Tuesday, November 26, 2019

KENAPA KITA DIUJI?


Ujian.

Memikulnya tidak semudah kata.

Manusia beriman, ujiannya pasti ada. Tidak kira siapa:

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن یُتۡرَكُوۤا۟ أَن یَقُولُوۤا۟ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا یُفۡتَنُونَ

Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: "Kami beriman" sedangkan mereka tidak diuji? (Surah al-Ankabut: 2)

Ujian antara kita tak sama. Berbeza.

Ada diuji dengan ketakutan peperangan seperti mukmin Palestin.

Ada diuji dengan kehilangan keluarga seperti mukmin Uighur.

Ada diuji dengan miskinnya harta seperti mukmin Afrika.

Dari sebesar-besar ujian yang menimpa mereka, sehinggalah sekecil-kecil ujian yang menyentuh kita.

Kita perlu terima, redha, kerana Tuhan berkata:

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَیۡءࣲ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَ ٰ⁠لِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَ ٰ⁠تِۗ

Dan benar-benar Kami akan menguji kalian dengan sesuatu daripada rasa takut, lapar, kekurangan harta benda, jiwa-jiwa dan buah-buahan (Surah al-Baqarah: 155)

Menempuhi kesemua ujian-ujian itu, pasti membuatkan hati tertanya-tanya:

"Mengapa kita diuji sebegini rupa?"

Dan firman Tuhan pula tidak terhenti di situ, Tuhan menyambung lagi:

وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِینَ

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah al-Baqarah: 155)

Nah. Inilah jawapan kepada setiap ujian yang diberi. Agar kita menyatakan kesabaran di hadapan Allah.

Kerana disebalik kesabaran itu, pasti dan pasti ada janji Tuhan yang akan menggembirakan hati.

Tuesday, November 19, 2019

TIGA DOSA KEBIASAAN MANUSIA


3 dosa yang menjadi kebiasaan manusia; bersangka buruk, mencari kesalahan orang lain dan mengumpat.

Orang yang beriman harus menjauhi ketiga-tiga perkara mungkar ini. Ini pesan Tuhan ﷻ:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱجۡتَنِبُوا۟ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمࣱۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا یَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَیُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن یَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِیهِ مَیۡتࣰا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابࣱ رَّحِیمࣱ

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kalian kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa, dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain, adakah salah seorang daripada kalian suka untuk makan daging saudaranya yang telah mati? Maka kalian (pasti) jijik kepadanya, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang. (Surah al-Hujurat: 12)

SANGKA BURUK itu sedia maklum maksudnya. Sebahagiannya dibenarkan, sebahagiannya dilarang. Namun awas! Jangan sampai kita terpalit dosa kerana bersangka buruk kepada orang yang baik di sisi Allah ﷻ. Atau ketika kita melihat satu manusia itu buruk akhlaknya, lalu kita bersangka buruk terhadap seluruh masa hidupnya bahawa dia itu adalah pendosa yang tidak mungkin berubah sampai bila-bila, sedangkan Allah ﷻ boleh sahaja mematikan dia saat dia telah bertaubat kepadaNya. Dan akhir kehidupan kita, belum tentu untung nasibnya. Maka jauhilah prasangka.

MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN telah menjadi darah daging sebahagian manusia sekian lamanya. Apabila ada sesuatu perkara buruk berlaku, cepat-cepat kita menuding jari kepada orang lain tanpa berfikir secara tenang dan rasional, kita juga mungkin ada salahnya. Ataupun kita berdendam dengan seseorang, lalu kita menunggu-nunggu saat kesilapannya. Sekali dia buat silap, habislah dia menjadi bahan mulut lancang kita. Demikian juga dalam rumahtangga, dalam berpolitik, dalam organisasi hatta golongan agamawan pun ramai yang terpalit akan hal ini. Maka hendaklah kita banyak renungilah kesalahan diri sendiri dan memperbaikinya hingga kita menjadi manusia yang baik di sisi Allah ﷻ dan berhentilah mencari-cari kesalahan orang lain.

MENGUMPAT ini ramai yang salah faham. Katanya: "Aku tak mengumpat, saja nak bercerita". "Aku kata benda betul, apa salahnya?" Mengumpat itu bercerita perihal seseorang yang jika dia tahu akan hal itu, dia akan membencinya, sekalipun ia berita benar. Jika berita palsu, itu fitnah namanya. Maka jauhilah mengumpat. Sekarang mengumpat tidak hanya meniti di bibir, tetapi lebih banyak meniti di jari jemari yang menulis di media sosial khususnya. 

Sekiranya ketiga-tiga dosa ini atau sebahagiannya telah menjadi kebiasaan kita, hendaklah kita beristighfar kepadaNya, mudah-mudahan Allah ﷻ mengampuni dan menyayangi kita kerana Dia ﷻ berfirman:

وَمَن یَعۡمَلۡ سُوۤءًا أَوۡ یَظۡلِمۡ نَفۡسَهُۥ ثُمَّ یَسۡتَغۡفِرِ ٱللَّهَ یَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورࣰا رَّحِیمࣰا
Dan sesiapa yang melakukan sesuatu perkara buruk atau dia menzalimi dirinya sendiri kemudian dia memohon keampunan Allah, maka dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (Surah al-Nisa': 110)

Akhir sekali, marilah kita bertaqwa kepada Allah ﷻ. Bertaqwa itu adalah mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Sungguh orang yang bertaqwa itu adalah orang yang benar-benar berjaya di sisi Allah ﷻ seperti yang tertera dalam Surah al-Baqarah ayat 2-5.

Wallahu a'lam.

Friday, November 8, 2019

MENSYUKURI NIKMAT MATA


Ketahuilah! Allah ﷻ menjadikan mata itu bagimu atas beberapa faedah. Antaranya:

1) Faedah yang paling besar dan yang paling dinanti-nanti oleh matamu itu adalah untuk melihat Allah ﷻ di akhirat:

وُجُوهࣱ یَوۡمَىِٕذࣲ نَّاضِرَةٌ ۝  إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةࣱ

Pada hari itu, wajah-wajah berseri-seri ۝  Melihat kepada Tuhannya. (Surah al-Qiyamah: 22-23)

2) Dengannya kamu beroleh ilmu pengetahuan:

وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَیۡـࣰٔا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

Dan Allah telah mengeluarkan kalian daripada perut-perut ibu-ibu kalian, kalian tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia menjadikan bagi kalian pendengaran, penglihatan-penglihatan dan hati-hati supaya kalian bersyukur. (Surah al-Nahl: 78)

3) Melihat perkara yang memberi manfaat kepada keimananmu. Antaranya:

  • Melihat asal penciptaan dirimu agar kamu menyedari kekerdilan diri lalu kamu tidak sanggup membantahi Allah ﷻ:

أَوَلَمۡ یَرَ ٱلۡإِنسَـٰنُ أَنَّا خَلَقۡنَـٰهُ مِن نُّطۡفَةࣲ فَإِذَا هُوَ خَصِیمࣱ مُّبِینࣱ

Dan tidakkah manusia itu melihat bahawa Kami telah menciptakannya daripada setitis air mani? Maka tiba-tiba dia menjadi pembantah yang nyata. (Surah Ya-Sin: 77)

  • Melihat akibat buruk yang menimpa umat terdahulu kerana mendustakan para Rasul lalu kamu meyakini kebenaran risalah yang dibawa oleh para Rasul:

قُلۡ سِیرُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ ثُمَّ ٱنظُرُوا۟ كَیۡفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِینَ

Katakanlah: "Berjalanlah kalian di bumi ini kemudian lihatlah kalian bagaimana akibat buruk orang-orang yang mendustakan. (Surah al-An'am: 11)

  • Melihat dan meneliti alam semesta yang sempurna ini serta aturannya sehingga akalmu akur bahawa semua ini mesti ada yang menciptakannya iaitulah Allah ﷻ:

وَلَقَدۡ جَعَلۡنَا فِی ٱلسَّمَاۤءِ بُرُوجࣰا وَزَیَّنَّـٰهَا لِلنَّـٰظِرِینَ

Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan gugusan bintang-bintang di langit dan kami telah hiasinya bagi orang-orang yang melihat. (Surah al-Hijr: 16)

یُقَلِّبُ ٱللَّهُ ٱلَّیۡلَ وَٱلنَّهَارَۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَعِبۡرَةࣰ لِّأُو۟لِی ٱلۡأَبۡصَـٰرِ

Allah menjadikan malam dan siang silih berganti, sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar sebagai pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan-penglihatan. (Surah al-Nur: 44)

إِنَّ فِی خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّیۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Sesungguhnya pada ciptaan langit-langit dan bumi serta silih ganti malam dan siang itu benar-benar sebagai tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Surah Ali 'Imran: 190)


  • Melihat bagaimana Allah ﷻ menghidupkan bumi yang telah mati lalu kamu yakin bahawa Dia juga mampu menghidupkan semula orang yang telah mati di hari akhirat kelak:

فَٱنظُرۡ إِلَىٰۤ ءَاثَـٰرِ رَحۡمَتِ ٱللَّهِ كَیۡفَ یُحۡیِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَاۤۚ إِنَّ ذَ ٰ⁠لِكَ لَمُحۡیِ ٱلۡمَوۡتَىٰۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣱ

Maka lihatlah kamu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Dia menghidupkan bumi setelah ianya mati, sesungguhnya demikian itu pastilah dia menghidupkan orang yang mati, sedang Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Rum: 50)

  • Melihat sebahagian manusia diberikan oleh Allah ﷻ kelebihan di dunia dan sebahagian mereka di akhirat, lalu kamu tidak iri dengan kelebihan di dunia ini dan mengejar kelebihan di akhirat:

ٱنظُرۡ كَیۡفَ فَضَّلۡنَا بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضࣲۚ وَلَلۡـَٔاخِرَةُ أَكۡبَرُ دَرَجَـٰتࣲ وَأَكۡبَرُ تَفۡضِیلࣰا

Lihatlah kamu bagaimana Kami melebihkan sebahagian kamu ke atas sebahagian yang lain, dan pastinya akhirat itu lebih besar darjatnya dan lebih besar kelebihannya. (Surah al-Isra': 21)

4) Agar matamu menangis apabila dibacakan ayat-ayat Allah ﷻ, kerana itulah sifat orang-orang yang diberi petunjuk:

أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِیِّـۧنَ مِن ذُرِّیَّةِ ءَادَمَ وَمِمَّنۡ حَمَلۡنَا مَعَ نُوحࣲ وَمِن ذُرِّیَّةِ إِبۡرَ ٰ⁠هِیمَ وَإِسۡرَ ٰ⁠ۤءِیلَ وَمِمَّنۡ هَدَیۡنَا وَٱجۡتَبَیۡنَاۤۚ إِذَا تُتۡلَىٰ عَلَیۡهِمۡ ءَایَـٰتُ ٱلرَّحۡمَـٰنِ خَرُّوا۟ سُجَّدࣰا وَبُكِیࣰّا

Mereka itulah orang-orang yang Allah telah berikan nikmat ke atas mereka dari kalangan para nabi dari zuriat Adam dan dari kalangan orang yang kami bawa bersama-sama Nuh, dan dari zuriat Ibrahim dan Israil, dan dari kalangan orang yang Kami telah berikan hidayah  dan telah Kami pilih, apabila dibacakan kepada mereka akan ayat-ayat Yang Maha Pemurah, mereka menyungkur dalam keadaan sujud dan menangis. (Surah Maryam: 58)

5) Dengannya kamu bersenang hati dapat melihat perkara-perkara yang baik daripada isteri dan zuriat-zuriatmu:

وَٱلَّذِینَ یَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

Dan orang-orang yang berkata: "Wahai Tuhan kami, kurniakanlah bagi kami penyejuk mata daripada isteri-isteri kami dan zuriat-zuriat kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa". (Surah al-Furqan: 74)

6) Dengannya kamu dapat mengetahui waktu-waktu yang disyariatkan dengannya ibadah yang tertentu seperti waktu solat dan puasa Ramadhan:

فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡیَصُمۡهُۖ

Maka sesiapa di antara kamu yang menyaksikan bulan itu (Ramadhan) maka hendaklah dia berpuasa padanya. (Surah al-Baqarah: 185)

7) Mempermudahkanmu untuk melihat kalimah-kalimah Tuhanmu di dalam al-Quran dan membaca perkara yang memberi manfaat kepadamu.

8) Mengubat rasa rindumu apabila dapat melihat wajah insan-insan yang kamu cintai.

9) Menyelamatkanmu dari tertimpa sesuatu yang berbahaya seperti berlanggaran, terjatuh dan terhantuk.

10) Sebagai perhiasan kepada kecantikan rupa parasmu.

Apa yang terhitung di atas itu hanyalah sekelumit daripada faedah-faedah mata yang dikurniakan Allah ﷻ.

Adapun keseluruhan faedah mata ini amatlah banyak, tidak terhitung dengan tinta-tinta pena yang menulis, sehingga apabila seseorang itu kehilangan nikmat matanya disebabkan buta, maka segala harta-hartanya akan sanggup dijualnya demi mendapatkan kembali penglihatannya yang telah hilang itu.

Fikirkanlah, bagaimana keadaanmu jika Allah ﷻ mengambil mata itu?

Tanpa mata, kamu tidak dapat melihat insan yang kamu sayang.

Tanpa mata, kamu tidak dapat melihat indahnya alam melainkan hanyalah dunia yang kelam.

Tanpa mata, kamu tidak dapat melihat susunan ayat-ayat Tuhan dalam al-Quran.

Tanpa mata, kamu terpaksa dipapah dan meraba-raba untuk berjalan.

Tanpa mata, kamu boleh terjerumus ke tempat yang merbahaya.

Tanpa mata, kamu boleh terpijak najis kotoran di mana-mana.

Tanpa mata, sukar untuk mengira dan membaca.

Tanpa mata, sebahagian besar nikmat kehidupan hidupmu akan hilang.

Adakah kamu sanggup menghadapi kesemua hal-hal itu dengan hati yang redha kepada ketetapan Tuhanmu?

Oleh yang demikian, ketahuilah wahai hamba Allah! Kamu wajib mensyukuri nikmat matamu itu:

قُلۡ هُوَ ٱلَّذِیۤ أَنشَأَكُمۡ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَۚ قَلِیلࣰا مَّا تَشۡكُرُونَ

Katakanlah: "Dialah yang menciptakan kalian dan menjadikan bagi kalian pendengaran, penglihatan-penglihatan dan hati-hati, sedikit sekali apa yang kalian syukuri". (Surah al-Mulk: 23)

Dalam mensyukuri nikmat mata itu, hendaklah kamu melakukan beberapa perkara:

1) Menghasilkan amal-amal soleh dengannya seperti melihat apa yang dipandukan oleh Tuhanmu, antaranya seperti yang telah diberitahu di atas.

2) Ingatlah bahawa yang paling dinanti-nantikan oleh matamu itu adalah untuk melihat Allah ﷻ. Maka peliharalah ia dengan bersungguh-sungguh daripada melihat perkara yang haram dilihat:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنِینَ یَغُضُّوا۟ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِمۡ وَیَحۡفَظُوا۟ فُرُوجَهُمۡۚ ذَ ٰ⁠لِكَ أَزۡكَىٰ لَهُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِیرُۢ بِمَا یَصۡنَعُونَ

Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman itu, hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangan-pandangan mereka dan memelihara kemaluan-kemaluan mereka, demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. (Surah al-Nur: 30)

وَقُل لِّلۡمُؤۡمِنَـٰتِ یَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَـٰرِهِنَّ وَیَحۡفَظۡنَ فُرُوجَهُنَّ

Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman, hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangan-pandangan mereka dan hendaklah mereka memelihara kemaluan-kemaluan mereka. (Surah al-Nur: 31)

Monday, November 4, 2019

10 GOLONGAN YANG DIMURKAI ALLAH ﷻ


1) Orang yang kufur dengan ayat-ayat Allah ﷻ:

بِئۡسَمَا ٱشۡتَرَوۡا۟ بِهِۦۤ أَنفُسَهُمۡ أَن یَكۡفُرُوا۟ بِمَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ بَغۡیًا أَن یُنَزِّلَ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ عَلَىٰ مَن یَشَاۤءُ مِنۡ عِبَادِهِۦۖ فَبَاۤءُو بِغَضَبٍ عَلَىٰ غَضَبࣲۚ وَلِلۡكَـٰفِرِینَ عَذَابࣱ مُّهِینࣱ
Alangkah buruknya,  mereka membeli diri-diri mereka dengan mengingkari apa yang telah Allah turunkan disebabkan dengki bahawa Allah menurunkan kurniaNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dari kalangan hamba-hambaNya. Maka mereka mendapat kemurkaan di atas kemurkaan. Dan bagi orang-orang kafir itu azab yang menghinakan. (Surah al-Baqarah: 90)


2) Orang yang membunuh para Nabi 'alaihimussolatu wassalam:

وَإِذۡ قُلۡتُمۡ یَـٰمُوسَىٰ لَن نَّصۡبِرَ عَلَىٰ طَعَامࣲ وَ ٰ⁠حِدࣲ فَٱدۡعُ لَنَا رَبَّكَ یُخۡرِجۡ لَنَا مِمَّا تُنۢبِتُ ٱلۡأَرۡضُ مِنۢ بَقۡلِهَا وَقِثَّاۤىِٕهَا وَفُومِهَا وَعَدَسِهَا وَبَصَلِهَاۖ قَالَ أَتَسۡتَبۡدِلُونَ ٱلَّذِی هُوَ أَدۡنَىٰ بِٱلَّذِی هُوَ خَیۡرٌۚ ٱهۡبِطُوا۟ مِصۡرࣰا فَإِنَّ لَكُم مَّا سَأَلۡتُمۡۗ وَضُرِبَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَاۤءُو بِغَضَبࣲ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَ ٰ⁠لِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُوا۟ یَكۡفُرُونَ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِ وَیَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِیِّـۧنَ بِغَیۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَ ٰ⁠لِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ یَعۡتَدُونَ
Dan ketika kamu berkata; "Wahai Musa, kami tidak sabar dengan makanan yang satu macam (sahaja), maka mintalah kepada Tuhanmu bagi kami supaya dikeluarkan untuk kami apa-apa yang tumbuh di bumi daripada sayurnya, timun-timunnya, bawang putihnya, kacang adasnya dan bawang merahnya". (Nabi Musa) berkata: "Adakah kalian ingin meminta sesuatu yang kurang baik sebagai ganti sesuatu yang lebih baik? Pergilah kalian ke kota maka sesungguhnya bagi kalian apa yang kalian minta". Dan ditimpa ke atas mereka itu kehinaan dan kenistaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Demikian itu disebabkan mereka mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka membunuh para Nabi tanpa (sebab) yang benar. Demikian itu disebabkan apa yang mereka telah berbuat derhaka dan mereka itu melampaui batas. (Surah al-Baqarah: 61)

ضُرِبَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَیۡنَ مَا ثُقِفُوۤا۟ إِلَّا بِحَبۡلࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبۡلࣲ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَاۤءُو بِغَضَبࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلۡمَسۡكَنَةُۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُوا۟ یَكۡفُرُونَ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِ وَیَقۡتُلُونَ ٱلۡأَنۢبِیَاۤءَ بِغَیۡرِ حَقࣲّۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ یَعۡتَدُونَ
Ditimpa ke atas mereka itu kehinaan di mana sahaja mereka dijumpai kecuali dengan tali daripada Allah dan tali daripada manusia, dan mereka mendapat kemurkaan daripada Allah dan ditimpa ke atas mereka kenistaan. Demikian itu disebabkan mereka mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka membunuh para Nabi tanpa (sebab) yang benar. Demikian itu disebabkan apa yang telah mereka berbuat derhaka dan mereka itu melampaui batas. (Surah Ali 'Imran: 112)

3) Orang yang menyembah sembahan nenek moyang selain Allah ﷻ setelah datang kebenaran:

قَالُوۤا۟ أَجِئۡتَنَا لِنَعۡبُدَ ٱللَّهَ وَحۡدَهُۥ وَنَذَرَ مَا كَانَ یَعۡبُدُ ءَابَاۤؤُنَا فَأۡتِنَا بِمَا تَعِدُنَاۤ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِینَ ۝  قَالَ قَدۡ وَقَعَ عَلَیۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ رِجۡسࣱ وَغَضَبٌۖ أَتُجَـٰدِلُونَنِی فِیۤ أَسۡمَاۤءࣲ سَمَّیۡتُمُوهَاۤ أَنتُمۡ وَءَابَاۤؤُكُم مَّا نَزَّلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلۡطَـٰنࣲۚ فَٱنتَظِرُوۤا۟ إِنِّی مَعَكُم مِّنَ ٱلۡمُنتَظِرِینَ
Mereka berkata: "Adakah engkau datang kepada kami supaya kami menyembah Allah satu-satunya dan meninggalkan apa yang nenek moyang kami sembah? Maka datangkanlah kepada kami apa yang kamu ancamkan terhadap kami jika kamu daripada golongan yang benar"[70] (Nabi Hud) berkata: "Telah tertimpa ke atas kalian azab dan kemurkaan daripada Tuhan kalian, adakah kalian mahu berdebat denganku mengenai nama-nama yang kalian serta nenek moyang kalian sendiri yang menamakannya (sedang) Allah tidak menurunkan apa-apa bukti dengannya? Maka tunggulah kalian, sesungguhnnya aku juga termasuk orang-orang yang menunggu bersama-sama kalian"[71] (Surah al-A'raf: 70-71)


4) Orang yang melarikan diri dari medan perang:


وَمَن یُوَلِّهِمۡ یَوۡمَىِٕذࣲ دُبُرَهُۥۤ إِلَّا مُتَحَرِّفࣰا لِّقِتَالٍ أَوۡ مُتَحَیِّزًا إِلَىٰ فِئَةࣲ فَقَدۡ بَاۤءَ بِغَضَبࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأۡوَىٰهُ جَهَنَّمُۖ وَبِئۡسَ ٱلۡمَصِیرُ
Dan sesiapa yang berpaling undur  daripada mereka pada hari itu, kecuali berbelok untuk berperang atau bergabung dengan satu pasukan, maka dia telah mendapat kemurkaan daripada Allah dan tempatnya adalah jahannam dan ianya seburuk-buruk tempat kembali. (Surah al-Anfal: 16)


5) Orang munafik dan musyrikin yang bersangka buruk dengan Allah ﷻ:

وَیُعَذِّبَ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ وَٱلۡمُنَـٰفِقَـٰتِ وَٱلۡمُشۡرِكِینَ وَٱلۡمُشۡرِكَـٰتِ ٱلظَّاۤنِّینَ بِٱللَّهِ ظَنَّ ٱلسَّوۡءِۚ عَلَیۡهِمۡ دَاۤىِٕرَةُ ٱلسَّوۡءِۖ وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِمۡ وَلَعَنَهُمۡ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَهَنَّمَۖ وَسَاۤءَتۡ مَصِیرࣰا
Dan (supaya) Dia mengazab orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang musyrikin lelaki dan perempuan yang mereka itu bersangka kepada Allah dengan sangkaan yang buruk, ke atas mereka cakupan keburukan, dan Allah murka ke atas mereka dan melaknat mereka dan menyediakan bagi mereka itu jahannam, dan ianya seburuk-buruk tempat kembali. (Surah al-Fath: 6)


6) Orang yang murtad dengan kerelaan hati:


مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِیمَـٰنِهِۦۤ إِلَّا مَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَىِٕنُّۢ بِٱلۡإِیمَـٰنِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلۡكُفۡرِ صَدۡرࣰا فَعَلَیۡهِمۡ غَضَبࣱ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِیمࣱ

Sesiapa yang kufur kepada Allah setelah dia beriman, kecuali sesiapa yang dipaksa sedang hatinya tenang dengan keimanan, akan tetapi sesiapa yang lapang dadanya dengan kekufuran, maka ke atas mereka itu kemurkaan daripada Allah dan bagi mereka azab yang besar. (Surah al-Nahl: 106)

7) Melampaui batas ke atas rezeki makanan yang diberikan Allah ﷻ:


كُلُوا۟ مِن طَیِّبَـٰتِ مَا رَزَقۡنَـٰكُمۡ وَلَا تَطۡغَوۡا۟ فِیهِ فَیَحِلَّ عَلَیۡكُمۡ غَضَبِیۖ وَمَن یَحۡلِلۡ عَلَیۡهِ غَضَبِی فَقَدۡ هَوَىٰ
Makanlah kalian daripada yang baik-baik apa-apa yang Kami telah rezekikan kepada kalian dan janganlah kalian melampaui batas padanya, maka kemurkaanKu akan menimpa kalian, dan sesiapa yang kemurkaanKu menimpa ke atasnya, maka sesungguhnya binasalah dia. (Surah Ta-Ha: 81)

8) Isteri yang berzina dan berbohong ketika li'an:



وَٱلۡخَـٰمِسَةَ أَنَّ غَضَبَ ٱللَّهِ عَلَیۡهَاۤ إِن كَانَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِینَ

Dan (sumpah) yang kelima (hendaklah si isteri berkata); Bahawa Allah murka ke atasnya (si isteri) sekiranya dia (si suami) dari kalangan orang-orang yang benar. (Surah al-Nur: 9)

9) Orang yang membunuh orang beriman dengan sengaja:

وَمَن یَقۡتُلۡ مُؤۡمِنࣰا مُّتَعَمِّدࣰا فَجَزَاۤؤُهُۥ جَهَنَّمُ خَـٰلِدࣰا فِیهَا وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِ وَلَعَنَهُۥ وَأَعَدَّ لَهُۥ عَذَابًا عَظِیمࣰا
Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahannam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar. (Surah al-Nisa': 93)

10) Orang yang berbantah-bantah mengenai Allah ﷻ setelah Agama Islam diterima:



وَٱلَّذِینَ یُحَاۤجُّونَ فِی ٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ مَا ٱسۡتُجِیبَ لَهُۥ حُجَّتُهُمۡ دَاحِضَةٌ عِندَ رَبِّهِمۡ وَعَلَیۡهِمۡ غَضَبࣱ وَلَهُمۡ عَذَابࣱ شَدِیدٌ

Dan orang-orang yang berbantah mengenai Allah setelah ia diterima, (maka) bantahan mereka itu sia-sia di sisi Tuhan mereka, dan ke atas mereka itu kemurkaan dan bagi mereka azab yang sangat berat. (Surah al-Syura: 16)

Monday, October 21, 2019

ADAKAH KITA BERSYUKUR?


Dalam kehidupan ini, kita selalu inginkan yang lebih banyak, yang lebih baik. Namun ada satu perkara yang mungkin kita selalu lupa, iaitu untuk bersyukur dengan segala apa yang telah ada.

  قَلِیلًا مَّا تَشۡكُرُونَ
Sedikit sekali apa yang kalian syukuri
(Surah Al-Mulk: 23)

Kerana ramai di antara kita tersalah sangka dengan erti kebahagiaan yang sebenar dalam hidup. 

Seringkali kita mengaitkan kebahagian itu dengan faktor harta dan kekayaan. Ya, walaupun ia boleh jadi penyumbang ke arah itu, tapi ia bukanlah segala-galanya.

Berapa ramai orang yang tinggal di dalam rumah mewah dan tidur di atas katil yang empuk, tapi tidurnya tidak lebih lena daripada orang yang tidur cuma di pondok-pondok buruk.

Berapa ramai orang yang terhidang di hadapannya segala makanan yang lazat, tapi rasa lidahnya tidak lebih enak berbanding orang yang cuma memakan sepotong dua roti dalam sehari.

Ini kerana kebahagiaan itu bukanlah tentang apa yang telah kita miliki, tetapi tentang apa yang telah kita syukuri.

Bukankah Allah telah menjamin rezeki untuk kita?

 وَمَا مِن دَاۤبَّةٍ فِی الْأَرۡضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزۡقُهَا 
Dan tidak ada suatupun dari makhluk yang melata di bumi kecuali ke atas Allahlah rezekinya
(Surah Hud: 6)

Syukur yang sebenar itu lahirnya dari dalam hati, diungkapkan dengan lisan dan dizahirkan dengan ketaatan.

Orang yang bersyukur, ketika kaya dia bahagia, ketika miskin pun dia bahagia.

Bukan kerana kaya atau miskin yang menjadikan dia bahagia, tetapi kerana si kaya percaya segala sesuatu bukan miliknya tetapi pinjaman dari Sang Pencipta, dan si miskin pula percaya yang dia ada Tuhan Yang Maha Kaya, lalu untuk apa perlu dirisaukannya?

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَاۤءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِیُّ ٱلۡحَمِیدُ
Wahai sekalian manusia, kamu semua fakir kepada Allah, sedangkan Allah, Dialah Yang Maha Kaya dan Maha Terpuji
(Surah Fatir: 15)

Orang yang bersyukur, sedikit atau banyak yang dia dapat, dia sentiasa berterima kasih kepada Tuhan Yang Maha Memberi.

Orang yang bersyukur, dia tidak merungut dengan apa yang belum dia miliki.

Orang yang bersyukur, apabila dia melihat orang lain mendapat lebih, hatinya tidak iri kerana dia tahu semuanya milik Allah, hak Dia memberi kepada siapa yang Dia kehendaki.

أَنَّ ٱللَّهَ یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ وَيَقْدِرُ
Bahawa Allahlah yang melapangkan dan menyempitkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki
(Surah Al-Zumar: 52)

Sebagai hamba kita akui, Allah tidak henti-henti berbuat baik kepada kita. Tidak pernah berhenti memberi nikmat kepada kita. Tidak henti-henti menyelesaikan masalah kita.

Kita juga akui, tidak ada yang sayang kita lebih daripada Allah. Tidak ada yang jaga kita lebih baik daripada Allah. Tidak ada yang sudi mendengar rintihan kita lebih daripada Allah.

Malangnya sampai hari ini, ketika kita meletakkan dahi bersujud kepada Allah, kita masih lalai dari mengingatiNya, kita masih lalai dari berterima kasih kepadaNya.

Wahai Allah, maafkanlah kami atas kelalaian ini. Wahai Allah, ampunilah kami atas kelemahan diri ini. Kami mengadu kepadaMu kurangnya kami dalam mensyukuri pemberian-pemberianMu. Wahai Allah, jadikanlah kami termasuk golongan hamba-hambaMu yang bersyukur kepadaMu dan tempatkanlah kami di kalangan mereka di Akhirat nanti. Aamiin.

Wassalam.

Sunday, October 20, 2019

SEMUA UMMATKU DIAMPUNKAN KECUALI AL-MUJAHIRIN


Pernah dengar mengenai golongan al-mujahirin?

Mungkin lebih ramai yang mengenal muhajirin berbanding mujahirin.

Ya, sebutannya hampir sama, tapi tidak pada makna.

Jika muhajirin dikenali sebagai golongan yang mulia, maka mujahirin pula adalah golongan yang sangat hina.

Siapa dia mujahirin itu?

Mereka adalah orang yang suka membuka aibnya sendiri setelah Allah Tuhan Yang Maha Penyayang menutupinya.

Orang sebegini tidak akan diampuni Allah ﷻ.

Nabi ﷺ bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ. وَإِنَّ مِنَ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ فَيَقُولُ: يَا فُلَانُ، عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

"Setiap ummatku diampuni, kecuali al-mujahirin. Dan sesungguhnya daripada al-mujaharah itu, seorang lelaki melakukan sesuatu perbuatan (keji) pada waktu malam, kemudian dia memasuki waktu pagi dan Allah telah pun menutupi (perbuatan keji)nya itu, kemudian dia berkata: 'Wahai fulan! Kelmarin aku telah melakukan begitu dan begini'. Dan (orang itu) ketika malam Tuhannya menutup (aib)nya, dan ketika pagi dia membuka apa yang telah Allah tutupinya.

(Sahih Al-Bukhari, 6069)

Manusia sememangnya tidak lari daripada kesilapan. Itu fitrah insani. Namun Islam mengajar ummatnya untuk menjaga maruah diri.

Usah dibongkar salah silap yang lalu apatah lagi berbangga dengannya. Sedangkan Allah ﷻ telahpun menutupi pekong di dada manusia, mengapa manusia perlu menzalimi dirinya sendiri?

Sedar tak sedar, boleh jadi kita juga pernah tergolong dalam golongan mujahirin ini. Maka hendaklah kita selalu bermuhasabah dan memohon keampunan Allah ﷻ serta berusaha untuk menjauhi sikap suka membuka aib sendiri kepada manusia lainnya.

Wednesday, October 2, 2019

RAHMATAN LIL 'ALAMIN DALAM DIRI RASULULLAH S.A.W


Rahmat merupakan suatu manifestasi sifat Tuhan Yang Maha Penyayang kepada hambaNya.

ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ

Maksudnya: (Allah) Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

(Surah al-Fatihah: 3)

Rahmat Allah Ta'ala diberikan dalam pelbagai bentuk. Sama ada ianya berupa nikmat-nikmat ataupun berupa ujian dan dugaan.


Adapun ujian yang diberikan itu, boleh jadi ianya adalah sebagai kafarah terhadap dosa, teguran atas salah silap manusia ataupun untuk meningkatkan darjat manusia di sisi Tuhan.


Rasulullah sebagai Rahmat

Konsep Rahmatan lil 'Alamin bukanlah sesuatu yang baharu dalam Islam. Bahkan ia adalah sebuah asas  dan tujuan pengutusan Rasulullah S.A.W sejak lebih 1400 tahun dahulu kepada seluruh alam. Hal ini boleh dilihat dalam firman Allah Ta'ala:


وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةࣰ لِّلۡعَـٰلَمِینَ

Maksudnya: Dan tidaklah Kami (Allah) mengutuskanmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.

(Surah al-Anbiya': 107)

Maka daripada ayat ini dapatlah difahami bahawa pada diri Rasulullah S.A.W itu rahmat, akhlaknya rahmat, sifatnya rahmat, tutur katanya rahmat, dakwahnya rahmat, nubuwwahnya rahmat, kerasulannya rahmat, kepimpinannya rahmat dan seluruh hidupnya adalah rahmat bagi sekalian alam.

Rahmat untuk Semua

Pengutusan Rasulullah S.A.W bukan hanya sebagai rahmat bagi orang yang beriman, bahkan juga merangkumi orang kafir seperti kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat Rahmatan lil 'Alamin:

'Maka adapun orang mukmin di antara mereka, maka Allah telah memberi hidayah kepadanya dengan sebabnya (Nabi S.A.W) dan memasukkannya ke dalam syurga dengan sebab iman kepadanya (Nabi S.A.W) dan beramal dengan apa yang datang dari sisi Allah. Dan adapun orang yang kafir di antara mereka, maka sesungguhnya Dia (Allah) telah menghindarinya daripada bala yang segera yang telah diturunkan kepada umat-umat yang mendustakan rasul-rasulNya sebelumnya (yakni umat sebelum Nabi S.A.W) dengan sebabnya (Nabi S.A.W)'.[1]

Kegelapan kepada Cahaya

Manusia tanpa bimbingan wahyu yang benar akan terjerumus ke dalam lembah kegelapan dan kejahilan.

Mereka menyembah sesuatu yang langsung tidak dapat mendatangkan manfaat dan mudarat. Bahkan yang dianggap tuhan itu adalah apa yang mereka ciptakan sendiri.

Begitulah yang menimpa masyarakat Arab Jahiliyyah apabila mereka mencipta dan meletakkan batu-batu berhala di sekeliling Kaabah untuk disembah dan disekutukan dengan Allah yang Maha Esa.

Maka manusia memerlukan rahmat. Rahmat yang akan mengeluarkan mereka daripada kedangkalan akal dalam memahami siapa tuhan yang sebenar.

Oleh sebab itu, Nabi Muhammad S.A.W diutuskan untuk memimpin mereka keluar daripada kegelapan kufur kepada cahaya iman, daripada sujud kepada makhluk kepada sujud kepada Khaliq.

Demikian itu seperti firman Allah Ta'ala:

 الۤرۚ كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَیۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَ ٰ⁠طِ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡحَمِیدِ

Maksudnya: Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan (Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Terpuji.

(Surah Ibrahim: 1)

Inilah mesej terpenting kedatangan Rasulullah 
S.A.W.


Rahmat bukan Laknat

Nabi S.A.W rahmat kepada insan. Sekalipun insan itu adalah pendosa ataupun seorang kafir.

Suatu hari seseorang meminta Rasulullah S.A.W mendoakan ke atas orang-orang musyrik, maka Baginda bersabda:

إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً

Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak dibangkitkan sebagai pelaknat, dan sesungguhnya hanyalah aku dibangkitkan sebagai rahmat.[2]

Satu lagi peristiwa ketika seorang wanita dijatuhi hukuman atas kesalahannya berzina, lalu Khalid bin al-Walid mencercanya. Rasulullah S.A.W kemudian menegurnya:


مَهْلًا يَا خَالِدُ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً، لَوْ تَابَهَا صَاحِبُ مَكْسٍ لَغُفِرَ لَهُ

Maksudnya: Tenanglah wahai Khalid, maka demi (Tuhan) yang jiwaku di tanganNya, dia benar-benar telah bertaubat dengan satu taubat (yang) jika pemungut pajak bertaubat dengannya (maka) benar-benar akan diampuni baginya.[3]

Lihatlah nilai rahmat dalam lisan dan tutur kata Baginda S.A.W. Walaupun sedang berhadapan dengan muysrikin ataupun sedang menjalankan hukum Tuhan, Baginda tidak sesekali mencela dan melaknat manusia tersebut.

Kerana cerca dan laknat itu hanya akan menjauhkan mereka dari Allah 
Ta'ala dan membuatkan manusia jauh dari Agama.


Sedangkan rahmat itu mendekatkan mereka kepadaNya, dan membuatkan hati-hati manusia tertarik kepada Agama.


Sikap rahmat sebeginilah yang perlu meniti atas lisan setiap insan. Sentiasa berkata yang baik-baik, tidak memburukkan sesiapa hatta musuh sekalipun, apalagi memfitnah dan melaknat mereka.

Sabar dan Optimis Menghadapi Ujian

Menjadi seorang Rasul bukan suatu tugas mudah.


Jika untuk mendidik seorang anak pon memerlukan kesabaran dan fikiran yang sentiasa positif, maka untuk mendidik umat manusia keseluruhannya, pasti menuntut kesabaran dan sikap optimis yang paling memuncak. 


Sifat sabar dan optimis adalah satu bentuk rahmat. Tanpanya usaha dakwah akan menemui jalan buntu lantas manusia akan terus menerus dalam kesesatan.


Masih ingatkah kita tentang hari yang paling berat bagi Nabi Muhammad S.A.W?


Itulah hari 'Aqabah. Hari di mana Baginda dicerca dan disakiti oleh penduduk Thaif ketika Baginda menjalankan dakwah.


Sehingga Allah 
Ta'ala mengutuskan Malaikat Gunung kepada Baginda lalu dia berkata, maksudnya:



'Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata kaummu kepadamu, dan aku adalah Malaikat Gunung, dan Tuhanmu telah mengutuskan aku kepadamu agar engkau perintahkan aku dengan (apa sahaja) perintahmu, maka apa yang engkau inginkan? Sekiranya engkau mahu, aku timpakan ke atas mereka dua (gunung) Akhsyab itu'

Maka jawab Baginda S.A.W:



بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلَابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ، لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيئًا

Maksudnya: Tidak, (tetapi) aku berharap agar Allah mengeluarkan daripada anak keturunan mereka orang yang menyembah Allah satu-satuNya, tidak menyekutukan sesuatu pun denganNya.[4]

Boleh sahaja Baginda 
S.A.W mengarahkan itu dan ini, tetapi atas rahmatnya, Baginda S.A.W memilih untuk melepaskan mereka dengan harapan agar generasi mendatang akan menerima seruan tauhidnya. Begitulah sifat sabar dan optimis Baginda S.A.W dalam menghadapi ujian.


Demikianlah dalam fasa-fasa kehidupan kita. Hendak atau tidak, kita pasti akan melalui ujian dan dugaan. Pilihlah jalan sabar seperti Nabi S.A.W dan optimislah dalam mendepani setiap mihnah kehidupan.


Kesimpulan


Hakikatnya banyak lagi ciri-ciri dan kisah rahmatnya Rasulullah S.A.W kepada seluruh alam. Tidak mampu dirangkum dalam penulisan yang singkat ini. 


Adapun sifat Rahmatan lil 'Alamin dalam diri Rasulullah S.A.W itu semestinya wajar dijadikan role model terunggul bagi kita semua. Baik dari peringkat individu, institusi keluarga, masyarakat sehinggalah kepada kepimpinan negara.