Keampunan.
Apa lagi yang diharapkan selain itu?
Apabila kita dibangkitkan dan Allah mula menghitung semua dosa pahala di dunia dahulu.
یَوۡمَ یَبۡعَثُهُمُ ٱللَّهُ جَمِیعࣰا فَیُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوۤا۟ۚ أَحۡصَىٰهُ ٱللَّهُ وَنَسُوهُۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ شَهِیدٌ
Pada hari ketika Allah membangkitkan mereka semuanya, maka Dia menerangkan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan, Allah menghitungnya sedangkan mereka telah lupa kepadanya. Dan Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu. (Surah al-Mujadilah: 6)
Dukacita, putus asa, hiba, gerun, dan segala yang menggolak jiwa pasti tidak tertanggung rasa bilamana melihat dosa melebihi pahala.
Kerana kita tahu, setelah perhitungan itu selesai, hanya tinggal dua.
Sama ada syurga atau neraka.
Maka apa lagi yang diharapkan selain keampunan Tuhan?
Pada hari itu, tidak akan ada jual beli yang dapat menebus dosa-dosa kita. Tidak ada persahabatan yang mampu menyelamatkan kita daripada azab Allah.
Yang tinggal hanyalah sebuah harapan. Harapan agar diampuni Tuhan. Sungguh besar nilai keampunanNya ketika itu.
Tapi bagaimana pula, jika tiba-tiba Allah berbicara:
"Wahai hambaku, telah Aku ampunkan dosa-dosamu itu"
Ya Allah! Ya Allah! Sungguh Engkau Maha Pengampun, Maha Penyayang.
وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا
Dan adalah Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (Surah al-Furqan: 70)
Menyedari betapa faqirnya hamba kepada keampunan Allah, mendorong hati menyelak dan menyemak lembaran-lembaran suci, bagaimana caranya agar diri diampuni.
Banyak caranya. Terlalu banyak.
Salah satunya adalah sabar.
Ujian hidup yang silih berganti itu, rupa-rupanya menyimpan hikmah besar iaitu keampunan Tuhan.
Yang kuncinya adalah kesabaran:
وَلَىِٕنۡ أَذَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنَّا رَحۡمَةࣰ ثُمَّ نَزَعۡنَـٰهَا مِنۡهُ إِنَّهُۥ لَیَـُٔوسࣱ كَفُورࣱ وَلَىِٕنۡ أَذَقۡنَـٰهُ نَعۡمَاۤءَ بَعۡدَ ضَرَّاۤءَ مَسَّتۡهُ لَیَقُولَنَّ ذَهَبَ ٱلسَّیِّـَٔاتُ عَنِّیۤۚ إِنَّهُۥ لَفَرِحࣱ فَخُورٌ إِلَّا ٱلَّذِینَ صَبَرُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُم مَّغۡفِرَةࣱ وَأَجۡرࣱ كَبِیرࣱ
Dan benar-benar sekiranya Kami rasakan ke atas manusia itu rahmat dari Kami kemudian kami menariknya daripadanya, sesungguhnya dia benar-benar berputus asa kufur Dan benar-benar sekiranya Kami rasakan ke atasnya nikmat selepas penderitaan yang menyentuhnya, benar-benar mereka akan berkata: "Telah hilang keburukan-keburukan daripadaku", sesungguhnya dia benar-benar gembira berbangga-bangga Kecuali orang-orang yang sabar serta melakukan amal-amal soleh, mereka itu bagi mereka keampunan dan ganjaran yang besar. (Surah Hud: 9-11)
Firman Allah lagi:
ثُمَّ إِنَّ رَبَّكَ لِلَّذِینَ هَاجَرُوا۟ مِنۢ بَعۡدِ مَا فُتِنُوا۟ ثُمَّ جَـٰهَدُوا۟ وَصَبَرُوۤا۟ إِنَّ رَبَّكَ مِنۢ بَعۡدِهَا لَغَفُورࣱ رَّحِیمࣱ
Kemudian sesungguhnya Tuhanmu untuk orang-orang yang berhijrah setelah mereka diuji kemudian mereka berjihad dan bersabar, sesungguhnya Tuhanmu, setelah itu, benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang. (Surah al-Nahl: 110)
Begitu juga firmanNya:
إِنَّ ٱلۡمُسۡلِمِینَ وَٱلۡمُسۡلِمَـٰتِ وَٱلۡمُؤۡمِنِینَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ وَٱلۡقَـٰنِتِینَ وَٱلۡقَـٰنِتَـٰتِ وَٱلصَّـٰدِقِینَ وَٱلصَّـٰدِقَـٰتِ وَٱلصَّـٰبِرِینَ وَٱلصَّـٰبِرَ ٰتِ وَٱلۡخَـٰشِعِینَ وَٱلۡخَـٰشِعَـٰتِ وَٱلۡمُتَصَدِّقِینَ وَٱلۡمُتَصَدِّقَـٰتِ وَٱلصَّـٰۤىِٕمِینَ وَٱلصَّـٰۤىِٕمَـٰتِ وَٱلۡحَـٰفِظِینَ فُرُوجَهُمۡ وَٱلۡحَـٰفِظَـٰتِ وَٱلذَّ ٰكِرِینَ ٱللَّهَ كَثِیرࣰا وَٱلذَّ ٰكِرَ ٰتِ أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُم مَّغۡفِرَةࣰ وَأَجۡرًا عَظِیمࣰا
Dan lelaki-lelaki Muslim dan wanita-wanita Muslim, lelaki-lelaki mukmin dan wanita-wanita mukmin, lelaki-lelaki yang taat dan wanita-wanita yang taat, lelaki-lelaki yang benar dan wanita-wanita yang benar, lelaki-lelaki yang sabar dan wanita-wanita yang sabar, lelaki-lelaki yang khusyuk dan wanita-wanita yang khusyuk, lelaki-lelaki yang bersedekah dan wanita-wanita yang bersedekah, lelaki-lelaki yang berpuasa dan wanita-wanita yang berpuasa, lelaki-lelaki yang memelihara kemaluan-kemaluan mereka dan wanita-wanita yang memelihara, lelaki-lelaki yang banyak mengingati Allah dan wanita-wanita yang mengingati, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan ganjaran yang besar. (Surah al-Ahzab: 35)
Maha Benar Allah yang Maha Agung.
Demikianlah titipan kalam Ilahi.
Maka hendaknya sebagai hamba, kita bersabar menempuhi satu persatu ujian yang diberikan Allah.
Sabar dan terus bersabar. Walaupun berat, teruskan.
Kerana orang-orang yang sabar itu dijanjikan dengan berita gembira, iaitu keampunanNya dan ia juga mengikat kasih cinta antara hamba dan Pencipta.
وَٱللَّهُ یُحِبُّ ٱلصَّـٰبِرِینَ
Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar. (Surah Ali 'Imran: 146)
No comments:
Post a Comment