Tuesday, September 10, 2019

WAJARKAH SOKONG KEMPEN BUY MUSLIM-MADE FIRST?



Umat Islam di Malaysia sedang mengadakan kempen besar-besaran yang dinamakan Buy Muslim-made First Campaign (BMF) yang dilancarkan NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dan Koperasi al-Hilal Berhad (Kohilal).
Kempen ini menerima kritikan hebat daripada kepimpinan utama negara, ahli politik dan juga masyarakat awam.

Lalu timbul persoalan, wajarkah Kempen 'Buy Muslim-made First' ini disokong?

Untuk mendapatkan kepastian, mari kita pecahkan persoalan-persoalan pokok mengenai kempen ini agar pada akhirnya, satu kesimpulan holistik dapat dicapai.

1) Apakah tujuan sebenar BMF ini?

Sesuai dengan nama kempen ini, BMF bertujuan untuk memberi kesedaran dalam komuniti masyarakat Muslim untuk mengutamakan produk keluaran Muslim di pasaran dalam negara khususnya.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi orang Islam yang dilihat jauh terkebelakang berbanding orang bukan Islam.

Selain itu, matlamat BMF juga adalah untuk menggalakkan peniaga-peniaga Muslim agar lebih berdaya saing dalam mengeluarkan produk yang lebih banyak dan ke arah menjadi peneraju dalam setiap industri.

2) Adakah BMF ini melarang membeli produk non-Muslim?

Tidak. Sebab itu ia dinamakan sebagai 'Buy Muslim-made First', bukannya 'Buy Muslim-made Only'.

Perlu diingat bahawa perkara yang ditekankan dalam kempen ini adalah mengutamakan keluaran Muslim tanpa memboikot keluaran bukan Muslim.

3) Adakah BMF akan menjejaskan perpaduan kaum?

Ia perlu dilihat dalam kerangka makna sebenar kempen ini. Ia langsung tidak menyentuh isu perkauman.

Sebaliknya penekanan hanya diberikan untuk menyokong produk Muslim. Dengan erti kata lain, apa sahaja bangsa yang beragama Islam adalah termasuk dalam seruan kempen ini.

4) Adakah BMF akan menjejaskan keharmonian antara agama?

Tidak sama sekali kerana kempen ini berasaskan perasaan kasih sayang dan sikap saling bantu membantu sesama komuniti Muslim, bukan atas dasar kebencian kepada penganut agama lain.

Kempen ini juga bukanlah suatu paksaan. Tiada istilah haram membeli barangan daripada bukan Muslim selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat.

Maka isu perbalahan antara agama tidak wajar dikaitkan dengan kempen ini.

5) Apa perlunya mengutamakan produk Muslim berbanding yang lain?

Adalah penting untuk mengutamakan produk Muslim kerana Islam menggesa umatnya untuk saling bantu membantu dalam perkara kebaikan. Ia termasuklah dalam membantu meningkatkan ekonomi sesama Muslim.

Ia juga penting dalam memelihara kebajikan masyarakat Muslim. Ini kerana sebahagian wang yang disalurkan kepada peniaga-peniaga Muslim akan diinfakkan sebagai zakat.

Zakat inilah yang akan membantu dan menaiktaraf ekonomi golongan yang memerlukan antaranya fakir dan miskin yang jumlah besarnya adalah daripada kalangan orang Islam sendiri.

Penting untuk menyedari bahawa masyarakat Muslim mendominasi peratus terbesar jumlah penduduk negara ini. Namun kedudukan ekonomi mereka adalah tidak setanding dengan jumlah tersebut. Ramai juga yang miskin dan serba kekurangan.

Ini disebabkan oleh kurangnya kesedaran dalam komuniti Muslim untuk 'aware' dengan produk Muslim.

Mereka telah membantu produk bukan Muslim dalam jangka masa yang begitu lama sehingga masyarakat bukan Muslim jauh mendahului mereka.

Ia tidaklah salah dan tidak pula bermaksud perlu memboikot non-Muslim. Namun hal ini menyebabkan wujud ketidakimbangan ekonomi yang ketara.

Oleh itu, kempen ini penting bagi mengimbangi kembali jurang ekonomi antara Muslim dan non-Muslim dan membela nasib mereka yang memerlukan.

6) Bagaimana jika BMF ini akan memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam untuk meminggirkan produk keluaran Muslim?

Tidak dinafikan BMF ini mungkin boleh mendatangkan kesan tersebut jika kempen ini disalah tafsir dan tidak difahami secara benar dan menyeluruh oleh masyarakat bukan Islam.

Membuat satu-satu keputusan untuk membeli barangan dari siapa itu adalah pilihan pengguna dan tidak menyalahi mana-mana perundangan negara.

Sama juga kempen untuk membela ekonomi sesebuah kominiti yang dilihat jauh kebelakang tidaklah menyalahi mana-mana aturan dan etika hidup kemasyarakatan.

Kerajaan juga sejak dahulu ada membuat dasar-dasar yang memberi keutamaan kepada memperkasa ekonomi orang Melayu yang dilihat jauh ketinggalan akibat dasar pecah dan perintah oleh penjajah Inggeris dahulu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Maka ini dilihat tidaklah berbeza dengan matlamat kempen ini diadakan iaitu untuk meningkatkan tahap ekonomi orang Islam yang jauh ketinggalan dengan memberi sokongan kepada produk-produk keluaran mereka.

7) Kesimpulan

Atas jawapan-jawapan di atas dapatlah disimpulkan bahawa kempen 'Buy Muslim-made First' wajar disokong.

Dalam masa yang sama, adalah amat tidak wajar untuk menyokong kempen boikot barangan bukan Muslim kerana selain tiada asas dalam agama, ia juga membakar api perkauman dan menjejaskan keharmonian sesama kaum dan agama.

Kedua kempen BMF dan boikot ini perlu dibezakan dan tidak disalah erti lagi.

Friday, September 6, 2019

JAWI DAN KHAT YANG DISALAH TAFSIR




Gempar seluruh Malaysia apabila YB Dr. Maszlee Malik mengumumkan hasrat Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan Jawi dan Khat dalam Subjek Bahasa Melayu bagi Tahun Empat di Sekolah-Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan bermula 2020.

Rentetan dari itu, 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil dilaporkan media sebagai menolak keputusan KPM tersebut. Malah lebih buruk lagi ianya hampir membawa kepada satu demonstrasi jalanan baru-baru ini.

Kebebasan bersuara adalah sesuatu yang baik dan nadi bagi sesebuah negara demokrasi. Namun ianya perlu berdiri di atas asas dan alasan yang kukuh tanpa prejudis dan syak wasangka.

Melihat kepada beberapa sebab penolakan tersebut yang sebahagiannya kelihatan tidak tepat, satu pencerahan perlu diberikan agar salah faham dapat dihindari dan pada akhirnya diharap sedikit sebanyak dapat meredakan ketegangan yang ada.

Sekurang-kurangnya terdapat enam sebab penolakan yang tidak kukuh dan tersasar dari realiti sebenar pengenalan Jawi dan Khat ini iaitu ia dianggap sebagai bebanan kepada guru, bebanan kepada pelajar, tidak bertepatan dengan keperluan sebenar Bahasa Melayu, tidak merangsang kemajuan negara dan suatu gerakan Islamisasi.

Dakwaan Guru Terbeban

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, pengenalan Jawi dan Khat ini hanyalah sebagai satu aktiviti tambahan dalam buku teks Bahasa Melayu dan bukannya satu subjek baharu. Lantas ia tidak memerlukan kepada penambahan guru.

Pelaksanaannya juga sangat mudah iaitu hanya perlu tekap, sambung titik pada huruf jawi dan tiru semula untuk dijadikan seni khat. Ini tidak memerlukan kemahiran yang tinggi sehingga guru-guru perlu mengambil satu kursus tertentu untuk mengajarkannya kepada anak murid.

Perhatian hanyalah diberikan dari aspek seni menulis Jawi sebagai salah satu nilai estetik dalam penulisan. Ia tidak memberi penekanan tentang bagaimana memahami tulisan tersebut secara total. Jadi guru-guru tidak perlu khuatir terbeban akan hal itu.

Menteri Pendidikan juga menjelaskan bahawa aktiviti ini tidak akan dinilai dalam pemarkahan dan peperiksaan. Oleh itu, guru tidak perlu khuatir ia akan merosotkan markah dalam subjek tersebut di kalangan anak didik bukan Melayu.

Justeru, pengenalan tulisan Jawi dan Khat ini tidak wajar dilihat sebagai satu bebanan kepada para pendidik bahkan ia akan membentuk satu suasana pengajaran dan pembelajaran baharu yang santai dan menyeronokkan.

Dakwaan Pelajar Terbeban

Sepertimana yang dijelaskan oleh Prof Dr S Vijayaletchumy yang merupakan salah seorang panel penggubal kurikulum ini, hanya lima ke enam aksara yang akan diperkenalkan kepada murid. Ianya tidak sampai 1/6 daripada keseluruhan 37 abjad Jawi yang lengkap.

Beliau juga berkata bahawa perkara itu hanya akan diajar empat kali setahun dalam tempoh 10 minit terakhir sebagai bahan sokongan kemahiran bahasa sesi pengajaran Bahasa Melayu.

Tambahan lagi sepertimana kenyataan Menteri Pendidikan bahwa ianya tidak akan diambilkira dalam pemarkahan dan peperiksaan, maka ini adalah satu keringanan kepada para pelajar.

Apa tidaknya, jika sebelum ini keseluruhan 164 muka surat dalam buku teks Bahasa Melayu itu berpotensi untuk dimasukkan dalam peperiksaan, maka jumlah tersebut akan berkurangan kepada 161 muka surat. Tiga muka surat yang mengandungi pengenalan tulisan Jawi dan Khat tersebut tidak perlu diulangkaji. Dari sudut ini, amat rugi sekali apabila Kementerian Pendidikan mengambil keputusan untuk tidak mengekalkannya kepada enam muka surat seperti sebelum ini.

Begitu juga dari segi peralatan menulis seperti pen khat, pelajar dan ibu bapa tidak perlu khuatir kerana kesemuanya akan disediakan oleh Kementerian Pelajaran.

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, maka dakwaan pelajar akan terbeban dengan aktiviti ini adalah satu tanggapan yang tidak benar dan meleset sama sekali.

Dakwaan Tidak Bertepatan dengan Pengajaran Bahasa Melayu

Bahasa Melayu merupakan salah satu identiti negara kita. Kedudukan Bahasa Melayu mendapat tempat istimewa dalam Perlembagaan Malaysia. Semua kita maklum akan hal ini.

Setiap bahasa mempunyai gaya tulisan, sejarah dan seni tersendiri. Uniknya Bahasa Melayu ini kerana ia tidak hanya diterjemah dalam bentuk Rumi, tetapi juga merangkumi tulisan Jawi. Rumi telah menjadi tulisan rasmi dalam negara kita sejak Akta Bahasa Kebangsaan 1963 diwartakan, tetapi perlu diingat bahawa Jawi merupakan tulisan yang dominan dalam Bahasa Melayu pada satu jangka masa panjang sebelum itu.

Jawi merupakan tulisan bersejarah yang tidak hanya digunakan di papan tanda jalan dan kedai, namun lebih dari itu koleksi warkah Francis Light di Muzium Perpustakaan British, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874 dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957, semua dalam tulisan Jawi.

Pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana pula dengan khat? Secara mudahnya, khat adalah seni dalam tulisan Jawi. Jika dalam Rumi dan Cina ada seni kaligrafi, Jawi pula ada seni khat. Lalu ianya terkait secara langsung dengan tulisan Jawi dari aspek seninya.

Dengan ini, dakwaan bahawa tulisan Jawi dan Khat ini tidak bertepatan dengan pengajaran Bahasa Melayu adalah tidak benar dan perlu diteliti semula dengan lebih mendalam.

Dakwaan Tidak Merangsang Kemajuan Negara

Tulisan Jawi dan Khat adalah suatu seni yang ada nilai komersialnya tersendiri. Pengenalan tulisan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan ini jika diletakkan dalam neraca untung rugi, ia dilihat berpotensi menjadi salah satu faktor yang dapat menjana dan menguntungkan ekonomi negara.

Penjualan hasil seni tulisan Jawi dan Khat mungkin asing bagi masyarakat bukan Melayu. Justeru ianya boleh membuka satu lagi peluang perniagaan baru di kalangan mereka. Penjualan hasil seni ini tidak hanya boleh dikomersialkan dalam negara, tetapi ia juga boleh dikembangkan ke pasaran dunia dan pelancong luar.

Potensi dan bakat seni yang terpendam dalam diri anak-anak adalah tidak sama. Ada yang memiliki seni berpidato, menari, menyanyi, berlakon dan juga seni dalam penulisan. Sekiranya mereka diperkenalkan dengan tulisan Jawi dan seni Khat dari usia kecil, ianya dapat menjadi satu nilai tambah bagi penggemarnya yang boleh dijadikan sumber pendapatan mereka pada masa akan datang.

Justeru adalah tidak tepat jika mengatakan bahawa pengenalan tulisan Jawi dan Khat ini hanya menjadikan masyarakat kebelakang dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat dalam memajukan negara.

Dakwaan Suatu Gerakan Islamisasi

Boleh jadi inilah punca utama yang membawa kepada penolakan tulisan Jawi dan Khat oleh sebahagian masyarakat bukan Islam. Anggapan bahawa Jawi dan Khat adalah satu gerakan Islamisasi perlu diteliti semula kebenarannya. Ia perlu dinilai dengan fakta sebenar, bukan berdasarkan emosi dan sangkaan semata-mata.

Hakikatnya, Jawi dan Khat bukanlah dakyah agama sebaliknya hanyalah sebuah seni penulisan dalam Bahasa Melayu. Ia langsung tidak berkait dengan Agama Islam. Sama seperti tulisan Latin Script, tulisan Cina dan tulisan India. Dengan erti kata lain, mengetahui tulisan-tulisan tersebut tidak akan menjadikan seseorang itu Muslim, Kristian, Hindu atau Buddha.

Seorang Muslim yang menguasai tulisan jawi tidak dikira lebih baik dan beriman berbanding Muslim yang lain. Begitu juga Muslim yang tidak tahu menulis dan membaca Jawi juga tidak dikira berdosa kerana Jawi bukanlah Islam, dan Islam bukanlah Jawi.

Bahkan seseorang yang menguasai dan memahami tulisan Jawi, tidak akan mampu membaca patah-patah perkataan dalam al-Quran, apatah lagi memahaminya. Ini kerana ia tidak berkait dengan Bahasa Arab.

Hubungan tulisan Jawi dengan Bahasa Arab adalah sama seperti Bahasa Inggeris dengan Bahasa German atau Perancis. Walaupun ketiga-tiganya menggunakan 'ABC' yang sama, tetapi ia tidak akan dapat difahami kerana bahasa yang berbeza-beza.

Justeru, dakwaan tulisan Jawi dan Khat sebagai gerakan Islamisasi adalah tidak benar sama sekali dan jauh dari realiti sebenar.

Harapan kepada Kementerian Pendidikan

Sebagai warganegara yang cintakan perpaduan, penulis ingin melihat inovasi dan transformasi dilaksanakan dengan lebih agresif lagi dalam bidang pendidikan.

Bangsa-bangsa dalam negara ini kebanyakannya telah dipisahkan oleh blok-blok aliran pendidikan yang berbeza sejak sekolah rendah lagi. Ini tidaklah salah kerana nenek moyang kita dahulu telah bersetuju untuk meraikan bahasa ibunda masing-masing.

Cumanya tampak satu ketempangan apabila anak-anak daripada sekolah rendah yang pelbagai ini disatukan di sekolah menengah, universiti atau di tempat kerja yang sama. Perpaduan yang diharapkan tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.

Namun ini tidaklah bermakna perlu memansuhkan sekolah vernakular dan aliran agama. Satu inisiatif dan dasar perlu dirangka agar pelajar-pelajar ini dapat mengadaptasi budaya-budaya lain sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Tak kenal maka tak cinta. Untuk mengenali budaya lain seharusnya bermula dengan perkara asas sesebuah bangsa iaitu tulisan dan bahasa. Pengenalan tulisan Jawi dan Khat ini dilihat sebagai satu titik mula yang baik dalam mengenali budaya masyarakat Melayu dengan lebih mendalam oleh bangsa-bangsa lain.

Begitu juga diharapkan agar suatu masa nanti, Kementerian Pendidikan juga akan merangka tulisan Cina dan Tamil sebagai aktiviti tambahan di sekolah-sekolah kebangsaan dan agama yang rata-ratanya didominasi oleh bangsa Melayu.

Akhirnya, penulis berharap agar penulisan ini dapat meredakan ketegangan antara kaum yang sedang hangat dibangkitkan. Isu tulisan Jawi dan Khat ini perlu dilihat dari kerangka perpaduan, bukan dari kaca mata permusuhan sesama kita.

Thursday, September 5, 2019

BAIK BURUK BERSARA UMUR 65 TAHUN



Malaysia, sejak tahun 2001 sehingga kini, telah mengalami tiga kali peningkatan had umur persaraan bagi penjawat awam iaitu bermula dari 55 kepada 56 tahun, kemudian pada tahun 2008 meningkat kepada 58 tahun dan yang terakhir meningkat kepada 60 tahun pada 2012.

26 Ogos yang lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (Malaysian Trades Union Congress - MTUC) telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun di samping menetapkan elaun kos sara hidup (Cola) kepada minimum RM500 sebulan untuk dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2020 tidak lama lagi.

Usul ini mendapat respon positif malah banyak juga kritikan dilontarkan pelbagai pihak termasuklah Menteri Belia dan Sukan sendiri, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengatakan cadangan tersebut adalah tidak tepat memandangkan peratusan kadar pengangguran di negara ini yang jauh lebih tinggi berbanding negara-negara maju lain yang mengarah kepada peningkatan had umur tersebut.

Sudah semestinya, peningkatan had umur persaraan ini memberi impak besar kepada pelbagai aspek sama ada yang terkait dengan pekerja itu sendiri, organisasi-organisasi, masyarakat khususnya pencari kerja di kalangan anak muda serta para graduan dan juga kerajaan.

Bekalan Ekonomi Pesara

Pada peringkat individu iaitu pekerja, ianya memberi kesan dari sudut ekonomi, produktiviti dan juga ruang privasi mereka dalam menjalani usia yang masih berbaki.

Membicarakan tentang tahap ekonomi pekerja, ianya membabitkan persediaan kewangan selepas persaraan, kebolehan survival dalam menguruskan peningkatan kos sara hidup dan perlindungan kewangan ketika ditimpa sakit atau musibah.

Mengikut statistik pada Mac 2018 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hampir separuh daripada pencarum yang berumur 54 tahun mempunyai simpanan hanya sekitar RM31000 dan kebanyakan mereka merupakan ahli tidak aktif. Jabatan Perangkaan Malaysia pula telah mendedahkan purata jangka hayat penduduk negara ini kian meningkat daripada 72.2 tahun pada 2000 melonjak kepada 74.7 tahun pada 2016.

Hal ini amat membimbangkan terutamanya bagi pekerja sektor swasta kerana sekiranya mereka bersara pada umur 60 tahun, mampukah mereka meneruskan kehidupan dengan hanya berbekalkan kurang RM300 sebulan sebelum mencapai umur 74.7 tahun?

Hal ini juga berkait rapat dengan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun. Ketidakselarian peningkatan tangga gaji yang perlahan dengan kadar lonjakan kos sara hidup mengakibatkan pesara-pesara ini terpaksa meletakkan pergantungan yang tinggi kepada anak-anak. Itupun jika talian hayat itu mampu dan bertanggungjawab terhadap orang tuanya.

Apa yang membimbangkan, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM), satu daripada 10 warga emas diabaikan anak dan ahli keluarga walaupun tinggal serumah. Jika ini berlaku, maka pesara-pesara ini terpaksa mengikat perut dan mencatu keperluan seharian dalam menghabiskan sisa-sisa usia mereka.

Begitu juga dengan keperluan perubatan. Kebanyakan syarikat-syarikat insuran luar meletakkan premium bulanan yang sangat tinggi bagi pencarum baru di kalangan mereka yang sudah berusia. Ini membantutkan kemampuan mereka dalam membuat income protection jika apa-apa musibah berlaku selepas persaraan. Oleh sebab itu, mereka terpaksa meletakkan pergantungan yang tinggi kepada insuran sedia ada yang ditawarkan oleh jabatan serta majikan tempat mereka bekerja. Namun insuran tersebut hanya diberikan selagimana mereka masih dalam perkhidmatan.

Inflasi terhadap barangan kesihatan yang meningkat lebih 12 peratus setahun dan populasi Malaysia yang semakin menua meruncingkan lagi keadaan. Klinik dan hospital kerajaan menanggung bebanan dari segi jumlah pesakit yang semakin meningkat dan juga bajet yang tidak mencukupi. Justeru ini memungkinkan pemberian subsidi perubatan pada masa akan datang akan dikurangkan sedikit demi sedikit dan pergantungan kepada insuran akan meningkat.

Maka dengan peningkatan umur persaraan ini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan tahap ekonomi seseorang pekerja khususnya apabila mereka telah bersara, tetapi juga dapat memberi perlindungan kewangan yang lebih lama sekiranya mereka sakit dan ditimpa musibah. Ia juga dapat merapatkan lagi jurang antara umur bersara dan purata jangka hayat penduduk Malaysia. Ini penting bagi mengurangkan risiko ketidakupayaan bekalan ekonomi mereka dalam mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Produktiviti Pekerja

Dari sudut produktiviti pula, tidak dapat dinafikan bahawa pekerja tua mempunyai pengalaman yang jauh lebih tinggi berbanding pekerja muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia pekerjaan. Namun begitu, pengalaman yang luas sahaja tidak memadai. Ia harus disertai dengan tenaga dan fokus yang maksima bagi memastikan tahap produktiviti tidak hanya berada pada graf yang mendatar.

Apabila menjelang usia tua, kudrat semakin berkurangan. Sudah pasti pekerja tidak dapat memberi sepenuh tumpuan dan mengerah sepenuh tenaga sepertimana yang telah dilakukan ketika usia muda dahulu. Maka ini akan membantutkan produktiviti seseorang pekerja yang secara langsung akan menjejaskan tahap pengeluaran dan perkhidmatan sama ada dalam sektor swasta mahupun kerajaan.

Oleh yang demikian, peningkatan umur persaraan dari sudut pandang ini, nampaknya tidak memberi kesan yang positif dan memberangsangkan.

Ruang Privasi Warga Tua

Setiap orang yang bekerja pasti inginkan ketenangan hidup di usia tua. Dapat melakukan apa sahaja yang tidak berkesempatan dek kerana kepadatan dan kesibukan bekerja ketika usia muda merupakan masa yang amat ditunggu-tunggu.

Apalagi ruang-ruang masa dan tumpuan yang sepatutnya digunakan sehabis baik dalam melayani keluarga yang baru membesar dahulu terpaksa diketepikan seketika demi mencari nafkah untuk mereka.

Begitu juga seharian suntuk yang dihabiskan di pejabat dan tempat kerja menghalang mereka dari bersua muka dengan jiran tetangga dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang menyeronokkan.

Bukan itu sahaja, jadual bekerja yang sarat juga membenamkan keinginan mereka dalam melakukan hobi kesukaan masing-masing. Kestabilan emosi dan psikologi mereka juga kerap kali terganggu kerana stres dengan timbunan kerja yang tidak pernah habis.

Begitupun cabaran yang terpaksa dilalui, jauh di sudut hati mereka pasti mengharap dan menunggu masa persaraan yang akan memberi ruang privasi sebagai ganjaran terhadap penat lelah dan pengorbanan yang diberikan selama ini.

Oleh yang demikian, peningkatan umur persaraan kepada 65 tahun ini pasti akan meremukkan dan menghampakan hasrat hati mereka khususnya pekerja yang sudah mencecah 50-an ke atas kerana terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk mendapatkan ruang privasi kehidupan yang dinanti-nantikan selama ini.

Jabatan dan Organisasi

Lain pula ceritanya apabila dilihat dari perspektif jabatan dan organisasi. Peningkatan umur persaraan ini merupakan satu keuntungan kepada mereka. 

Apa tidaknya, tenaga-tenaga pekerja berkemahiran dan berpengalaman masih dapat diperah dan digunakan lagi. Lanjutan lima tahun itu merupakan satu jangka masa yang cukup panjang untuk meningkatkan penjimatan kos pengurusan sumber manusia.

Dalam tempoh ini, mereka tidak perlu membawa masuk pekerja-pekerja baru yang rata-ratanya tidak mempunyai skil yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan mereka.

Jika sebelum ini jabatan dan organisasi terpaksa membelanjakan sejumlah amaun yang besar bagi mengasah kemahiran dan menyediakan latihan secukupnya kepada pekerja-pekerja baru, maka kali ini ia tidak diperlukan lagi atau sekurang-kurangnya dapat dikecilkan skala perbelanjaan tersebut kepada tahap yang paling minima.

Pencari Kerja di Kalangan Anak Muda dan Graduan

Berdasarkan laman web Statista.com, statistik terkini pengangguran di kalangan anak muda sehingga tahun 2018 adalah 11.18 peratus iaitu antara yang paling tinggi sejak 10 tahun yang lalu.

Walaupun peratus pengangguran keseluruhan di negara ini masih di antara yang terbaik di rantau Asia iaitu pada paras 3.3 peratus, namun apa yang membimbangkan adalah kadar pengangguran di kalangan anak muda melonjak tiga kali ganda dari peratusan tersebut. Ianya juga adalah lebih tinggi daripada Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina dan India.


Para graduan khususnya yang datang daripada keluarga miskin dan golongan B40 yang mengimpikan tempat di sektor kerajaan dengan harapan dapat mengubah nasib keluarga mereka pasti sangat terkesan dengan peningkatan umur persaraan ini.

Lambakan graduan yang sedang beratur menunggu giliran di gerbang-gerbang perkhidmatan awam seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Badan Berkanun Persekutuan dan Negeri dan seumpamanya terpaksa menunggu lebih lama lagi untuk dipilih, malah peluang tersebut semakin menguncup.

Sudahlah ruang kerjaya peringkat profesional yang sepatutnya diisi oleh graduan yang berkelayakkan amat terhad, ditambah pula dengan lanjutan umur bersara, sudah semestinya meningkatkan lagi lambakan graduan yang menganggur.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung. Lebih malang lagi kebanyakan dari mereka adalah dari keluarga yang miskin dan golongan B40.

Peningkatan had umur persaraan tersebut bukan sahaja akan melambatkan lagi proses kenaikan pangkat dan tangga gaji pekerja sedia ada, malah ia secara langsung menutup peluang-peluang pekerjaan bagi belia dan siswazah dalam tempoh yang panjang.

Lebih membimbangkan lagi, negara sedang memasuki Revolusi Perindustrian 4.0. Umum mengetahui revolusi ini berteraskan sistem automasi dan pengkomputeran yang lebih meluas. Hal ini menyebabkan pergantungan sektor perindustrian dan perkhidmatan kepada sumber tenaga manusia semakin berkurangan. Revolusi ini seperti dalam kenyataan Menteri Sumber Manusia, YB M Kulasegaran, akan menjejaskan antara 11 hingga 54 peratus tenaga kerja buruh manusia di Malaysia dalam dua dekad akan datang.

Akhirnya, segulung ijazah dan transkrip yang diterima hasil daripada penat lelah belajar, tidak lebih dari sekadar lembaran-lembaran kertas yang tidak mampu menjanjikan peluang pekerjaan setimpal. Tidak hanya sekadar itu, ia akan membabitkan kemerosotan statistik siswazah yang dilahirkan pada masa akan datang kerana mereka menyedari, bahawasanya pengajian tinggi tidak menjanjikan apa-apa pulangan yang lumayan.


Maka jelaslah dari kaca mata golongan belia dan siswazah, peningkatan umur persaraan ini amat tidak wajar kerana ianya tidak lain hanya menjadikan masa depan mereka dalam dunia pekerjaan semakin kabur dan kelam.


Dasar dan Kepentingan Kerajaan


Melihat kepada dasar kerajaan hari ini yang melibatkan Kementerian Sumber Manusia, kerajaan berhasrat untuk melahirkan sejuta peluang pekerjaan yang berpendapatan RM2,500 sebulan dalam masa lima tahun. Berdasarkan data  suku tahunan yang dikeluarkan oleh DOSM, sejak Mei 2018 sehingga Mac lepas, sebanyak 243,000 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan. Sekiranya peningkatan umur bersara ini diterima pakai, dikhuatiri ia akan menjejaskan jumlah peluang pekerjaan khususnya dalam masa empat tahun yang mendatang.


Berdasarkan Tinjauan Ekonomi 2019 oleh Kementerian Kewangan tahun lepas, populasi warga tua yang berumur 65 tahun ke atas dijangka meningkat dari 6.3 peratus kepada 7.0 peratus pada tahun 2020 dan menjadikan Malaysia sebagai negara menua. Penuaan ini memberi kesan kepada kurangnya produktiviti dan penyertaan tenaga buruh. Begitu juga kos perbelanjaan awam melalui pencen akan meningkat. Ini akan membebankan kedudukan fiskal kerajaan kerana sistem pencen sekarang adalah pembayaran tanpa caruman (pay-as-you-go). Oleh yang demikian, peningkatan umur pencen ini dilihat sebagai satu inisiatif yang baik selari dengan matlamat untuk mengukuhkan kembali kedudukan fiskal kerajaan dalam jangka masa panjang.


Begitu juga peningkatan umur persaraan ini secara tidak langsung membantu usaha kerajaan dalam menerapkan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030). Dasar yang digubal kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan ini menampakkan hasrat tinggi kerajaan yang ingin masyarakat Malaysia seramai mungkin menceburi bidang ini. Berkait dengan kesan peningkatan umur persaraan ini, sedikit sebanyak akan menjadikan masyarakat beralih daripada kepada bidang keusahawanan kerana ianya dilihat lebih memberi keuntungan kepada mereka.


Kesimpulan


Baik buruk bersara umur 65 tahun ini perlu  dinilai dari sudut pandang yang berbeza-beza. Apa yang penting, dalam menghadapi apa jua kemungkinan usul ini diluluskan atau tidak, bakal-bakal pesara yang berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta perlu bersiap siaga dari segi kestabilan bekalan ekonomi selepas persaraan.


Begitu juga golongan belia dan graduan yang masih menganggur perlu mencari inisiatif lain menghasilkan duit agar sekurang-kurangnya mereka tidak hanya termenung dan goyang kaki sahaja sementara menunggu peluang pekerjaan yang tidak pasti ada atau tidak itu datang.


Sebagai kerajaan yang perihatin kepada rakyat pula harus menerapkan dasar tersebut dengan mengambil kira juga faktor kesejahteraan psikologi dan emosi rakyat khususnya pekerja yang hampir bersara. Lanjutan umur persaraan yang mendadak ini perlu dinilai semula dari segi tempoh masa tersebut dan kesannya kepada pekerja yang masa bersaranya tinggal satu ke tiga tahun sahaja lagi.


Akhirnya, apa jua keputusan yang akan dibuat oleh Kabinet mengenai cadangan ini nanti perlu disertai dengan inisiatif lain bagi menutup kelompongan yang ada kesan daripada penerimaan atau penolakan cadangan MTUC ini.