DUDUK TASYAHHUD AWAL: PANDANGAN IMAM-IMAM MAZHAB

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ الْأَمِينِ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ


Duduk tasyahhud (تَشَهُّدْ) juga dikenali dengan duduk tahiyyat (تَحِيَّةُ). Kedua-dua merujuk kepada duduk pada rakaat kedua dan terakhir.

Perbahasan kali ini akan membincangkan mengenai duduk tasyahhud awal. Persoalan yang terkait adalah:

  • Apakah hukum duduk tasyahhud awal?
  • Bagaimanakah keadaan duduk tasyahhud awal?
  • Apakah hukum bacaan tasyahhud awal?
  • Apakah bacaan tasyahhud awal?
  • Apakah sunnah ketika tasyahhud?

Jawapan kepada persoalan-persoalan di atas akan dijawab berdasarkan pandangan ulama'-ulama' pelbagai mazhab.

Semoga Allah ﷻ memberi kefahaman kepada kita semua.

1. MAZHAB HANAFI

Dalam lingkungan perbahasan Mazhab Hanafi ini, terlebih dahulu perlu diketahui bahawa Mazhab Hanafi membezakan antara hukum fardhu dan hukum wajib.

Secara ringkasnya, hukum fardhu Mazhab Hanafi hampir sama dengan hukum wajib bagi jumhur ulama' dengan maksud jika meninggalkannya akan membatalkan solat.

Begitu juga hukum wajib hampir sama dengan hukum sunnah muakkadah di mana meninggalkannya tidak membatalkan solat tetapi perlu sujud sahwi.

Dalam Mazhab Hanafi, hukum duduk tasyahhud awal bukanlah fardhu. Hujahnya al-Kasani (587h) berkata:

Diriwayatkan daripada Nabi ﷺ:
أَنَّهُ قَامَ إِلَى الثَّالِثَةِ فَسَبَّحَ بِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ 
Bahawa Baginda berdiri kepada (rakaat) yang ketiga lalu baginda bertasbih dengannya, maka Baginda tidak kembali (duduk tasyahhud). 
Dan kalaulah ianya fardhu, sudah pasti Baginda kembali (duduk tasyahhud awal)[2].

Ulama' Mazhab Hanafi berbeza pandangan sama ada ianya sunnah atau wajib. Di sisi al-Tahawi dan al-Karakhi, ianya adalah sunnah. Di sisi yang lain, ianya wajib. Inilah pandangan yang paling sahih. Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:

Kerana Nabi ﷺ melazimi ke atasnya dalam keseluruhan umurnya, dan itu menunjukkan kepada (hukum) wajib, apabila tertegak dalil (yang menunjukkan ianya) bukan fardhu[3].

Keadaan duduk yang disunnahkan  bagi lelaki adalah duduk iftirasy iaitu dengan menghamparkan kaki yang kiri dan menjadikannya di antara punggung lalu duduk di atasnya dan menegakkan kaki kanan setegak-tegaknya dan menghalakan jari jemarinya yang kanan ke arah kiblat[1]. Berdasarkan hadith 'A'isyah radhiallahu 'anha:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ إِذَا قَعَدَ فَرَشَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى، وَقَعَدَ عَلَيْهَا وَنَصَبَ الْيُمْنَى نَصْبًا 
Bahawa Nabi ﷺ apabila duduk, Baginda menghamparkan kakinya yang kiri, dan Baginda duduk di atasnya dan Baginda menegakkan (kakinya) yang kanan setegak-tegaknya. 
Dan Anas bin Malik meriwayatkan daripada Nabi ﷺ: 
أَنَّهُ نَهَى عَنِ التَوَرُّكِ فِي الصَّلَاةِ 
Bahawa Baginda melarang daripada (duduk) tawarruk dalam solat. 
Dan hadith Abu Humaid (bahawa Nabi ﷺ duduk tawarruk) dibawa atas keadaan tua dan lemah[4].

Keadaan duduk yang disunnahkan bagi wanita adalah tawarruk. Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:

Kerana memelihara kefardhuan menutup (الستر) lebih utama daripada memelihara sunnah duduk[5].

Juga Al-Sarkhasi (490h) membawakan hadith:

أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ رَأَى امْرَأَتَيْنِ تُصَلِّيَانِ فَلَمَّا فَرَغْتَا دَعَاهُمَا وَقَالَ اسْمَعَانِ إِذَا قَعَدْتُمَا فَضُمَّا بَعْضَ اللَّحْمِ إِلَى الْأَرْضِ 
Bahawa Nabi ﷺ melihat dua orang wanita solat, maka ketika keduanya selesai, Baginda memanggil mereka berdua dan bersabda: Dengarlah kalian berdua kepadaku, apabila kalian berdua duduk maka gabungkanlah sebahagian daging kalian ke tanah[6].

Oleh kerana duduk tasyahhud awal bukanlah fardhu sepertimana yang dibincangkan di atas, maka bacaan tasyahhud juga bukanlah fardhu. 

Ulama' Mazhab Hanafi berbeza pandangan sama ada bacaan tasyahhud adalah sunnah atau wajib. Sebahagian mengatakan sunnah. Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:

Kerana zikir tasyahhud lebih rendah martabatnya daripada duduk, tidakkah engkau lihat bahawa duduk (tasyahhud) akhir, disebabkan ianya fardhu (maka) bacaan di dalamnya menjadi wajib, maka duduk (tasyahhud) awal itu disebabkan ianya wajib (maka) wajib menjadikan bacaan di dalamnya sebagai sunnah, untuk menzahirkan kerendahan martabatnya[12].

Sebahagian lagi mengatakan ianya wajib. Dan inilah yang paling sahih. Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:

Maka sesungguhnya Muhammad (bin Hasan al-Syaibani) mewajibkan sujud sahwi dengan sebab meninggalkannya kerana lupa, dan bahawa ianya tidak wajib kecuali dengan sebab meninggalkan yang wajib... 
Sehingga kalau meninggalkannya dengan sengaja tidaklah merosakkan solatnya, tetapi ia menjadi buruk, dan kalau meninggalkannya kerana lupa maka perlu baginya sujud sahwi[9].

Bacaan tasyahhud yang dipilih dalam Mazhab Hanafi adalah bacaan tasyahhud Ibnu Mas'ud:

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ والطَّيِّبَاتُ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud, bahawa dia berkata: 
أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ بِيَدَيَّ وَعَلَّمَنِي التَّشَهُّدَ، كَمَا كَانَ يُعَلِّمُنِي السُّورَةَ مِنَ القُرْءَانِ، وَقَالَ: قُلْ: التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ والطَّيِّبَاتُ 
Rasulullah ﷺ memegang tanganku dan mengajarkanku tasyahhud, sepertimana Baginda mengajarkanku surah dalam al-Quran, dan Baginda bersabda: "Sebutlah: Penghormatan-penghormatan untuk Allah dan solat-solat serta perkara-perkara yang baik". 
Sehingga akhirnya, dan Baginda bersabda: 
إِذَا قُلْتَ هَذَا أَوْ فَعَلْتَ هَذَا، فَقَدْ تَمَّتْ صَلَاتُكَ 
Apabila engkau membaca ini atau engkau melakukan ini, maka sesungguhnya telah sempurna solatmu. 
Dan Baginda memegang tangan ketika mengajar, untuk menguatkan pengajaran dan menjelaskannya di sisi pelajar, dan seperti ini Baginda memerintahkan dengannya dengan sabdanya: "قُلْ" (katakanlah). Dan seperti ini Baginda mengaitkan kesempurnaan solat dengan tasyahhud ini, maka sesiapa yang tidak mendatangkan dengannya, tidak disifatkan solatnya itu dengan kesempurnaan. 
Dan kerana tasyahhud ini tersebar dalam kalangan umat dan tersebar luas dalam kalangan sahabat; maka sesungguhnya ianya itu diriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq radhiallahu 'anhu, bahawa dia mengajar manusia tasyahhud di atas minbar Rasulullah ﷺ seperti ini, dan tidak dibantah oleh seorang pun dari kalangan sahabat, maka terjadilah ijma'[7].

Makruh menambah sesuatu sebelum atau selepas tasyahhud walaupun satu huruf. Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:

Kerana apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud bahawasanya dia berkata: 
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَأْخُذُ عَلَيْنَا التَّشَهُّدَ بِالْوَاوِ وَالْأَلْفِ 
Rasulullah ﷺ mengambil tasyahhud ke atas kami dengan wau dan alif. 
Maka ini membuktikan bahawa tidak harus membuat penambahan ke atasnya... 
Dan bagi kami: Apa yang diriwayatkan daripada Nabi ﷺ: 
أَنَّهُ كَانَ لَا يَزِيدُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ عَلَى التَّشَهُّدِ 
Bahawa Baginda tidak menambah ke atas tasyahhud pada dua rakaat yang awal. 
Dan kerana penambahan ke atas tasyahhud menyanggahi ijma'[8].

Sunnah dalam tasyahhud:

1) Memperlahankannya berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud bahawa dia berkata:

أَرْبَعٌ يُخْفِيهِنَّ الْإِمَامُ 
Empat (tempat) yang imam memperlahankannya. 
Dan ia (tasyahhud) dikira sebahagian daripadanya. Dan kerana ianya daripada bab pujian, dan asal bagi pujian dan doa adalah memperlahankan.

2) Mengisyarat jari telunjuk. Sebahagian ulama' Mazhab Hanafi tidak mensunnahkannya. Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:

Kerana padanya meninggalkan sunnah tangan iaitu meletakkan (tapak tangan di atas peha).

Sebahagiannya mensunnahkan mengisyaratkan dengan jari telunjuk ketika sampai kepada bacaan أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ, hujahnya al-Kasani (587h) berkata:

Maka sesungguhnya Muhammad (bin Hasan al-Syaibani) berkata dalam kitabnya al-Misbahah: telah menceritakan kepada kami daripada Nabi ﷺ bahawa Baginda mengisyaratkan dengan jarinya, maka dia melakukan seperti apa yang dilakukan Nabi ﷺ dan dia perbuat apa yang Baginda perbuat, dan ianya itu adalah qaul Abu Hanifah dan qaul kami[10].

Ada dua cara menggenggam dan mengisyaratkan jari menurut al-Kasani (587h), dia berkata:

Telah berkata ahli Madinah: Menggenggam lima puluh tiga (genggam semua kecuali jari telunjuk) dan mengisyaratkan dengan jari telunjuk. 
Dan telah menyatakan oleh al-Faqih Abu Ja'far al-Handawani: Bahawasanya menggenggam jari kelingking dan jari telunjuk, dan membuat lingkaran jari tengah bersama ibu jari, dan mengisyaratkan dengan jari telunjuk. Dan dia berkata: Sesungguhnya Nabi ﷺ beginilah yang Baginda lakukan. Dan Allah lebih mengetahui[11].


Rujukan:

1) Rujuk: Muhammad bin Hassan al-Syaibani, Al-Asl, tahqiq Dr. Muhammad Bawinwakalin, jilid 1, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 2012), 10-13.

2) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 688.


3)  'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 688.


4)  'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 64.


5)  'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 65.

6) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl al-Sarkhasi, al-Mabsut, jilid 1, (Beirut: Dar al-Ma'rifah, 1989), 25.

7) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 66-67.

8) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 67-68.

9) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 70.

10) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 71.

11) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 71.

12) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 70.

No comments:

Post a Comment