DUDUK ANTARA DUA SUJUD: PANDANGAN IMAM-IMAM MAZHAB

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ الْأَمِينِ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

Duduk antara dua sujud (الْجُلُوسُ بَيْنَ السَّجَدَتَيْنِ) merangkumi beberapa istilah yang lain iaitu mengangkat kepala daripada sujud (رَفْعُ الرَّأْسِ مِنَ السُجُودِ), i'tidal (إِعْتِدَالُ) dan tomakninah (طَمَأْنِينَةُ).

Persoalan-persoalan yang akan dibahaskan dalam penulisan ini adalah:

  • Apakah hukum duduk antara dua sujud?
  • Bagaimana keadaan duduk tersebut?
  • Apakah bacaan duduk antara dua sujud?
  • Apakah hukum bacaan tersebut?
  • Apakah hukum tomakninahnya?

Jawapan kepada persoalan-persoalan di atas akan dijawab berdasarkan pandangan imam-imam mazhab.


Semoga Allah ﷻ memberi kefahaman agama kepada kita semua.

1. MAZHAB HANAFI

Dalam lingkungan perbahasan Mazhab Hanafi ini, terlebih dahulu perlu diketahui bahawa Mazhab Hanafi membezakan antara hukum fardhu dan hukum wajib.

Secara ringkasnya, hukum fardhu Mazhab Hanafi hampir sama dengan hukum wajib bagi jumhur ulama' dengan maksud jika meninggalkannya akan membatalkan solat.

Begitu juga hukum wajib hampir sama dengan hukum sunnah muakkadah di mana meninggalkannya tidak membatalkan solat tetapi perlu sujud sahwi.

Ketiga-tiga imam Mazhab Hanafi bersepakat bahawa mengangkat kepala daripada sujud adalah fardhu. Hujahnya, al-Kasani (587h) berkata:


Dan mengangkat (kepala) itu adalah fardhu kerana sujud yang kedua itu fardhu, maka mestilah perlu mengangkat (kepala), untuk berpindah kepadanya (sujud kedua)[1].

Kadar mengangkat kepala ada dua riwayat daripada Abu Hanifah (150h). Pertama, riwayat al-Hasan daripada Abu Hanifah (150h) iaitu sekadar angin boleh melalui antara dirinya dan tanah. Kedua, riwayat Abu Yusuf (182h) daripada Abu Hanifah (150h) iaitu mengangkat kepala sekadar diakui oleh orang yang melihat bahawa dia itu mengangkat kepalanya, dan inilah yang  sahih. Hujahnya:


Kerana wujud perpisahan antara dua rukun dan (wujud) intiqal, dan hal ini adalah difardhukan[3].

Namun mereka bertiga berbeza pendapat mengenai hukum duduk antara dua sujud dan tomakninah.


Di sisi Abu Yusuf (182h), ketiga-tiga hal itu adalah fardhu. Meninggalkannya membatalkan solat. Berdalilkan hadith a'rabiy:






أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّی فَسَلَّمَ عَلَی النَّبِيِّ ﷺ فَرَدَّ٬ وَقَالَ : (اِرْجَعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ)، فَرَجَعَ فَصَلَّی كَمَا صَلَّی، ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَی النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ:(اِرْجَعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ) ثَلَاثََا، فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ! فَعَلِّمْنِي، فَقَالَ: إِذَا قُمْتَ إِلَی الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْءَانِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّی تَطْمَئِنَّ رَاكِعََا٬ ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّی تَعْتَدِلَ قَائِمََا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّی تَطْمَئِنَّ سَاجِدََا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّی تَطْمَئِنَّ جَالِسََا٬ وَافْعَلْ ذَٰلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا


 Sesungguhnya Rasulullah ﷺ masuk ke dalam masjid maka masuk seorang lelaki lalu dia bersolat, kemudian dia memberi salam kepada Nabi , lalu Baginda menjawab, dan Baginda bersabda: (Kembalilah dan tunaikanlah solat maka sesungguhnya  engkau tidak solat), maka dia kembali dan solat sepertimana dia solat tadi, kemudian dia datang lalu memberi salam kepada Nabi ﷺ maka Baginda bersabda: (Kembalilah dan tunaikanlah solat maka sesungguhnyaa engkau tidak solat) tiga kali, maka dia berkata: Demi yang membangkitkanmu dengan kebenaran, aku tidak dapat buat yang lebih baik dari itu! Maka ajarkanlah aku. Maka Baginda bersabda: Apabila kamu berdiri untuk solat maka bertakbirlah, kemudian bacalah apa-apa yang mudah bagimu daripada al-Quran, kemudian ruku'lah sehingga kamu tenang dalam keadaan ruku', kemudian bangkitlah sehingga kamu tegak dalam keadaan berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu tenang dalam keadaan sujud, kemudian bangkitlah sehingga kamu tenang dalam keadaan duduk, dan lakukanlah sedemikian dalam solat kamu keseluruhannya.[4]

Di sisi Abu Hanifah (150h) dan Muhammad (189h), duduk antara dua sujud dan tomakninah bukanlah fardhu[2] tetapi ianya sunnah ataupun wajib. Hujahnya masih belum didapati penulis.

Tiada bacaan ketika duduk antara dua sujud.

















Rujukan:

1) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 62.


2) Rujuk: Mahmud bin Ahmad Bin Musa Badr al-Din al-'Aini, al-Binayah Syarh al-Hidayah, tahqiq Aiman Salih Sya'ban, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1999), 231.

3) 'Alau al-Din Abu Bakr bin Mas'ud al-Kasani al-Hanafi, Badai' al-Sanai' fi Tartib al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 2, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 2003), 62.


4) Abu 'Abd Allah Muhammad ibn Isma'il al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, tahqiq Sadqi Jamil al-'Attar, (Beirut: Dar al-Fikr li al-Taba'ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi'), 183-184, no. Hadith: 757.





No comments:

Post a Comment