Monday, October 21, 2019

ADAKAH KITA BERSYUKUR?


Dalam kehidupan ini, kita selalu inginkan yang lebih banyak, yang lebih baik. Namun ada satu perkara yang mungkin kita selalu lupa, iaitu untuk bersyukur dengan segala apa yang telah ada.

  قَلِیلًا مَّا تَشۡكُرُونَ
Sedikit sekali apa yang kalian syukuri
(Surah Al-Mulk: 23)

Kerana ramai di antara kita tersalah sangka dengan erti kebahagiaan yang sebenar dalam hidup. 

Seringkali kita mengaitkan kebahagian itu dengan faktor harta dan kekayaan. Ya, walaupun ia boleh jadi penyumbang ke arah itu, tapi ia bukanlah segala-galanya.

Berapa ramai orang yang tinggal di dalam rumah mewah dan tidur di atas katil yang empuk, tapi tidurnya tidak lebih lena daripada orang yang tidur cuma di pondok-pondok buruk.

Berapa ramai orang yang terhidang di hadapannya segala makanan yang lazat, tapi rasa lidahnya tidak lebih enak berbanding orang yang cuma memakan sepotong dua roti dalam sehari.

Ini kerana kebahagiaan itu bukanlah tentang apa yang telah kita miliki, tetapi tentang apa yang telah kita syukuri.

Bukankah Allah telah menjamin rezeki untuk kita?

 وَمَا مِن دَاۤبَّةٍ فِی الْأَرۡضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزۡقُهَا 
Dan tidak ada suatupun dari makhluk yang melata di bumi kecuali ke atas Allahlah rezekinya
(Surah Hud: 6)

Syukur yang sebenar itu lahirnya dari dalam hati, diungkapkan dengan lisan dan dizahirkan dengan ketaatan.

Orang yang bersyukur, ketika kaya dia bahagia, ketika miskin pun dia bahagia.

Bukan kerana kaya atau miskin yang menjadikan dia bahagia, tetapi kerana si kaya percaya segala sesuatu bukan miliknya tetapi pinjaman dari Sang Pencipta, dan si miskin pula percaya yang dia ada Tuhan Yang Maha Kaya, lalu untuk apa perlu dirisaukannya?

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَاۤءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِیُّ ٱلۡحَمِیدُ
Wahai sekalian manusia, kamu semua fakir kepada Allah, sedangkan Allah, Dialah Yang Maha Kaya dan Maha Terpuji
(Surah Fatir: 15)

Orang yang bersyukur, sedikit atau banyak yang dia dapat, dia sentiasa berterima kasih kepada Tuhan Yang Maha Memberi.

Orang yang bersyukur, dia tidak merungut dengan apa yang belum dia miliki.

Orang yang bersyukur, apabila dia melihat orang lain mendapat lebih, hatinya tidak iri kerana dia tahu semuanya milik Allah, hak Dia memberi kepada siapa yang Dia kehendaki.

أَنَّ ٱللَّهَ یَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن یَشَاۤءُ وَيَقْدِرُ
Bahawa Allahlah yang melapangkan dan menyempitkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki
(Surah Al-Zumar: 52)

Sebagai hamba kita akui, Allah tidak henti-henti berbuat baik kepada kita. Tidak pernah berhenti memberi nikmat kepada kita. Tidak henti-henti menyelesaikan masalah kita.

Kita juga akui, tidak ada yang sayang kita lebih daripada Allah. Tidak ada yang jaga kita lebih baik daripada Allah. Tidak ada yang sudi mendengar rintihan kita lebih daripada Allah.

Malangnya sampai hari ini, ketika kita meletakkan dahi bersujud kepada Allah, kita masih lalai dari mengingatiNya, kita masih lalai dari berterima kasih kepadaNya.

Wahai Allah, maafkanlah kami atas kelalaian ini. Wahai Allah, ampunilah kami atas kelemahan diri ini. Kami mengadu kepadaMu kurangnya kami dalam mensyukuri pemberian-pemberianMu. Wahai Allah, jadikanlah kami termasuk golongan hamba-hambaMu yang bersyukur kepadaMu dan tempatkanlah kami di kalangan mereka di Akhirat nanti. Aamiin.

Wassalam.

Sunday, October 20, 2019

SEMUA UMMATKU DIAMPUNKAN KECUALI AL-MUJAHIRIN


Pernah dengar mengenai golongan al-mujahirin?

Mungkin lebih ramai yang mengenal muhajirin berbanding mujahirin.

Ya, sebutannya hampir sama, tapi tidak pada makna.

Jika muhajirin dikenali sebagai golongan yang mulia, maka mujahirin pula adalah golongan yang sangat hina.

Siapa dia mujahirin itu?

Mereka adalah orang yang suka membuka aibnya sendiri setelah Allah Tuhan Yang Maha Penyayang menutupinya.

Orang sebegini tidak akan diampuni Allah ﷻ.

Nabi ﷺ bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ. وَإِنَّ مِنَ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ فَيَقُولُ: يَا فُلَانُ، عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

"Setiap ummatku diampuni, kecuali al-mujahirin. Dan sesungguhnya daripada al-mujaharah itu, seorang lelaki melakukan sesuatu perbuatan (keji) pada waktu malam, kemudian dia memasuki waktu pagi dan Allah telah pun menutupi (perbuatan keji)nya itu, kemudian dia berkata: 'Wahai fulan! Kelmarin aku telah melakukan begitu dan begini'. Dan (orang itu) ketika malam Tuhannya menutup (aib)nya, dan ketika pagi dia membuka apa yang telah Allah tutupinya.

(Sahih Al-Bukhari, 6069)

Manusia sememangnya tidak lari daripada kesilapan. Itu fitrah insani. Namun Islam mengajar ummatnya untuk menjaga maruah diri.

Usah dibongkar salah silap yang lalu apatah lagi berbangga dengannya. Sedangkan Allah ﷻ telahpun menutupi pekong di dada manusia, mengapa manusia perlu menzalimi dirinya sendiri?

Sedar tak sedar, boleh jadi kita juga pernah tergolong dalam golongan mujahirin ini. Maka hendaklah kita selalu bermuhasabah dan memohon keampunan Allah ﷻ serta berusaha untuk menjauhi sikap suka membuka aib sendiri kepada manusia lainnya.

Wednesday, October 2, 2019

RAHMATAN LIL 'ALAMIN DALAM DIRI RASULULLAH S.A.W


Rahmat merupakan suatu manifestasi sifat Tuhan Yang Maha Penyayang kepada hambaNya.

ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ

Maksudnya: (Allah) Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

(Surah al-Fatihah: 3)

Rahmat Allah Ta'ala diberikan dalam pelbagai bentuk. Sama ada ianya berupa nikmat-nikmat ataupun berupa ujian dan dugaan.


Adapun ujian yang diberikan itu, boleh jadi ianya adalah sebagai kafarah terhadap dosa, teguran atas salah silap manusia ataupun untuk meningkatkan darjat manusia di sisi Tuhan.


Rasulullah sebagai Rahmat

Konsep Rahmatan lil 'Alamin bukanlah sesuatu yang baharu dalam Islam. Bahkan ia adalah sebuah asas  dan tujuan pengutusan Rasulullah S.A.W sejak lebih 1400 tahun dahulu kepada seluruh alam. Hal ini boleh dilihat dalam firman Allah Ta'ala:


وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةࣰ لِّلۡعَـٰلَمِینَ

Maksudnya: Dan tidaklah Kami (Allah) mengutuskanmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.

(Surah al-Anbiya': 107)

Maka daripada ayat ini dapatlah difahami bahawa pada diri Rasulullah S.A.W itu rahmat, akhlaknya rahmat, sifatnya rahmat, tutur katanya rahmat, dakwahnya rahmat, nubuwwahnya rahmat, kerasulannya rahmat, kepimpinannya rahmat dan seluruh hidupnya adalah rahmat bagi sekalian alam.

Rahmat untuk Semua

Pengutusan Rasulullah S.A.W bukan hanya sebagai rahmat bagi orang yang beriman, bahkan juga merangkumi orang kafir seperti kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat Rahmatan lil 'Alamin:

'Maka adapun orang mukmin di antara mereka, maka Allah telah memberi hidayah kepadanya dengan sebabnya (Nabi S.A.W) dan memasukkannya ke dalam syurga dengan sebab iman kepadanya (Nabi S.A.W) dan beramal dengan apa yang datang dari sisi Allah. Dan adapun orang yang kafir di antara mereka, maka sesungguhnya Dia (Allah) telah menghindarinya daripada bala yang segera yang telah diturunkan kepada umat-umat yang mendustakan rasul-rasulNya sebelumnya (yakni umat sebelum Nabi S.A.W) dengan sebabnya (Nabi S.A.W)'.[1]

Kegelapan kepada Cahaya

Manusia tanpa bimbingan wahyu yang benar akan terjerumus ke dalam lembah kegelapan dan kejahilan.

Mereka menyembah sesuatu yang langsung tidak dapat mendatangkan manfaat dan mudarat. Bahkan yang dianggap tuhan itu adalah apa yang mereka ciptakan sendiri.

Begitulah yang menimpa masyarakat Arab Jahiliyyah apabila mereka mencipta dan meletakkan batu-batu berhala di sekeliling Kaabah untuk disembah dan disekutukan dengan Allah yang Maha Esa.

Maka manusia memerlukan rahmat. Rahmat yang akan mengeluarkan mereka daripada kedangkalan akal dalam memahami siapa tuhan yang sebenar.

Oleh sebab itu, Nabi Muhammad S.A.W diutuskan untuk memimpin mereka keluar daripada kegelapan kufur kepada cahaya iman, daripada sujud kepada makhluk kepada sujud kepada Khaliq.

Demikian itu seperti firman Allah Ta'ala:

 الۤرۚ كِتَـٰبٌ أَنزَلۡنَـٰهُ إِلَیۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَ ٰ⁠طِ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡحَمِیدِ

Maksudnya: Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (keimanan) dengan izin Tuhan mereka ke jalan (Allah) Yang Maha Perkasa, Maha Terpuji.

(Surah Ibrahim: 1)

Inilah mesej terpenting kedatangan Rasulullah 
S.A.W.


Rahmat bukan Laknat

Nabi S.A.W rahmat kepada insan. Sekalipun insan itu adalah pendosa ataupun seorang kafir.

Suatu hari seseorang meminta Rasulullah S.A.W mendoakan ke atas orang-orang musyrik, maka Baginda bersabda:

إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً

Maksudnya: Sesungguhnya aku tidak dibangkitkan sebagai pelaknat, dan sesungguhnya hanyalah aku dibangkitkan sebagai rahmat.[2]

Satu lagi peristiwa ketika seorang wanita dijatuhi hukuman atas kesalahannya berzina, lalu Khalid bin al-Walid mencercanya. Rasulullah S.A.W kemudian menegurnya:


مَهْلًا يَا خَالِدُ، فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً، لَوْ تَابَهَا صَاحِبُ مَكْسٍ لَغُفِرَ لَهُ

Maksudnya: Tenanglah wahai Khalid, maka demi (Tuhan) yang jiwaku di tanganNya, dia benar-benar telah bertaubat dengan satu taubat (yang) jika pemungut pajak bertaubat dengannya (maka) benar-benar akan diampuni baginya.[3]

Lihatlah nilai rahmat dalam lisan dan tutur kata Baginda S.A.W. Walaupun sedang berhadapan dengan muysrikin ataupun sedang menjalankan hukum Tuhan, Baginda tidak sesekali mencela dan melaknat manusia tersebut.

Kerana cerca dan laknat itu hanya akan menjauhkan mereka dari Allah 
Ta'ala dan membuatkan manusia jauh dari Agama.


Sedangkan rahmat itu mendekatkan mereka kepadaNya, dan membuatkan hati-hati manusia tertarik kepada Agama.


Sikap rahmat sebeginilah yang perlu meniti atas lisan setiap insan. Sentiasa berkata yang baik-baik, tidak memburukkan sesiapa hatta musuh sekalipun, apalagi memfitnah dan melaknat mereka.

Sabar dan Optimis Menghadapi Ujian

Menjadi seorang Rasul bukan suatu tugas mudah.


Jika untuk mendidik seorang anak pon memerlukan kesabaran dan fikiran yang sentiasa positif, maka untuk mendidik umat manusia keseluruhannya, pasti menuntut kesabaran dan sikap optimis yang paling memuncak. 


Sifat sabar dan optimis adalah satu bentuk rahmat. Tanpanya usaha dakwah akan menemui jalan buntu lantas manusia akan terus menerus dalam kesesatan.


Masih ingatkah kita tentang hari yang paling berat bagi Nabi Muhammad S.A.W?


Itulah hari 'Aqabah. Hari di mana Baginda dicerca dan disakiti oleh penduduk Thaif ketika Baginda menjalankan dakwah.


Sehingga Allah 
Ta'ala mengutuskan Malaikat Gunung kepada Baginda lalu dia berkata, maksudnya:



'Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata kaummu kepadamu, dan aku adalah Malaikat Gunung, dan Tuhanmu telah mengutuskan aku kepadamu agar engkau perintahkan aku dengan (apa sahaja) perintahmu, maka apa yang engkau inginkan? Sekiranya engkau mahu, aku timpakan ke atas mereka dua (gunung) Akhsyab itu'

Maka jawab Baginda S.A.W:



بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلَابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ، لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيئًا

Maksudnya: Tidak, (tetapi) aku berharap agar Allah mengeluarkan daripada anak keturunan mereka orang yang menyembah Allah satu-satuNya, tidak menyekutukan sesuatu pun denganNya.[4]

Boleh sahaja Baginda 
S.A.W mengarahkan itu dan ini, tetapi atas rahmatnya, Baginda S.A.W memilih untuk melepaskan mereka dengan harapan agar generasi mendatang akan menerima seruan tauhidnya. Begitulah sifat sabar dan optimis Baginda S.A.W dalam menghadapi ujian.


Demikianlah dalam fasa-fasa kehidupan kita. Hendak atau tidak, kita pasti akan melalui ujian dan dugaan. Pilihlah jalan sabar seperti Nabi S.A.W dan optimislah dalam mendepani setiap mihnah kehidupan.


Kesimpulan


Hakikatnya banyak lagi ciri-ciri dan kisah rahmatnya Rasulullah S.A.W kepada seluruh alam. Tidak mampu dirangkum dalam penulisan yang singkat ini. 


Adapun sifat Rahmatan lil 'Alamin dalam diri Rasulullah S.A.W itu semestinya wajar dijadikan role model terunggul bagi kita semua. Baik dari peringkat individu, institusi keluarga, masyarakat sehinggalah kepada kepimpinan negara.