BACAAN IFTITAH/ISTIFTAH: PANDANGAN IMAM-IMAM MAZHAB

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَالصَّلَاةُ وَالسّلَامُ عَلَى النَّبِيِّ الْأَمِينِ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

Iftitah (إِفْتِتَاحُ) bermaksud pembukaan. Dalam perbahasan ini ia merujuk kepada bacaan pembukaan selepas takbiratul ihram. Ia juga disebut sebagai thana' al-iftitah (ثَنَاءُ الْإفْتِتَاحِ) ataupun doa al-iftitah (دُعَاءُ الْإِفْتِتَاحِ). Thana' bermaksud puji-pujian.

Perbahasan ini terkait dengan beberapa persoalan iaitu:

  • Apakah hukum membaca iftitah?
  • Apakah bentuk bacaan iftitah dalam solat fardhu?

Penulis akan membawakan jawapan dari sudut pandang imam-imam Mazhab Empat dan yang lain serta hujah-hujah mereka.

Semoga Allah ﷻ memberi kefahaman Agama kepada kita semua.

1. MAZHAB HANAFI

Mazhab Hanafi berpandangan bahawa membaca iftitah adalah sunnah sama ada bagi imam, makmum dan solat bersendirian[1]. Berdasarkan firman Allah ﷻ:


 وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ حِینَ تَقُومُ
Dan bertasbihlah kamu dengan memuji Tuhanmu ketika kamu berdiri.
(Surah Al-Tur: 48)

Hujahnya, Al-Sarkhasi (490h) berkata:

Telah datang daripada Al-Dhahhak rahimahullah dalam tafsir firmanNya Ta'ala:
وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ حِینَ تَقُومُ
 bahawa ianya adalah bacaan orang yang solat ketika iftitah:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ
dan  'Umar, 'Ali dan 'Abd Allah ibn Mas'ud radhiallahu 'anhum telah meriwayatkan zikir ini daripada Rasulullah ﷺ bahawa Baginda membacanya ketika iftitah solat.[2]

Lafaz iftitah yang dipilih dan disepakati di sisi Mazhab Hanafi adalah:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Muhammad (189h) menambah dengan lafaz وَجَلَّ ثَنَاؤُكَ, akan tetapi ianya tidaklah dinaqalkan dalam hadith dan athar yang masyhur.


Abu Yusuf (182h) pula menambah bersama tasbih itu lafaz di bawah, berdasarkan hadith 'Abd Allah ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma :



أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ يَقُولُ عِندَ إِفْتِتَاحِ الصَّلَاةِ: وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمْحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Bahawa ketika iftitah solat, Nabi ﷺ membaca: وَجَّهْتُ sehingga akhir hadith.

Adapun lafaz tambahan seperti dalam hadith 'Ali radhiallahu 'anhu iaitu
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي sehingga akhir atau lafaz
اللَّهُمَّ أَنتَ الْمَلِكُ sehingga akhir tidaklah dianggap sebagai sebahagian daripada iftitah dalam solat fardhu. Hujahnya:

Nabi ﷺ membaca lafaz-lafaz tersebut ketika Solat Tahajjud. Adapun dalam solat fardhu, athar yang masyhur menunjukkan ianya tidak ditambah.

Demikianlah yang dapat difahami daripada Al-Sarkhasi (490h)[3].

Begitupun disunnahkan membaca iftitah bagi setiap orang yang solat termasuk makmum, sekiranya imam telah masuk kepada qiraah, makmum hendaklah meninggalkan iftitah dan berdiam. Berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَإِذَا قُرِئَ ٱلۡقُرۡءَانُ فَٱسۡتَمِعُوا۟ لَهُۥ وَأَنصِتُوا۟ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ
Maka apabila dibacakan Al-Quran maka dengarlah kalian kepadanya dan diamlah kalian supaya kalian dirahmati.
(Surah Al-A'raf: 204)

2. MAZHAB MALIKI

Menurut Mazhab Maliki, bacaan iftitah adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang makruh dalam solat. Tiada bacaan iftitah sama ada bagi imam dan selainnya dalam solat fardhu. Sahnun (240h) menukilkan kata-kata Ibnu al-Qasim (191h) mengenai pandangan Malik (179h) dan hujahnya:

Dan Malik tidak melihat ini yang disebut manusia: 
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ 
dan Malik tidak mengetahuinya. 
(Hujahnya:) (Ibnu Wahb)(meriwayatkan) daripada Sufyan bin 'Uyainah daripada Ayub daripada Qatadah bin Di'amah daripada Anas bin Malik: 
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَان كَانُوا يَفْتَتِحُونَ الصَّلَاةَ بِالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 
Sesungguhnya Nabi ﷺ, Abu Bakr, 'Umar dan 'Uthman membuka solat denganالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
 ((Ibnu al-Qasim) berkata) dan telah berkata Malik sesiapa yang di belakang imam dan sesiapa yang (solat) bersendirian dan sesiapa yang menjadi imam maka tidak (perlu)menyebut
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ 
Akan tetapi mereka (perlu) bertakbir kemudian memulakan qiraah.[4]

Antara hujah lainnya adalah:

Al-Qurtubi (671h) berkata:



Dan hujah bagi Malik adalah sabda Baginda ﷺ kepada orang Arab Badwi yang mana Baginda mengajarkannya solat: 
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ 
Apabila engkau berdiri untuk solat maka bertakbirlah dan bacalah. 
Dan Baginda tidak menyebutkan kepadanya: "Bertasbihlah" seperti yang dikatakan Abu Hanifah (dalam pandangannya) dan tidak berkata: 
وَجَّهْتُ وَجْهِيَ 
seperti yang dikatakan oleh al-Syafi'i. Dan Baginda bertanya kepada Ubai: 
كَيْفَ تَقْرَأُ إِذَا افْتَتَحْتَ الصَّلَاةَ؟ 
Bagaimanakan engkau membaca apabila engkau membuka solat? 
(Ubai) menjawab: Aku membaca: 
اللَّهُ أَكْبَرُ، الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 
Maka dia tidak menyebutkan taujih dan tidak pula tasbih. 
Maka jika dikatakan: Maka sesungguhnya 'Ali telah mengkhabarkan bahawa Nabi ﷺ membacanya (bacaan iftitah). 
Kami menjawab: Kata-katanya itu (bacaan iftitah) membawa (maksud dibaca) sebelum takbir, kemudian dia bertakbir, dan hal itu adalah (takwil) yang baik di sisi kami. 
Maka jika dikatakan: Maka telah meriwayatkan al-Nasa'i dan al-Daraqutni:  
أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ كَانَ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلَاةَ كَبَّرَ ثُمَّ يَقُولُ: إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي ... الْحَدِيثُ 
Bahawa Nabi ﷺ apabila membuka solat, Baginda bertakbir kemudian menyebut:  إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي ... sehingga akhir hadith. 
Kami menjawab: Hal ini kami bawanya atas (solat-solat) nafilah dalam solat malam, sepertimana yang telah datang dalam kitab al-Nasa'i daripada Abu Sa'id, dia berkata: 
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلَاةَ بِاللَّيْلِ قَالَ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، تَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ 
Ataupun dalam (solat-solat) nafilah secara umum, maka sesungguhnya (solat-solat) nafilah itu lebih ringan daripada (solat) fardhu, kerana harus untuk menunaikan solat itu secara berdiri, duduk dan menunggang, dan menghadap kiblat atau selainnya ketika musafir, maka perintahnya itu lebih mudah. 
Dan al-Nasa'i meriwayatkan daripada Muhammad bin Maslamah: 
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ كَانَ إِذَا قَامَ يُصَلِّي تَطَوُّعًا قَالَ: اللَّهُ أَكْبَرُ، وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ، إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ، اللَّهُمَّ أَنتَ الْمَلِكُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ، ثُمَّ يَقْرَأُ
 Bahawa Rasulullah ﷺ apabila berdiri menunaikan solat tatawwu', Baginda menyebut:
 اللَّهُ أَكْبَرُ، وَجَّهْتُ... sehingga سُبْحَانَكَ وَبِحَمْدِكَ, kemudian Baginda membaca (qiraah).

Dan nas ini dalam (solat) tatawwu' bukan dalam (solat) wajib. Dan sekiranya sahih bahawa yang demikian itu (bacaan iftitah) dalam (solat-solat) fardhu selepas takbir, maka ia dibawa atas (hukum) harus dan mustahab, dan adapun yang disunnahkan maka (ianya itu adalah) qiraah selepas takbir.[6]

Al-Habib bin Tahir berkata:



Mendahulukan amalan ke atas athar-athar yang warid mengenai hal itu (bacaan iftitah) iaitu amalan ahli Madinah, yang mana ianya adalah hujah di sisi al-Imam Malik yang mentarjihkan ke atas khabar ahad.[7]

Dan berdasarkan hadith 'Aisyah, dia berkata:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَسْتَفْتِحُ الصَّلَاةَ بِالتَّكْبِيرِ وَالْقِرَاءَةَ بِالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 
Bahawa Rasulullah ﷺ membuka solat dengan takbir dan (membuka) qiraah dengan 
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 
[8]








Rujukan:

1) Rujuk: 'Alau Al-Din Abu Bakr bin Mas'ud Al-Kasani Al-Hanafi, Badai' Al-Sanai' fi Tartib Al-Syarai', tahqiq 'Ali Muhammad Mu'awwadh, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Kutub Al-Islamiyyah, 2003), 30.

Rujuk: Abu 'Abd Allah Muhammad bin Muhammad Al-Kasyghari, Munyah Al-Musolli wa Ghunyah Al-Mubtadi, tahqiq Aminah 'Umar Al-Kharrath, (Damsyiq: Dar Al-Qalam, 2007), 214.


2) Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl Al-Sarkhasi, Al-Mabsut, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Ma'rifah, 1989), 12.

3) Rujuk: Abu Bakr Muhammad bin Abi Sahl Al-Sarkhasi, Al-Mabsut, jilid 1, (Beirut: Dar Al-Ma'rifah, 1989), 12.


4) Malik bin Anas, al-Mudawwanah al-Kubra,  jilid 1, (Saudi: Al-Auqaf al-Sa'udiyyah, 2014), 62.


5) Bahram bin 'Abd Allah bin 'Abd al-'Aziz al-Damiri, al-Syamil fi Fiqh al-Imam Malik, tahqiq Dr. Ahmad bin 'Abd al-Karim Najib, jilid 1, (Kaherah: Markaz Najibawaih li al-Thaba'ah wa al-Nasyr wa al-Dirasat, 2008), 106.


6) Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Quran, tahqiq Dr. 'Abd Allah bin 'Abd al-Muhsin al-Turki, jilid 9, (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2006, 141-142.

7) Al-Habib bin Tahir, al-Fiqh al-Maliki wa Adillatuh, jilid 1, (Beirut: Muassasah al-Ma'arif li al-Taba'ah wa al-Nasyr, 2007), 226.

8) Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, (Riyadh: Dar Taibah li al-Nasyr wa al-Tauzi', 2006), 226-227, no. Hadith: 498. Kitab: Solat. Bab: Apa yang Menghimpunkan Sifat Solat dan Apa yang Dibuka dengannya dan Ditutup dengannya. Dan Sifat Ruku' dan I'tidal daripadanya, dan Sujud dan I'tidal daripadanya. Dan Tasyahhud Selepas Setiap Dua Rakaat daripada Solat Empat Rakaat. Dan Sifat Duduk Antara Dua Sujud, dan pada Tasyahhud Awal.

No comments:

Post a Comment