripada al-mujaharah itu, seorang lelaki melakukan sesuatu perbuatan (keji) pada waktu malam, kemudian dia memasuki waktu pagi dan Allah telah pun menutupi (perbuatan keji)nya itu, kemudian dia berkata: 'Wahai fulan! Kelmarin aku telah melakukan begitu dan begini'. Dan (orang itu) ketika malam Tuhannya menutup (aib)nya, dan ketika pagi dia membuka apa yang telah Allah tutupinya.
(Sahih Al-Bukhari, 6069)
Manusia sememangnya tidak lari daripada kesilapan. Itu fitrah insani. Namun Islam mengajar ummatnya untuk menjaga maruah diri.
Usah dibongkar salah silap yang lalu apatah lagi berbangga dengannya. Sedangkan Allah ﷻ telahpun menutupi pekong di dada manusia, mengapa manusia perlu menzalimi dirinya sendiri?
Sedar tak sedar, boleh jadi kita juga pernah tergolong dalam golongan mujahirin ini. Maka hendaklah kita selalu bermuhasabah dan memohon keampunan Allah ﷻ serta berusaha untuk menjauhi sikap suka membuka aib sendiri kepada manusia lainnya.
No comments:
Post a Comment