Thursday, December 5, 2019

LIMA PESANAN UNTUK DA'I


Kita semua adalah da'i. Setidak-tidaknya da'i kepada diri dan keluarga sendiri:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ قُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِیكُمۡ نَارࣰا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ 
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri-diri kalian dan keluarga kalian daripada neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batu. 
(Surah al-Tahrim: 6)

Da'i adalah orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةࣱ یَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَیۡرِ وَیَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَیَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Dan hendaklah sebahagian kalian menjadi satu umat yang mereka menyeru kepada kebaikan dan menyuruh perkara kebaikan serta mencegah daripada kemungkaran, dan mereka itu orang-orang yang berjaya. 
(Surah Ali 'Imran: 104)

Tanggungjawab ini adalah amanah yang diwarisi daripada para Rasul 'alaihimussolatu wassalam.

Menggalasnya tidak mudah.

Cabaran yang paling besar datangnya daripada dalam diri kita sendiri.

Kerana itu, ada beberapa pesan penting untuk setiap da'i seperti berikut:

1. IKHLAS

Inilah pesan yang paling utama.

Dakwah adalah sebahagian daripada ibadah. Wajib bagi setiap jantung hati para da'i untuk mengikhlaskan dakwahnya semata-mata kerana Allah ﷻ.

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِی وَنُسُكِی وَمَحۡیَایَ وَمَمَاتِی لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِینَ 
Katakanlah: "Sesungguhnya solatku, ibadah korbanku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam. 
(Surah al-An'am: 162)

Jauhilah keinginan untuk dikenali, digelar mulia dan mendapat habuan dunia yang sedikit ini.

Ingatlah hadith yang sahih daripada Rasulullah ﷺ ini:


 إِنَّ أَوَّلَ النَّاسِ يُقْضَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَيْهِ رَجُلٌ اسْتُشْهِدَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: قَاتَلْتُ فِيكَ حَتَّى اسْتُشْهِدْتُ، قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ قَاتَلْتَ لِأَنْ يُقَالَ جَرِيءٌ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ  
وَرَجُلٌ تَعَلَّمَ الْعِلْمَ وَعَلَّمَهُ وَقَرَأَ الْقُرْآنَ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: تَعَلَّمْتُ الْعِلْمَ وَعَلَّمْتُهُ وَقَرَأْتُ فِيكَ الْقُرْآنَ، قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ تَعَلَّمْتَ الْعِلْمَ لِيُقَالَ عَالِمٌ وَقَرَأْتَ الْقُرْآنَ لِيُقَالَ هُوَ قَارِئٌ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى أُلْقِيَ فِي النَّارِ  
وَرَجُلٌ وَسَّعَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَعْطَاهُ مِنْ أَصْنَافِ الْمَالِ كُلِّهِ، فَأُتِيَ بِهِ فَعَرَّفَهُ نِعَمَهُ فَعَرَفَهَا، قَالَ: فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟ قَالَ: مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا إِلَّا أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ، قَالَ: كَذَبْتَ، وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ، فَقَدْ قِيلَ ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ 
Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Maka dia dibawa dengannya, maka Allah memberitahunya nikmat-nikmatNya, lalu dia mengetahuinya. Allah bertanya: Maka apa yang telah engkau lakukan padanya? Dia menjawab: Aku telah berperang pada (jalan)Mu sehingga aku mati syahid. Allah menjawab: Engkau bohong! Akan tetapi engkau berperang agar engkau dipanggil pahlawan, Maka sesungguhnya (engkau) telah dipanggil (dengan gelaran itu). Kemudian diperintahkan dengannya maka diseret atas wajahnya, sehingga dia dilemparkan ke dalam neraka. 
Dan seorang lelaki yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Maka dia dibawa dengannya, maka Allah memberitahunya nikmat-nikmatNya, lalu dia mengetahuinya. Allah bertanya: Maka apa yang telah engkau lakukan padanya? Dia menjawab: Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran padaMu. Allah menjawab: Engkau bohong! Akan tetapi engkau menuntut ilmu untuk dipanggil orang alim dan engkau membaca al-Quran untuk dipanggil: 'Dia seorang qari''. Maka sesungguhnya (engkau) telah dipanggil (dengan gelaran itu). Kemudian diperintahkan dengannya maka diseret atas wajahnya, sehingga dia dilemparkan ke dalam neraka. 
 Dan seorang lelaki yang Allah telah meluaskan kepadanya (rezeki) dan memberikannya daripada segala macam harta kesemuanya, Maka dia dibawa dengannya, maka Allah memberitahunya nikmat-nikmatNya, lalu dia mengetahuinya. Allah bertanya: Maka apa yang telah engkau lakukan padanya? Dia menjawab: Tidak aku meninggalkan daripada jalan yang Engkau sukai untuk diinfaqkan padanya melainkan aku telah meninfaqkan padanya bagiMu. Allah menjawab: Engkau bohong! Akan tetapi engkau melakukan (hal itu) untuk dipanggil: 'Dia seorang dermawan'. Maka sesungguhnya (engkau) telah dipanggil (dengan gelaran itu). Kemudian diperintahkan dengannya maka diseret atas wajahnya, sehingga dia dilemparkan ke dalam neraka. 
(HR Muslim: 1905)

Menggerunkan sekali hadith ini dalam mengungkap betapa Allah ﷻ mementingkan keikhlasan hati insan, sehingga mereka yang tidak ikhlas dan hanya ingin digelar itu dan ini ketika di dunia, akhirnya dicampakkan ke dalam neraka.


Wal'iyazu billah!

Oleh itu hendaklah kita ikhlas dalam berdakwah.

Apabila kita ikhlas kerana Allah ﷻ, kita akan menghindari kata cela atau menyakiti mad'u yang tidak menerima baik seruan kita.

Semuanya itu kerana kita tahu bahawa tugas kita hanya sekadar menyampaikan, selebihnya adalah hak Allah ﷻ untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia ﷻ kehendaki:


إِنَّكَ لَا تَهۡدِی مَنۡ أَحۡبَبۡتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ یَهۡدِی مَن یَشَاۤءُۚ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ 
Sesungguhnya engkau tidak memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau cintai akan tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui tentang orang-orang yang diberi hidayah. 
(Surah al-Qasas: 56)

2. BERAMAL APA YANG DIKATA

Saat berdakwah, hati kita mungkin tertanya-tanya:

"Adakah mereka melakukan apa yang aku suruh dan mereka meninggalkan apa yang aku larang?"

Sebetulnya, bukan mereka yang perlu difikirkan sangat, tetapi diri sendiri.

"Adakah aku melakukan apa yang aku suruh dan aku meninggalkan apa yang aku larang?"

Benar, telinga yang paling hampir dengan mulut yang berdakwah itulah yang sepatutnya mendahului orang lain dalam beramal.

Janganlah terlampau sibuk memikirkan orang lain, sehingga kita terlupa akan diri sendiri.

Ambillah ibrah daripada teguran Allah ﷻ kepada Bani Israil:


 أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَـٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ 
Adakah kalian menyuruh manusia akan kebaikan sedangkan kalian melupakan diri-diri kalian sendiri dan kalian membaca al-Kitab, maka adakah kalian tidak berfikir? 
(Surah al-Baqarah: 44)

Sungguh Allah ﷻ melarang kita berkata apa yang tidak kita lakukan:


یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ۝  كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُوا۟ مَا لَا تَفۡعَلُونَ 
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kalian berkata apa yang tidak kalian kerjakan?  ۝  Amat besar kebencian di sisi Allah, kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan. 
(Surah al-Saf: 2-3)

Oleh itu, hendaklah setiap da'i sentiasa bermuhasabah diri dan memastikan seruan dakwah itu tidak hanya meniti di bibir untuk orang lain, tetapi dilaksana dan diamalkan oleh diri sendiri dalam kehidupan seharian.

3. RENDAH DIRI SESAMA MUKMIN

Ingatlah selalu, kita tidak lebih baik daripada orang-orang mukmin yang lain.

Hanya kerana Allah ﷻ, dengan rahmatNya ﷻ, yang telah menutup aib-aib kita daripada diketahui orang sehingga pada zahirnya, kita kelihatan mulia.

Namun hanya Allah ﷻ yang Maha Mengetahui hakikat diri kita yang sebenar. Kerana itu, merendah dirilah kepada mukmin yang  lain.

Mengambil ibrah daripada perintah Allah ﷻ kepada Rasululullah ﷺ:


وَٱخۡفِضۡ جَنَاحَكَ لِلۡمُؤۡمِنِینَ 
Dan rendahkanlah sayapmu (rendah hati dan lemah lembut) kepada orang-orang mukmin. 
(Surah al-Hijr: 88)

Jika Rasulullah ﷺ sendiri merendah diri kepada orang-orang mukmin, maka siapalah kita untuk meninggi diri dan bersikap sombong.

Apabila kita bersikap rendah diri, lebih mudah untuk kita menerima teguran dan kritikan daripada orang lain, bersangka baik dan teguh memelihara keikhlasan diri.

4. BERPAKSIKAN KEBENARAN

Seseorang da'i wajib menjadikan kebenaran sebagai paksi dalam misi dakwahnya.


Kebenaran adalah apa yang terkandung di dalam Kitabullah al-Quran:



الۤمۤرۚ تِلۡكَ ءَایَـٰتُ ٱلۡكِتَـٰبِۗ وَٱلَّذِیۤ أُنزِلَ إِلَیۡكَ مِن رَّبِّكَ ٱلۡحَقُّ وَلَـٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا یُؤۡمِنُونَ 
Alif Lam Min Ra, itulah ayat-ayat al-Kitab dan kebenaran yang telah diturunkan kepadamu (Muhammad) daripada Tuhanmu, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman. 
(Surah al-Ra'd: 1)


Termasuk di dalam kebenaran itu adalah apa yang datang daripada Nabi ﷺ secara sahih dan pasti. Inilah yang dinamakan sebagai sunnah dan hadith.


Kerana Baginda ﷺ tidak hanya ditugaskan untuk membacakan al-Quran sahaja, tetapi juga mengajarkannya kepada umat manusia:



كَمَاۤ أَرۡسَلۡنَا فِیكُمۡ رَسُولࣰا مِّنكُمۡ یَتۡلُوا۟ عَلَیۡكُمۡ ءَایَـٰتِنَا وَیُزَكِّیكُمۡ وَیُعَلِّمُكُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَیُعَلِّمُكُم مَّا لَمۡ تَكُونُوا۟ تَعۡلَمُونَ 
Sepertimana Kami telah mengutuskan dalam kalangan kalian seorang Rasul dari kalangan kalian, dia membacakan kepada kalian akan ayat-ayat Kami, menyucikan kalian, mengajar kalian al-Kitab dan al-hikmah serta mengajar kalian apa yang tidak kalian ketahui. 
(Surah al-Baqarah: 151)


Oleh itu, hendaklah setiap da'i memelihara lidahnya daripada mengatakan sesuatu yang tidak ada asasnya di dalam al-Kitab dan sunnah, apatah lagi jika menyanggahi keduanya.


Sekalipun seperti mengatakan: 'Jika kamu melakukan begini, Allah akan bagi ganjaran begini', sedangkan Allah ﷻ dan RasulNya ﷺ tidak pernah menjanjikan ganjaran tersebut.

Ambillah ibrah daripada sikap sebahagian Ahli Kitab yang berbuat dusta atas nama agama:

وَإِنَّ مِنۡهُمۡ لَفَرِیقࣰا یَلۡوُۥنَ أَلۡسِنَتَهُم بِٱلۡكِتَـٰبِ لِتَحۡسَبُوهُ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَیَقُولُونَ هُوَ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ وَمَا هُوَ مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ وَیَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ وَهُمۡ یَعۡلَمُونَ 
Dan sesungguhnya benar-benar sekumpulan daripada mereka yang memutar belitkan lidah-lidah mereka dengan al-Kitab agar kalian menyangka ianya itu daripada al-Kitab sedangkan ia bukan daripada al-Kitab dan mereka berkata ianya itu dari sisi Allah sedangkan ianya bukan dari sisi Allah, dan mereka mengatakan pendustaan ke atas Allah sedangkan mereka mengetahui. 
(Surah Ali 'Imran: 78)


Ingatlah, Agama Islam adalah Agama Allah, bukan agama ciptaan manusia yang boleh dikurangi dan ditokok tambah sesuka hati sesedap rasa.


Tugas seorang da'i itu tidak lebih daripada menyampaikan risalah, menyeru dan menegah, maka jangan pergi lebih daripada itu.

5. JANGAN BAWA PERPECAHAN


Inilah pesan terakhir.

Ketahuilah bahawa lidah seorang da'i boleh menyatupadukan ummah dan juga boleh memecahbelahkan antara mereka.

Maka jadilah seorang da'i yang menguatkan ummah dengan perpaduan dan kasih sayang bukan membawa kepada perpecahan dan permusuhan:

وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰ⁠نࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَ ٰ⁠لِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ 
Dan berpegang teguhlah kalian semua dengan tali Allah dan janganlah kalian berpecah belah, dan ingatlah kalian akan nikmat Allah ke atas kalian ketika kalian bermusuh-musuhan, maka Dia menjinakkan antara hati-hati kalian, maka menjadilah kalian bersaudara dengan nikmatNya, dan kalian di atas tepi jurang daripada neraka kemudian Dia selamatkan kalian daripadanya, seperti demikianlah Allah menerangkan kepada kalian akan ayat-ayatNya supaya kalian diberi petunjuk. 
(Surah Ali 'Imran: 103)


Benar, banyak khilaf yang kita warisi daripada ahli-ahli ilmu di kalangan kaum muslimin dalam kesemua cabang ilmu, tanpa terkecuali satu pun.

Namun, apabila kita berselisih pendapat, kembalilah kepada Allah ﷻ dan RasulNya ﷺ dalam apa jua keadaan:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا 
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kalian kepada Allah dan taatlah kalian kepada Rasul dan ulul amri dari kalangan kalian, maka sekiranya kalian berselisih dalam sesuatu perkara, maka kalian kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kalian beriman dengan Allah dan hari akhirat, demikian itu lebih baik dan lebih elok kesudahan. 
(Surah al-Nisa': 59)


Atas maksud mengelakkan perpecahan dan permusuhan ini, maka dakwah perlulah digerakkan atas sikap santun dan penuh hikmah:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِیلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِینَ 
Serulah engkau kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan (cara) yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dia lebih mengetahui tentang sesiapa yang telah sesat dari jalanNya dan Dia lebih mengetahui tentang orang-orang yang diberikan petunjuk. 
(Surah -Nahl: 125)


Wallahu a'lam.

Demikianlah lima pesanan untuk kita semua yang bergelar da'i.

Akhir kalam, menjalankan kerja dakwah ini, bukanlah disebabkan kita lebih pandai atau lebih baik daripada orang lain, tetapi hanyalah kerana menjunjung perintah Allah untuk menyeru manusia kepada iman, tauhid, ketaatan dan takwa serta mencegah manusia daripada kufur, syirik, bid'ah dan maksiat.


Semoga Allah menerima usaha dakwah kita di akhirat kelak.