TAKBIRATUL IHRAM: PANDANGAN IMAM-IMAM MAZHAB

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ الْأَمِينِ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

Takbiratul ihram (تَكْبِيرَةُ الْإِحْرَامِ)  atau tahrim (تَحْرِيمٌ) bermaksud takbir yang mengharamkan perkara yang membatalkan solat.

Ia juga dikenali dengan takbiratul iftitah (تَكْبِيرَةُ الْإِفْتِتَاحِ) iaitu takbir pembuka solat dan takbiratul ula (تَكْبِيرَةُ الْأُولَى) iaitu takbir yang pertama.

Di sini penulis akan membahaskan pandangan ulama'-ulama' mazhab empat dan yang lainnya mengenai persoalan:

  • Apakah hukum takbiratul ihram?
  • Apakah lafaz takbiratul ihram?
  • Adakah boleh bertakbir dengan bahasa lain?
  • Bilakah takbiratul ihram disebut?
  • Adakah takbiratul ihram perlu dikuatkan atau diperlahankan?
  • Apakah hukum mengangkat tangan ketika takbiratul ihram?
  • Apakah kadar mengangkat tangan yang sepatutnya?
  • Bilakah perlu mengangkat tangan?

Semoga Allah ﷻ memberi kefahaman Agama kepada kita.

1. MAZHAB HANAFI


Menurut Mazhab Hanafi, hukum takbiratul ihram adalah fardu[1]. Tanpanya tidak sah solat. Berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَذَكَرَ ٱسۡمَ رَبِّهِۦ فَصَلَّىٰ
Dan dia menyebut nama Tuhannya kemudian dia solat.
(Surah Al-A'la: 15)

Hujahnya juga, Al-Musili (683h) membawakan sabda Nabi ﷺ:

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ امْرِئٍ حَتَّى يَضَعَ الطُّهُورَ مَوَاضِعَهُ وَيَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ وَيَقُولَ: اللَّهُ أَكْبَرُ

Allah tidak menerima solat seseorang sehingga dia menyucikan anggota-anggotanya, menghadap kiblat dan menyebut: اللَّهُ أَكْبَرُ
[2]

Lafaz takbir yang disepakati dalam Mazhab Hanafi adalah:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ الْأَكبَرُ، اللَّهُ الْكَبِيرُ

Hujahnya, Al-Musili (683h) berkata:

Kerana (lafaz-lafaz itu) mewarisi (lafaz) اللَّهُ أَكْبَرُ, dan (wazan) أَفْعَلُ dan فَعِيل adalah sama dalam sifat-sifatNya Ta'ala. Dan (dalil) bagi kedua-dua (wazan) itu adalah firmanNya Ta'ala: وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى. Ianya diturunkan dalam (menerangkan tentang) takbiratul iftitah. Maka ianya telah menetapkan kemutlakan (keumuman) zikir itu. Dan tidak boleh mentaqyidkan (mengkhaskan) Al-Kitab dengan khabar wahid[3].


Oleh itu, jika disebut ُاللَّه atau الرَّحْمَنُ sahaja adalah sah di sisi Abu Hanifah (150h). Hujahnya:



Kerana nas menunjukkan maksud ta'zim (mengangungkan Allah), dan ianya (maksud itu) terhasil dengan hanya menyebut nama sahaja.

Di sisi Muhammad (189h) tidak sah kecuali disandarkan dengan sifat seperti اللَّهُ أَجَلُّ atau اللَّهُ أعْظَمُ. 


Dan juga sah dengan tasbih, tahlil atau tahmid. Hujahnya:

Dan nas menyebutkan nama dan sifat, maka tidak boleh memadai dengan nama semata-mata.



Boleh juga di sisi Abu Hanifah (150h) dan Muhammad (189h) menggunakan nama lain bagi Allah seperti الرَّحْمَنُ أَكْبَرُ. Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:


قُلِ ٱدۡعُوا۟ ٱللَّهَ أَوِ ٱدۡعُوا۟ ٱلرَّحۡمَـٰنَۖ أَیࣰّا مَّا تَدۡعُوا۟ فَلَهُ ٱلۡأَسۡمَاۤءُ ٱلۡحُسۡنَىٰۚ  
Dan serulah kalian akan Allah atau serulah kalian akan al-Rahman, yang mana sahaja kalian seru maka bagiNya nama-nama yang baik. 
(Surah al-Isra': 110) 
Dan kerana (dalil) ini harus sembelihan dengan nama al-Rahman atau dengan nama al-Rahim, maka seperti itu jugalah (halnya takbir) di sini. 
Dan orang yang mentahqiqkan mazhab mereka berdua (Abu Hanifah dan Muhammad): Apa yang diriwayatkan daripada Abu 'Abd al-Rahman al-Salami: "Bahawa para Nabi - solawatullahi 'alaihim - mereka membuka solat denganلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُDan bagi kami dengan mereka itu sebagai contoh tauladan.[29]


Di sisi Abu Yusuf (182h), tidak sah kecuali dengan lafaz takbir sahaja. Melainkan orang itu tidak mampu bertakbir dengan baik[5]. Hujahnya, sabda Nabi ﷺ:

وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ

Dan tahrimnya (solat) adalah takbir.


Dan takbir menghasilkan 3 lafaz ini (sahaja) (rujuk lafaz yang disepakati di atas)[6].



Tidak sah secara ijma' jika disebut dengan doa[4] seperti: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي, اللَّهُمَّ ارْزُقنِي, أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ atau أَعُوذُ بِاللَّهِ. Hujahnya,



Kerana ianya itu tidak menyatakan ta'zim terhadap Allah dengan sebenar-benarnya.

Demikian hujah yang dibawakan oleh Al-Kasani (587h)[7].



Tidak sah memanjangkan hamzah dengan melafazkan آللَّهُ أَكْبَرُ (Adakah Allah Maha Besar?) Hujahnya:


Kerana ia menjadi bentuk pertanyaan, dan bersandar kepadanya adalah kufur, maka ia tidak dikira sebagai zikir, dan tidak sah memasuki (solat) dengannya dan terbatal solat dengannya[10].

Begitu juga tidak sah memanjangkan ba' dengan melafazkan اللَّهُ أَكْبَارُ. Hujahnya:


Kerana ia adalah kata jama' (plural) bagi (perkataan) ُكَبَر yang bermaksud gegendang. Maka ia terkeluar daripada makna takbir. Atau ia (juga) adalah nama bagi haid atau bagi syaitan[11].


Bertakbir atau memulakan solat dengan Bahasa Farsi, sah di sisi Abu Hanifah (150h) dengan hujah:


Kitab Allah Ta'ala menunjukkan kemutlakan (keumuman lafaz) zikir serta menunjukkan makna ta'zim, dan semua itu terhasil (juga) dengan Bahasa Farsi.

Akan tetapi ianya tidak sah di sisi Abu Yusuf (182h) dan Muhammad (189h) kecuali jika tidak mampu berbahasa Arab dengan baik. Hujah Abu Yusuf (182h):



Yang dinaskan ke atasnya adalah lafaz takbir dengan sabda Baginda ﷺ:
وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ dan ianya tidak terhasil dengan Bahasa Farsi.

Hujah Muhammad (189h):



Bahasa Arab, kerana balaghahnya dan wajazahnya menunjukkan makna-makna yang tidak dapat ditunjukkan oleh Bahasa Farsi, maka ia akan membawa kelompongan makna jika dinaqalkan daripadanya (Bahasa Arab) kepada Bahasa Farsi, dan begitu juga kerana Bahasa Arab ada kelebihan yang tidak ada pada semua bahasa dan disebabkan hal ini berdoa dengan Bahasa Arab lebih hampir kepada mustajab, dan disebabkan itu juga Allah Ta'ala telah mengkhususkan ahli karamahNya di syurga dengan berkata-kata dalam bahasa ini (Arab), maka bahasa-bahasa lain tidak boleh menggantikan tempat Bahasa Arab.

Demikian hujah yang dibawakan oleh Al-Kasani (587h)[8].

Syarat sah takbiratul ihram adalah ianya  disebut dalam keadaan berdiri sekiranya mampu.


Di sisi Abu Yusuf (182h) dan Muhammad (189h), bertakbir selepas imam adalah afdhal.


Di sisi Abu Hanifah (150h), bertakbir seiringan dengan imam tetapi tidak mendalahuluinya adalah afdhal. Hujahnya:


Sesungguhnya takbir adalah permulaan dalam ibadah, maka mempercepatkannya adalah afdhal[9].

Sunnah bagi imam untuk menguatkan takbirnya sehingga didengari makmum.

Mengangkat tangan ketika takbiratul ihram adalah sunnah. Hujahnya, Al-Sarkhasi (490h) berkata:

Kerana Nabi 'alaihissolatuwassalam mengajarkan solat kepada orang Arab badwi dan Baginda tidak menyebutkan kepadanya untuk mengangkat tangan kerana Baginda (hanya) menyebutkan perkara-perkara yang wajib (sahaja) dan Baginda melazimi mengangkat tangan ketika takbir maka ia menunjukkan bahawa ianya adalah sunnah[12].

Kadar mengangkat tangan yang sunnah di sisi Mazhab Hanafi adalah mengangkat kedua tangan sejajar dengan telinga[13]. Berdasarkan hadith Wa'il bin Hujr:

 كَانَ النَّبِيَّ ﷺ إِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حِذَاءَ أُذُنَيْهِ
Nabi ﷺ apabila bertakbir, Baginda mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua telinganya[14].

Makna hadith ini juga ada dalam Sahih Muslim yang diriwayatkan daripada Wa'il bin Hujr[15] dan Malik bin Huwairith[16].

Hujahnya, Al-Sarkhasi (490h) berkata:


Dan merujuk kepada (hadith Wa'il) ini adalah lebih utama (berbanding hadith lain) kerana padanya ada isbatul ziyadah (menetapkan tambahan). Dan takwil ke atas hadith mereka (iaitu hadith Abi Humaid al-Sa'idi yang menyatakan Baginda mengangkat tangan sejajar dengan kedua bahunya) bahawa ianya adalah ketika keuzuran pada musim sejuk iaitu ketika tangan-tangan mereka berada di bawah baju-baju mereka[17].

Waktu mengangkat tangan adalah seiringan dengan takbiratul ihram di sisi Abu Yusuf (182h).

Namun kebanyakan ulama' Hanafiyyah yang lain berpendapat, perlu mengangkat tangan dahulu sehingga ke paras telinga, kemudian barulah bertakbir. Hujahnya:

Kerana pada perbuatannya (mengangkat tangan) dan sebutannya (takbir) itu (masing-masing) mengandungi makna nafi dan isbat (penetapan). Maka dengan mengangkat tangan itu dia menafikan kebesaran selain daripada Allah dan dengan takbir itu dia mensabitkannya (kebesaran) bagi Allah Ta'ala. Maka (hendaklah) nafi itu mendahului isbat sepertimana dalam kalimah syahadah[18].

2. MAZHAB MALIKI



Menurut Mazhab Maliki, hukum takbiratul ihram adalah wajib. Dalilnya, diriwayatkan daripada 'Ali bin Abi Talib, Nabi ﷺ bersabda:


مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ
Kunci solat adalah bersuci dan yang mengharamkan (perkara yang membatalkan) solat adalah takbir serta yang menghalalkannya adalah taslim (memberi salam).[19]

Dan berdasarkan sabda Baginda ﷺ yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan selainnya, ketika Baginda ﷺ mengajarkan seorang lelaki mengenai solat Baginda ﷺ bersabda:


إِذَا أَرَدْتَ الصَّلَاةَ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ ثُمَّ كَبِّرْ


Apabila engkau hendak solat maka sempurnakanlah wudhu' kemudian hadaplah kiblat kemudian bertakbirlah.[20]

Lafaz takbiratul ihram adalah:


اللَّهُ أَكْبَرُ

Tidak sah takbiratul ihram selain daripada lafaz ini[21] walaupun dengan menambah alif dan lam pada kata Akbar. Hujahnya, al-Qadhi 'Abd al-Wahhab (422h) berkata:



Sabdanya ﷺ: 
وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ 
Dan yang mengharamkannya (perkara yang membatalkan solat) adalah takbir. 
Maka padanya ada dalil-dalil:
Pertama: Bahawa ianya adalah penjelasan terhadap keumuman firmanNya Ta'ala: 
أَقِيمُوا الصَّلَاةَ 
Dirikanlah kalian akan solat. 
Maka ianya menghendaki menta'yinkannya..  
Dan kedua: Bahawa ianya mengisyaratkan jenis tahrim maka tiadalah tersisa tahrim selainnya. 
Dan ketiga: Bahawa ianya adalah syarat takbir dalam tahrim maka ia menafikan tahrim tanpa takbir... 
Dan kerana sabda Baginda: 
لَا تَتِمُّ صَلَاةُ أَحَدِكَمْ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Tidak sempurna solat seorang daripada kalian sehingga dia berwudhu' sehingga sabda Baginda:  
ثُمَّ يَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ فَيَقُولَ: اللَّهُ أَكْبَرُ 
Kemudian dia menghadap kiblat lalu dia menyebut: Allah Maha Besar. 
Dan kerana ianya adalah lafaz yang lazim daripada takbir (bagi orang yang) ada kemampuan ke atasnya, maka tidak sah menggabungkan solat dengannya seperti menyebut: يَا مَالِك يَوْمِ الدِّينِ, dan kerana ianya adalah satu rukun daripada rukun-rukun solat, maka wajib menta'yinkan seperti ruku' dan sujud.[26]

Hujah lainnya, Ibnu Rusyd (595h) berkata:



وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ 
Dan tahrimnya adalah takbir 
Mereka (yang mengatakan takbir hanya dengan lafaz Allahu Akbar) berkata: Dan alif dan lam di sini (pada kalimah ُالتَّكْبِير) adalah untuk membatasi (الحَصَر), dan batasan itu menunjukkan bahawa ada hukum khas yang disebut dengannya, dan bahawa ianya tidak boleh dengan selainnya (lafaz itu).[31]

Jika seseorang menggantikan alif pada akbar dengan wau اللَّهُ وَكْبَرُ, tetap juga sah sekiranya itu memang bahasanya.[30]


Sekiranya seorang a'jam yang tidak mampu menyebutkan takbir dalam bahasa Arab, maka gugur kewajipan tersebut. Hujahnya, Malik (179h) meriwayatkan:



أَنَّ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّاب نَهَى عَنْ رَطَانَةِ الْأَعَاجِمِ وَقَالَ إِنَّهَا خِبَّ 
Bahawa 'Umar bin al-Khattab telah melarang daripada berkata-kata bahasa orang-orang bukan 'Arab dan dia berkata sesungguhnya ianya buruk.[27]

Al-Dardir (1204h) berkata bahawa sekiranya a'jam itu tidak mampu berbahasa 'Arab dan dia menterjemahkan takbir dalam bahasanya, tidaklah membatalkan solat menurut qaul yang azhar.[24]


Antara yang berpandangan tidak boleh bertakbir selain bahasa Arab adalah al-Qadhi 'Abd al-Wahhab (422h). Dia berkata dan berhujah:

Maka adapun bilamana tidak boleh menuturkan Bahasa Arab dengan baik maka di sisi aku bahawa dia (perlu) iktiqad masuknya ke dalam solat dengan hatinya dan dia tidak (takbiratul) ihram dengan Bahasa Farsi, dan aku menyangka bahawa sebahagian ashab kami yang mengatakan: Dia (boleh takbiratul) ihram dengan lisannya (bahasanya) dan itu adalah qaul al-Syafi'i. Maka kami mengatakan: Ianya itu (takbir) adalah zikir sebahagian daripada syarat sah solat, maka ianya wajib, tidak sah bilamana mendatangkannya dengan selain Bahasa Arab seperti qiraah, dan kerana ianya itu tidak lompong (terkecuali) daripada menjadi perkara yang dituntut lafaz takbir dan maknanya.[33]


Takbiratul ihram disebut serentak dengan mengangkat kedua tangan dan berakhir dengan berakhirnya mengangkat tangan[22]. Hujahnya, al-Zarqani (1122h) berkata:



Berdasarkan riwayat Syu'aib daripada al-Zuhri pada hadith ini di sisi al-Bukhari: 
يَرْفَعُ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ 
Baginda mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir. 
Dan Abu Daud meriwayatkan daripada Wa'il bin Hujr: 
أَنَّهُ ﷺ رَفَعَ يَدَيْهِ مَعَ التَّكْبِيرِ 
Bahawa Baginda ﷺ mengangkat kedua tangannya bersama-sama takbir...


Dan telah berkata sekelompok ulama' hikmah dalam menjadikan keduanya seiring adalah bahawa ianya boleh dilihat oleh orang pekak dan boleh didengar oleh orang buta.[23]

Mandub bagi imam dan selainnya untuk menguatkan takbiratul ihram.[25]

Hukum mengangkat tangan ketika takbiratul ihram adalah sunnah atau mustahab/mandub.[28]


Kadar mengangkat tangan yang masyhur dalam Mazhab Maliki adalah sehingga bertentangan dengan kedua bahu berdasarkan riwayat 'Abd Allah bin 'Umar dalam al-Muwatta':



أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ، كَانَ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلَاةَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ 
Bahawa Rasulullah ﷺ, apabila Baginda membuka solat, Baginda mengangkat kedua tangannya bertentangan kedua bahunya.[32]







Rujukan:

1) Rujuk: Abu 'Abd Allah Muhammad bin Muhammad Al-Kasyghari, Munyah Al-Musolli wa Ghunyah Al-Mubtadi, tahqiq Aminah 'Umar Al-Kharrath, (Damsyiq: Dar Al-Qalam, 2007), 167.


2) 'Abd Allah bin Mahmud bin Maudud Al-Musili, Al-Ikhtiyar li Ta'lil Al-Mukhtar, tahqiq Mahmud Abu Daqiqah, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-'Ilmiyyah), 48.


3) 'Abd Allah bin Mahmud bin Maudud Al-Musili, Al-Ikhtiyar li Ta'lil Al-Mukhtar, tahqiq Mahmud Abu Daqiqah, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-'Ilmiyyah), 48.


4) Rujuk: Abu 'Abd Allah Muhammad bin Muhammad Al-Kasyghari, Munyah Al-Musolli wa Ghunyah Al-Mubtadi, tahqiq Aminah 'Umar Al-Kharrath, (Damsyiq: Dar Al-Qalam, 2007), 168.


5) Muhammad bin Hassan Al-Syaibani, Al-Asl, tahqiq Dr. Muhammad Bawinwakalin, jilid 1, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 2012), 6.


6) 'Alau Al-Din Abu Bakr bin Mas'ud Al-Kasani Al-Hanafi, Badai' Al-Sanai' fi Tartib Al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-Islamiyyah, 2003), 593.


7) 'Alau Al-Din Abu Bakr bin Mas'ud Al-Kasani Al-Hanafi, Badai' Al-Sanai' fi Tartib Al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-Islamiyyah, 2003), 594.


8) 'Alau Al-Din Abu Bakr bin Mas'ud Al-Kasani Al-Hanafi, Badai' Al-Sanai' fi Tartib Al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-Islamiyyah, 2003), 595.

9) Abd Allah bin Mahmud bin Maudud Al-Musili, Al-Ikhtiyar li Ta'lil Al-Mukhtar, tahqiq Mahmud Abu Daqiqah, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-'Ilmiyyah), 48.


10) Ibn 'Abidin, Radd Al-Muhtar 'ala Al-Durr Al-Mukhtar Syarh Al-Tanwir Al-Absar, tahqiq 'Adil Ahmad bin 'Abd Al-Maujud, jilid 2, (Riyad: Dar Al-'Alam Al-Kutub, 2003), 142.


11) Ibn 'Abidin, Radd Al-Muhtar 'ala Al-Durr Al-Mukhtar Syarh Al-Tanwir Al-Absar, tahqiq 'Adil Ahmad bin 'Abd Al-Maujud, jilid 2, (Riyad: Dar Al-'Alam Al-Kutub, 2003), 142.

12) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl Al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Ma'rifah, 1989), 11.


13) Muhammad bin Hassan Al-Syaibani, Al-Asl, tahqiq Dr. Muhammad Bawinwakalin, jilid 1, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 2012), 6.


14) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl Al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Ma'rifah, 1989), 11.


15) Abu Al-Husain Muslim bin Al-Hajjaj Al-Qusyairi Al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li Al-Nasyr wa Al-Tauzi', 2006), 188-189, no. Hadith: 401. Kitab: Solat. Bab: Meletakkan Tangannya yang Kanan atas yang Kiri Selepas Takbiratul Ihram di Bawah Dadanya di Atas Pusatnya, dan Meletakkan Keduanya Ketika Sujud di atas Tanah Bertentangan dengan Kedua Bahunya.


16) Abu Al-Husain Muslim bin Al-Hajjaj Al-Qusyairi Al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li Al-Nasyr wa Al-Tauzi', 2006), 182, no. Hadith: 391. Kitab: Solat. Bab: Istihbab Mengangkat Kedua Tangan Bertentangan Kedua Bahu Bersama Takbiratul Ihram dan Ruku', dan Ketika Bangun dari Ruku', dan Sesungguhnya Baginda Tidak Melakukannya Ketika Baginda Bangun dari Sujud.


17) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl Al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Ma'rifah, 1989), 12.


18) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl Al-Sarkhasi, Al-Mabsuth, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Ma'rifah, 1989), 11.


19) Malik bin Anas, al-Mudawwanah al-Kubra,  jilid 1, (Saudi: Al-Auqaf al-Sa'udiyyah, 2014), 63.


20) Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad ibn Rusyd al-Qurthubi, al-Muqaddimat wa al-Mumahhidat, tahqiq Sa'id Ahmad A'rab, jilid 1, (Beirut: Dar al-Gharab al-Islami, 1988), 169.


21) Rujuk: Malik bin Anas, al-Mudawwanah al-Kubra,  jilid 1, (Saudi: Al-Auqaf al-Sa'udiyyah, 2014), 62.


22) Muhammad al-Zarqani dan Abu Daud Sulaiman bin al-Asy'ath al-Sijistani, Syarh al-Zarqani 'ala al-Muwatta' wa Bihamisyah Sunan Abi Daud, jilid 1, (al-Matba'ah al-Khairiyyah, 1410), 142.


23) Muhammad al-Zarqani dan Abu Daud Sulaiman bin al-Asy'ath al-Sijistani, Syarh al-Zarqani 'ala al-Muwatta' wa Bihamisyah Sunan Abi Daud, jilid 1, (al-Matba'ah al-Khairiyyah, 1410), 142.


24) Abu al-Barkat Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dirdir, al-Syarh al-Saghir 'ala Aqrab al-Masalik ila Mazhab al-Imam Malik, tahqiq: Dr. Mustafa Kamal Wasafi, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'arif), 306.


25) Muhammad Ahmad al-Dah al-Syanqiti, al-Fath al-Rabbani 'ala Nazm Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, tahqiq Dr. 'Ali bin Hamzah al-'Umri, jilid 1, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 2006), 220.


26) 'Abd al-Wahhab bin 'Ali bin Nasr al-Baghdadi, al-Isyraf 'ala Nukati Masail al-Khilaf, tahqiq al-Habib bin Tahir, jilid 1, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1999), 225-226.


27) Malik bin Anas, al-Mudawwanah al-Kubra,  jilid 1, (Saudi: Al-Auqaf al-Sa'udiyyah, 2014), 63.


28) Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad ibn Rusyd al-Qurthubi, al-Muqaddimat wa al-Mumahhidat, tahqiq Sa'id Ahmad A'rab, jilid 1, (Beirut: Dar al-Gharab al-Islami, 1988), 163.


29) 'Alau Al-Din Abu Bakr bin Mas'ud Al-Kasani Al-Hanafi, Badai' Al-Sanai' fi Tartib Al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-Islamiyyah, 2003), 594. 


30) Al-Habib bin Tahir, al-Fiqh al-Maliki wa Adillatuh, jilid 1, (Beirut: Muassasah al-Ma'arif li al-Taba'ah wa al-Nasyr, 2007), 198.


31) Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Rusyd al-Hafid, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, jilid 1, (Kaherah: Maktabah Ibn Taimiyyah, 1415hijri), 301-302.


32) Malik bin Anas, al-Muwatta', tahqiq Muhammad Fuad 'Abd al-Baqi, jilid, (Beirut: Ihya' al-Turats al-'Arabi, 1985), 75.


33)  'Abd al-Wahhab bin 'Ali bin Nasr al-Baghdadi, al-Isyraf 'ala Nukati Masail al-Khilaf, tahqiq al-Habib bin Tahir, jilid 1, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1999), 228.

No comments:

Post a Comment